Pergi Haji.
>> Sunday, October 02, 2011
Ada seorang adik nak pergi haji. Jadi, dia minta tip dari kakak-kakak yang sudah pergi katanya. Err, daku hajjah meh? Kenapa perangai tak rupa hajjah? :insaf:
Apa pun, rasanya banyak tip pergi haji di Internet ini. Buku-buku di pasaran pun banyak. Bolehlah dibeli dan baca.
Tapi untuk tak mengecewakan adik tersebut, akak hajjah ini :uhuk uhuk: tulislah sebutir dua sebagai pesanan.
Yang pertama, ucapkanlah percakapan yang baik. Ia bukanlah sekadar tidak mengumpat, mengadu domba, dan menyakitkan hati orang lain, tapi dengan sentiasa membiasakan lidah untuk mengucapkan 'insya-Allah'. Insya-Allah perkataan yang mudah tapi sangat berkuasa. Hanya dengan terlupa menyebut insya-Allah, Nabi Sulaiman tidak mendapat anak dari semua isteri yang digaulinya pada satu malam kecuali seorang anak yang cacat. Oleh itu, apa jua yang kita katakan, akhirilah dengan insya-Allah. Selain itu, biasakan diri memberi salam dan mengucapkan hamdalah.
Yang kedua, ketahuilah sejarah tempat-tempat di Madinah dan Mekah. Dengan mengetahui sejarah sesuatu tempat sebelum kita menziarahinya, kita akan dapat merasai jiwa tempat tersebut. Contohnya, dengan mengetahui sejarah Masjid Kiblatain, airmata boleh mengalir mengingatkan kecintaan Nabi Muhammad terhadap umatnya yang dihina kerana berkiblatkan kiblat yang sama dengan orang kafir, sehingga beliau meminta-minta dengan juraian airmata kepada Allah swt. Contoh lainnya, ketika kita mengerjakan saei, hati menjadi sayu mengingatkan Siti Hajar yang berlari berulang alik dari Safa ke Marwah mencari air hinggalah dia berputus asa dan memohon dengan penuh pengharapan tanpa bergantung kepada yang lain kecuali Allah swt.
Yang ketiga, manfaatkan waktu wukuf sebaiknya. Seorang kawan terkejut apabila saya memberitahunya bahawa waktu wukuf adalah waktu yang paling afdhal untuk berdoa. Dan dia memberitahu saya, sepertinya ramai jemaah haji di dalam khemahnya yang tidak mengetahui fakta ini kerana mereka sekadar berehat-rehat. Kalaulah mereka tahu, tentu mereka tidak bersenggang-senggang begitu. Jadi adikku, janganlah sia-siakan peluang yang ada. Berzikirlah, pohonlah keampunan, pohonlah agar dirimu dilimpahi rahmat Allah swt dan berdoalah semahumu. [Kak siap karang doa dalam buku lagi, terutamanya doa yang dipesan rakan-rakan hehehe]
Yang keempat, bantulah jemaah haji yang lebih tua. Sebagai orang muda yang mempunyai lebih kedarat, ambillah peluang ini untuk sentiasa membantu yang tua. Insya-Allah, kalau kita awal lagi berniat untuk membantu orang lain, Allah akan beri kita banyak peluang untuk membantu orang lain. Sekali kita bantu orang lain, insya-Allah berkali-kali Allah akan bantu kita.
Yang kelima, jangan terlalu obses mencium Hajarul Aswad. Faktanya, kamu perempuan muda. Kecil comel molek pula itu. Kak dapat bayangkan kamu tersepit dalam timbunan lelaki hitam berbadan besar kalau kamu mahu cium Hajarul Aswad. Kononnya nak dapat berkat, alih-alih dosa yang dapat sebab bersenggol-senggolan dengan lelaki. Itu belum cerita lagi fasal 'Syarikat Mencium Hajarul Aswad'. Sabar sajalah :-p Kalau ada lelaki nusantara mengajak kamu cium Hajarul Aswad ketika kamu sedang tawaf, kamu buat tak endah sajalah. Sebabnya lepas dia tolong kamu, dia minta duit :-p
Kalau mampu, datanglah sekali lagi di waktu luar haji untuk mencium Hajarul Aswad. Kalau tak mampu, berdoalah kepada Allah supaya dipermudahkan mencium Hajarul Aswad. Pengalaman kak sendiri, kak pasrah saja. Kak pandang lelaki-lelaki yang berkerumun depan Hajarul Aswad dan terdetik dalam hati, "Tak mengapalah kalau tak dapat cium Hajarul Aswad, tapi kalau dapat, lagi bagus, Ya Allah!" Alih-alih, dengar suara lelaki bercakap, "Adik ini nak cium Hajarul Aswad." Dan lelaki-lelaki yang ramai itu beralih dan ada jalan yang boleh kak lalu. Dapatlah kak menciumnya tanpa perlu berasak-asak, alhamdulillah :-)
Ingatkan nak tulis pendek saja, alih-alih jadi panjang juga :-p Semoga kamu mendapat haji yang mabrur dan mendapat manfaat darinya, insya-Allah. Akak doakan.
4 comments:
Hehe, i punya tips pegi haji, maybe very common kot
mekasih kerana share. bilalah akak nak sampai pulak ni.
pilu lak hati. :(
insyaAllah one dya kita punya turn pulak :)
aida: common pun bermanfaat :-)
knv: tak mengapa, insya-Allah satu hari nanti. yang penting, bertawakal, berazam dan berusaha :-)
lynn: ya lynn, next time u temankan ur mom. i doakan :-)
Post a Comment