Siri Klan Basir: Long

>> Wednesday, June 01, 2011

Anak sulung logiklah dipanggil Long. Nama sebenarnya Fatmi. Tetapi, jarang benar orang panggil Fatmi. Kalau di kampung pun, tetap glamor dengan panggilan Long. Ada juga orang kampung yang panggil Sam. Entah datang dari mana panggilan Sam itu.

Kalau ditelek gambar Long ketika kecil, dia seorang kanak-kanak yang comel dan ceria. Di bibirnya sentiasa terukir senyuman lebar hingga ke telinga. Pipi sampai tercembul ke atas. Tetapi entah kenapa apabila besar, seperti 'Grumpy The Dwarf' pula. Asyik-asyik marah. Asyik-asyik merengus.

Mungkin dia tidak suka belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Baru Tingkatan 1, sudah perlu berdikari jauh nun di Perak sana. Malah, kesempitan hidup tidak membenarkan dia balik kampung selalu. Zaman itu, kemudahan pengangkutan pun tidak sehebat sekarang. Dari Perak ke Johor, perlu menaiki keretapi. Dahulu, saya selalu keliru, apa benar Long ini abang saya, kerana jarang benar berjumpa.

Sudahlah berkelana ketika sekolah menengah, melanjutkan pelajaran pun di luar negara. Hah, ini lagilah tidak boleh pulang ke kampung. Arwah Abah kata, Long asyik telefon ke rumah sahaja. Asyik tanya sama ada Abah sihat. Maklumlah, Abah sakit buah pinggang. Macam-macam rawatan yang sudah Abah lalui, namun tetap begitu. Malah, buah pinggang baru pun rosak juga. Akhirnya, pelajaran Long di Kanada terkandas di tengah jalan kerana kerinduan yang melampau. Mungkin juga Sains Komputer bukanlah bidang yang diminatinya.

Atau mungkinkah kerana kecewa cintanya ditolak gadis bernama Mia?

Perubahan Long mula kami lihat setelah dia pulang. Sikap perengusnya boleh difahami, kerana tentu sahaja dia merasa rendah diri, merasakan diri sebagai orang yang gagal. Selain itu, tidak salah kalau saya katakan, Long menghidapi OCD, iaitu Obsessive Compulsive Disorder. Ketika di Kanada, tiada pelajar atau keluarga Melayu yang lain. Maka, Long serumah dengan pelajar dari negara Timur Tengah. Mungkin pergaulan dengan mereka menjadikan Long agak pelik. Contoh kepelikannya, ambil wudhuk berkali-kali, takbiratulihram berkali-kali, di tandas berdehem berkali-kali.

Abah selalu menjerkah, "Kenapa takbir banyak-banyak kali, Long?"
Long menjawab, "Niatnya tidak masuk semasa takbir, Abah."
Abah segera membalas, "Hisy, kalau sudah berniat mahu solat, kira masuklah niatnya."
Long hanya diam.
Abah menyambung lagi, "Was-was itu permainan syaitan, Long."

Long kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa. Kali ini, Long mengambil kursus Bahasa Inggeris. Wah, nampaknya dia sudah menemui jiwanya. Memang kena! Setelah graduasi, Long mendapat tawaran sebagai guru bahasa di Universiti Teknologi Malaysia. Semua merasa sangat gembira kerana akhirnya nasib Long akan berubah baik.

Namun, cerita tragis Long tidak terhenti di situ. Pada hari Long melapor diri, hujan turun dengan lebatnya di waktu subuh. Abah dan Mak sungguh rungsing. Bagi mereka, biarlah tunggu hujannya reda. Long pula, bertegas mahu pergi ke Johor Bahru usai solat Subuh. Ini perangai Long dari dahulu hingga sekarang, semuanya mesti ikut peraturan. Kalau diarah melapor jam 8 pagi, jam 8 pagilah melapor tanpa kompromi.

Abah menyarankan, "Kalau mahu pergi, bawalah kereta."
Long menjawab, "Tidak mengapalah. Nanti Abah hendak guna kereta. Biar Long naik motor."
Mak segera meningkah, "Hujan lebat ini, Long! Naik kereta sahaja."

Walau sudah dihalang, Long tetap mahu menaiki motor. Perlu diberitahu di sini, enam belas tahun yang lalu, dari Benut ke Johor Bahru masih menggunakan jalan lama. Walaupun bertar, namun tetap sukar. Jalannya berliku-liku. Kiri kanan masih hutan yang tebal. Sunyi sepi tiada penghuni. Kalau kenderaan rosak di tengah jalan, memang nahas. Menunggulah tepi jalan, sehingga ada yang mahu menolong.

Sudah ketentuan Tuhan, motor Long terlanggar lubang di tengah jalan yang digenangi air hujan. Sudahlah hujan lebat, subuh pula itu. Tidak ramai yang lalu lalang. Jadi, agak lama barulah Long ditemui. Long terus dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana dia sudah koma ketika itu.

Abah dan Mak tidak putus harap. Mereka sentiasa di sisi Long, mengharap Long sedar dari tidurnya yang panjang. Sebelum tragedi itu, Long sudah ditunangkan dengan gadis pilihan Abah. Apabila hal seperti ini berlaku, Abah bertanya sekiranya tunang Long mahu memutuskan pertunangan. Menurut doktor, walaupun Long sedar dari koma, tangannya yang patah akan cacat. Pembedahan tidak dapat dilakukan selama Long koma.

Tunang Long mahu teruskan juga. Baginya, inilah takdir yang ditentukan Allah untuknya. Lalu, tunang Long setia menunggu di sisi Long, bergantian dengan Abah dan Mak.

Yang agak kelakar, doktor menyarankan kami sentiasa berbual dengan Long dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Menurutnya, ada tikanya mulut Long akan terkumat-kamit. Apabila diamati, rupanya dia sedang bercakap dalam Bahasa Inggeris! Maklumlah, mahu melapor diri sebagai guru bahasa.

Subhanallah. Maha Suci Allah. Akhirnya Long sedar dari komanya selepas sebulan. Ia boleh dikatakan satu keajaiban. Sikap perengusnya pula semakin menjadi-jadi. Namun, kita faham mengapa dia bersikap begitu. Orang sakit, begitulah. Emosinya kurang stabil. Long kemudiannya berkahwin dengan tunangnya, iaitu Kak Azie, kakak ipar sulungku yang kusayangi. Kini, mereka sudah pun mempunyai tiga orang anak yang cantik dan kacak.


Perengusnya mungkin berkurang, tetapi OCDnya masih menjadi-jadi. Adakalanya Mak menangis seorang diri melihat keadaan Long yang mengambil masa hampir sejam hanya untuk solat beberapa rakaat. Kalau di bilik air pun, punyalah lama mengalahkan anak dara. Kerana itu, Mak sudah lama menyimpan niat untuk pergi mengerjakan umrah bersama Long. Dengan harapan Long boleh sembuh daripada penyakitnya itu.

Long, Tini juga doakan Long terhindar dari segala perasaan was-was, syak wasangka dan wazan yang sengaja ditiupkan oleh syaitan ke dalam hati-hati manusia. Semoga Long selamat di dunia dan akhirat, dan dirahmati Tuhan. I love you, Long.

8 comments:

Lynn 3:52 pm  

such a lovely story! :)

asz 6:32 pm  

Indeed! Bole jadi cerpen dah..

Ummu Auni 9:00 pm  

terharunya baca. isk isk...

aida 10:51 pm  

Oh my, our cousin pun mcm ada ocd.

Lynn 12:03 pm  

I pun ada OCD kot, tapi very mild. tapi sebab tu I kalau amik wudhuk agak lama ehehehe

MQ 2:38 am  

wah, kukuhnya kasih dan sayang isteri/tunang Long tu..kalau perempuan zaman sekarang mesti dah goyah..mesti dia kena byk bersabar dpt suami begitu..moga mereka berkekalan hingga ke syurga :)

Raja Iskandar Shah 11:38 am  

salam. mohon sampaikan salam dan email saya pada fatmi. kali terakhir bertembung dengan dia pada awal 90an semasa dia di uia. thanks for the story. baim, a64, mckk.

♛LΣNΔTIKΔH.™ 2:55 pm  

Ika asik nangis je bila baca post ni. Rasa rindu dekat abi la.Cik tini follow dgn like dkt blog ika boleh? hehe Like ada dekat setiap bawah post ^^

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP