Sketsa Pagi.
>> Tuesday, January 22, 2013
Masuk tidur jam 4 pagi. Jam 5.50 pagi loceng jam dah berbunyi. Aduhai! Beratnya kepala.
"Fatimah, Fatimah, bangun. Pergi sekolah."
Badannya kucuit-cuit. Tak terkutik langsung.
"Ameer, bangun."
Matanya terpisat-pisat diterjah lampu. Tangannya diangkat, minta aku menarik badannya. Selepas kutarik, dia pun keluar bilik.
"Fatimah, bangun."
"Hmm hmm."
Dia menggoyang punggung tanda protes. Sabar sajalah. Tak terdaya aku nak uruskan kerenahnya pagi ini. Lalu aku pun keluar bilik.
"Eh, ke mana pula Ameer? Bilik air gelap saja."
Aku turun ke tingkat bawah. Astaghfirullahalazim. Sambung tidur di sofa rupanya!
"Dahlah Ameer, pergi mandi."
"Ya, Mama."
Kulempar tubuh ke sofa. Oh, nikmatnya.
"Jangan lama-lama di surau, ya? Saya tak larat nak pantau Fatimah."
"Ha, yalah."
Jam 6.30 pagi. Haji Mad pulang dari surau. Terus naik ke tingkat atas mengejutkan si budak kreatif. Ah, betullah yang kusangka. Drama sudah bermula. Dia mandi sambil mengongoi macam aci kematian suami. Tak sampai 2 minit sudah keluar.
"Fatimah sudah gosok gigi?" tanyaku lembut.
"Nanti lambat!"
"Pergi gosok dulu."
Dia masuk bilik air. Kakinya dihentak-hentak. Teriakannya semakin kuat. Jengkel aku mendengarnya.
Aku menggetap bibir. Pening-pening begini, teknik motivasi pun entah ke mana. Kuambil penyangkut baju dan kuacung-acung kepadanya.
"Diam!"
Dia terus terdiam. Aku merebahkan diri lagi ke sofa. Berdenyut-denyut kepalaku. Kemudian, kulihat Ameer menutup Al-Quran yang dibacanya. Dia pergi ke Fatimah. Sayup-sayup aku dengar dia berkata dengan lembut, "Fatimah pakai baju cepat. Abang siapkan barang-barang Fatimah."
Kemudian kulihat lagi dia susup sasap menyiapkan beg dan bekalan air adiknya.
Tsk.
6 comments:
bagusnya abang Ameer
tsk tsk. Aku rasa nak menitik air mata baca ni
saya pun rasa macam nak menitik air mata huhu ... sangat terharu.
yer sy pon terharu baca..sobs
bagus abag ameer
masya Allah...bagusnya abg ameer...sudah terbayang dewasa kelak mesti dia boleh harap untuk jaga adik2nya...insya-Allah
insya-Allah, amin. semoga Ameer menjadi pelindung kepada adik-adiknya. itu pasallah letak nama Ameer :-)
Post a Comment