Saya masih berhutang ulasan breastpump Medela Swing dengan mama dalam pantang kita ni.
Saya berkunjung ke rumah Aida pada hari cerita berkenaan BP manual Anakku ditulis. Tak pasti sama ada dia telah membaca posting itu, di mana saya telah berkata
Tapi yelah, kadangkala tu malas juga nak mengepam dengan tangan. Ada juga teringin hands free.
Tapi sejurus sampai di rumahnya, terus disorong Medela Swing lamanya kepada saya. Macam dah siap-siap letak di tepi sementara menunggu kedatangan kami [yang berjanji jam 4 tapi jam 6 tak sampai-sampai!]
Wah wah. Terkadang saya rasa macam saya ni salah seorang kembarnya sebab kami berdua saling memahami dan selalu saja boleh mengagak apa yang ada di fikiran masing-masing. Sebab saya memang berura-ura nak kecek Medela Swingnya itu! ^_^
Gambar dari www.medela.comSaya terus mencuba Medela Swing pada keesokan harinya di pejabat. Saya terlupa bawa selendang panjang, lalu selendang seorang anak dara cun telah menjadi mangsa [sehingga hari ini]. Selendang itu dipakai memenuhi dada untuk menutup sebarang aktiviti yang tidak sepatutnya dilihat oleh orang awam hehehe. Untuk mengepam secara bebas tangan, saya menggunakan dua getah yang diikat. Kemudian, satu disangkut pada muncung BP dan satu lagi disangkut pada cangkuk pakaian dalam. Pada mulanya saya terkial-kial juga. Alah bisa, tegal biasa ^_^
Saya mendapati Medela Swing mengambil masa yang lama untuk merangsang
let down reflex. Itu sesuatu yang melecehkan kerana Aida sudah berpesan supaya segera menekan satu butang apabila susu mula keluar supaya susu tidak bermasuk ke dalam tiub. Tunggu punya tunggu susu tak keluar. Tapi apabila proses sudah bermula, ianya berjalan dengan lancar :-)
Oleh itu, saya fikir adalah lebih baik sekiranya kita merangsang sendiri
let down reflex sebelum menggunakan Medela Swing. Err... rasanya tak perlu lah diterangkan di sini bagaimana caranya. Jika anda ingin tahu, boleh email saya secara peribadi hehehehe.
Oleh kerana bunyi motornya yang agak kuat, agak memalukan untuk menjalankan aktiviti walau di dalam cubicle saya. Di sebelah saya ialah seorang pengurus lelaki, dan di hadapan saya pula ada dua orang penolong pengurus lelaki, seorang baru saja berkahwin dan seorang lagi masih bujang. Pada percubaan pertama saya, mereka terpinga-pinga sambil menoleh ke arah saya. Untuk menghilangkan malu, cepat-cepat saya cari lagu-lagu yang boleh di pasang. [Ketika itu barulah saya tahu suami saya telah meletakkan satu folder khas untuk bacaan ayat-ayat suci Al-Quran hehe] Tapi sekarang saya sudah tak kisah. Keperluan anak saya lebih penting. Bukan begitu? ^_^
Kebaikannya, saya boleh mengepam secara bebas tangan sambil meneruskan pekerjaan saya seperti biasa. Kerana ralit bekerja, tak terasa masa berlalu. Oleh itu, kita tidaklah tertekan mahukan susu keluar dengan cepat dan banyak. Pastikan anda letak sapu tangan di bawah dada supaya susu tidak meleleh membasahi baju. Tompokan susu di kemeja formal anda sungguh tidak menarik :-)
Medela Swing juga mempunyai kuasa sucking yang lembut di mana N tidak terasa sakit. Malah tak rasa apa-apa pun sehingga saya terpaksa mengintai untuk pastikan ada aktiviti sedang berlaku di bawah sana. Bos saya juga cukup risau kalau-kalau susu saya sudah lebihi botol tanpa disedari. Dia yang tolong tengok-tengokkan. [Ya, saya dengan selambanya menjalankan projek semasa berbincang dengan beberapa orang yang lain di dalam biliknya, tapi jangan risau.. semuanya perempuan]
Namun saya fikir, sekiranya saya punya masa, saya lebih suka menggunakan BP manual Anakku saya itu sambil membaca buku di surau.
Read more...