Kos Penjagaan Anak.

>> Wednesday, September 25, 2013

Bismillah.

Ini entri yang tidak popular. Mohon maaf andai mencederakan perasaan tuan puan. Tapi, hati saya meronta-ronta nak cakap.

Apabila terdengar berita kes kematian bayi di taska atau tempat pengasuh, antara komen yang diberi adalah, "kita bayar upah mahal-mahal, tapi buat kerja cincai." Ditambah lagi dengan caci maki sumpah seranah.

Izinkan saya bertanya, mahal itu berapa? RM200, RM300, RM400 sebulan?

Izinkan saya bertanya lagi, mahukah tuan puan menjaga bayi orang lain dengan upah RM200, RM300, RM400 sebulan, kalau tidak kerana terpaksa atas desakan hidup?

Jujur cakap, jaga anak sendiri pun adakalanya saya rasa nak hentak kepala di dinding.

Pendapat saya, kita hanya layak memberi komen sebegitu jika membayar upah yang betul-betul sepadan dengan tugas mereka yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kita.

Ini tak bermaksud yang saya setuju pengasuh menjaga anak-anak dengan cincai. Amanah tetap satu amanah. Kerja hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mendapat keredhaan Allah.

Cumanya, saya ingin menyentuh tentang sikap kita sebagai ibu bapa. Anak-anak adalah amanah kita sebenarnya. Kurangkan sikap berkira untuk mendapatkan bantuan pengasuhan yang terbaik. Kerana kita bayar mereka, kita fikir kitalah bos.

Bukankah kita sendiri yang tak sanggup, atau saya lebih suka kata belum boleh, berhenti kerja atas alasan dan sebab tertentu? Sebenarnya, merekalah penyelamat kita kerana mahu menjaga anak kita.

Maka, hargailah mereka dan bantulah mereka menjalankan tugas mereka. Kalau tidak boleh dari segi material, bantu dari segi lain. Jaga tutur kata, jaga sikap, berikan motivasi agar mereka terdorong untuk melakukan kerja dengan baik.

Adakalanya sesetengah kita, sekurang-kurangnya saya sendiri, mencari silap orang untuk menafikan kesilapan sendiri.

Sekali lagi, saya mohon maaf. Astaghfirullah.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP