Kacak Luar Kacak Dalam.
>> Wednesday, April 20, 2011
Kacak luar, kacak dalam
Kacak dengar sini
Kalau saya senyum
Awak mesti senyum sekali
Kalau kita senyum
Semua orang berjangkit
Bila semua orang senyum
Dunia tiada penyakit
Terenjut-enjut, terteleng-teleng dengar lagu di radio ketika memandu.
Senyum
Tak perlu kata apa-apa
Senyum
Tak perlu kata apa-apa
Senyum
Tak perlu kata apa-apa
Senyum
tak perlu kata apa-apa
Krek, krek, krek, krek.....
Eh, eh! Bunyi apa yang pelik itu? Kereta pun rasa berat saja. Tutup radio dan tengok kotak gear. Gear sudah betul, tapi bunyi itu masih ada.
Ah, sudah! Ini tak lain, tak bukan. Lampu keselamatan terus dipasang dan kereta dipandu perlahan-lahan. Jumpa tempat yang sesuai dan terus berhenti di tepi jalan.
Saya terus keluar kereta dan melihat tayar depan sebelah kiri. Sahih! Tak syak lagi ia pecah. Dari dahulu lagi saya sudah bertanya kepada Cik Mad tentang tayar itu yang kelihatan tak cukup angin, tetapi normal katanya.
Panik? Memang panik! Saya bersama tiga orang kanak-kanak di tepi jalan di tengah panas terik matahari dengan kereta buruk yang pecah tayar. Kalau sendiri, boleh tahan lagi. Kasihan anak-anak, terutama si kenit yang sedang tidur.
Ketika keresahan bercakap di telefon bersama Cik Mad, tiba-tiba....
"Assalamualaikum kak, ada yang boleh saya bantu?"
Opocot! Terkejut sekejap. Apa tidaknya, disapa seorang pemuda bertshirt hitam dan berseluar jeans lusuh, dengan sepuntung rokok di jari. Rambutnya cacak-cacak, mukanya tampak ganas. Tapi, lontaran suaranya begitu lembut dan prihatin.
"Saya nampak akak seorang diri di tepi jalan, sebab itu saya berhentikan motor. Kenapa, kak?"
"Tayar pecah, dik."
"Tayar spare ada? Jack?"
"Semua ada dalam bonet."
"Marilah saya tolong tukarkan."
Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat kepada Tuhan, ada pemuda yang datang beri bantuan. Baik sungguh orangnya. Walaupun tampak ganas, dalam hati ada taman rupanya. Kalau diperhatikan, kacak juga di kala dia tidak 'mengawal keganasan' dan tersenyum. Cara dia bercakap pun sopan. Terima kasih banyak-banyak!
Kisahnya, adik tersebut baru sampai dari Negeri Sembilan. Mahu sambung belajar, tetapi kelas hanya diadakan setiap Ahad. Jadi, enam hari ada masa lapang. Hajatnya, mahu cari pekerjaan. Akak doakan adik dapat kerja segera, ya!
Berpeluh-peluh dia tukarkan tayar. Sampai menitik-nitik ke tanah. Setelah siap, seperti tahu-tahu saya menyeluk beg tangan, terus lancar mulut dia menolak.
"Kak, akak tak payah bagi saya apa-apa. Saya ikhlas tolong akak."
Alahai, tengok muka pun sudah tahu kamu ikhlas. Bersungguh-sungguh kamu tolak. Tapi, orang berbudi kita berbahasa, ya tak? Saya paksa dia ambil. Anggap belanja makan. Barulah dia tersenyum dan terima.
Sebelum berpisah, sempat lagi dia berpesan, "Kak, tayar spare pun kurang angin. Jadi, akak jangan lupa isi angin ya? Bawa kereta baik-baik!"
Inilah yang dikatakan, kacak luar kacak dalam. Ewah, jom sambung nyanyi. [Kau berzikir lagi bagus!]
8 comments:
aku nak cop buat menantu!!!!
hahahah kak ana :D
ewahhh kacak luar kacak dalam gitu
knv: hang pi cari dia kat flat pkns nun.
aida: itulah pasaaaalll :-p
lynn: i like the song. suka sgt malique rap, so smooth :-)
saya pon suka lagu tu...hehehe.
alhamdullillah jumpa org yng betul2 ikhlas nk tolong.
suka dengar cerita-cerita macam ni :)
aduh tayar spare aku pun tak cukup angin. macam terkena batang hidung sendiri ni
awwwww....suker jejaka mcm ni! bikin hati cair saja
Post a Comment