Pagi Yang Malas.
>> Friday, May 21, 2010
Hari sudah cerah. Namun matahari masih malu-malu memperlihat diri. Bersembunyi di balik awan kelabu yang memenuhi langit biru. Angin lembap menyapa pipi, membawa bersama bau tanah dan rumput yang dibasahi hujan malam.
Aku melangkah lemah ke stesen lrt. Sambil tertanya, kenapa burung tidak menyanyi? Masih tidurkah mereka?
Aduh. Cemburu. Cuaca sebegini mengulit mimpi lebih baik!
Di hadapanku ada gerai jualan yang dikerumuni orang ramai. Ada yang membeli sarapan. Nasi lemak, mi goreng atau sekadar kuih muih. Ada yang membeli suratkhabar. Hatiku meronta untuk singgah membaca sepintas lalu tajuk utama akhbar tabloid. Walau banyak berita picisan, tapi itulah yang nafsuku mahu. Ah tidak mengapa, sampai di ofis nanti akan kubeli. Yang penting, harus naik tren secepat mungkin. Waktu pejabat bermula lagi lima belas minit. Lalu gerai itu segera kutinggalkan.
Aku melintasi perhentian bas yang dipenuhi orang yang menunggu bas untuk ke destinasi masing-masing. Kebanyakannya memakai pakaian kerja formal. Selebihnya kasual. Maklum sahaja hari jumaat. Hari terakhir bekerja bagi pekerja kerajaan dan sesetengah pekerja swasta. Atau mungkin kerjaya mereka tidak memerlukan gaya formal. Mungkin juga masih pelajar. Aku sendiri memilih gaya pertengahan. Tidak terlalu formal, tidak terlalu kasual. Asal selesa.
Tiba di stesen lrt, kuseluk poket kanan. Kemudian poket kiri. Yang dicari tiada. Di mana pula kad lrtku. Mungkin di dalam beg komputer riba. Kuseluk poket depan beg. Eh tiada juga. Lalu kubuka luas-luas beg itu. Kenapa lain isinya? Ngee! Tersalah ambil beg suamiku. Sudah jatuh ditimpa tangga, duit satu sen pun tiada!
Panggilan ke telefon bimbit suami pula masuk peti suara. Nak balik rumah, kunci pagar pula tiada. Akhirnya aku berteleku di perhentian bas, mengenang nasib diri dan menanti pertolongan dari Tuhan :-)
Nota: Pertolongan Tuhan datang sepuluh minit selepas itu apabila suami terlintas hati untuk membuat panggilan. Syukur alhamdulillah ^_^
4 comments:
cerpen mikro :)
I likeeeee, mmg betul2 ikut mood. Baca citer ni, k.ida pun jadik naik malasssssssssssss..;P
mynie: alamak puan penyunting sudah datang :-)
k.da: huih sokmo mood malas dia datang keh3x.
hehehe
Post a Comment