Si Budak Kumal Penjual Buku.

>> Friday, February 08, 2013

Tok, tok, tok.

"Assalamualaikum!"

Eh, siapa pula datang petang-petang ini? Nak kata budak-budak balik dari sekolah agama, bukan suara Ameer atau Fatimah.

Kuintai dari balik langsir. Seorang kanak-kanak lelaki berjubah kelabu sedang berdiri di hadapan pintu. Bahunya menyandang beg yang lusuh. Tangannya pula memegang beberapa buah buku. Aku bersegera ke bilik untuk memakai jubah dan tudung.

Kemudian, kuintai lagi. Budak itu masih berdiri di situ. Kebetulan pula, Ameer dan Fatimah baru balik. Mereka pun menyapanya. Apabila mengetahui tujuan budak itu, Ameer terus mengetuk pintu.

"Assalamualaikum, Mama! Ada orang jual buku, Mama."
"Waalaikumussalam."
"Makcik, saya jual buku, Makcik."

Bau peluh menerjah hidungku. Aduhai kasihan, entah berapa lama dia berjalan. Ditambah lagi dengan tengiknya bau baju kumal yang entah berapa kali diulang pakai. Mataku melirik buku-buku di tangan. Ah, buku-buku yang biasa dibawa oleh penjual buku jalanan. Apa lagi kalau bukan himpunan solat sunat dan doa-doa harian.

Aku kemudiannya menarik satu buku yang mempunyai tiga judul. Hah, menarik sekali bukan? Tajuknya 'Ubat-ubatan Tradisional Melayu', 'Doa-doa Penawar Penyakit', dan 'Rahsia Kebaikan Surah Al-Fatihah'. Buku ini memang belum ada lagi. Selalunya kalau ahli keluarga ini jatuh sakit, aku tanyakan saja kepada Pakcik Google.

"Berapa harganya?"
"Ini..." Dia membelek harga di belakang buku. Tertulis di situ RM22.50 di atas stiker putih menutupi harga sebenar. Sebagai orang yang selalu membeli buku, aku tahu harga itu telah di mark up ke tahap ridiculous.

"15 ringgit sajalah, Makcik." Masih lagi harga yang telah dinaikkan lebih tinggi.

"Sekejap, ya."

Aku menyelongkar dompet.

"Belilah, Mama." Ameer memandangku dengan penuh harapan. Aku memandang wajahnya yang minta dikasihani bagi pihak si budak penjual buku. Dengan harga yang sengaja dinaikkan begitu, hatiku berbelah bagi. Tapi bagaimana mahu menolak seorang kanak-kanak yang melihat kamu sebagai ibunya yang hebat dan memandang kamu dengan wajahnya yang polos dan suci? Lagipun, penat si budak penjual buku itu berjalan ke sana sini. Usianya mungkin sebaya Ameer. Bayangkan kalau Ameer yang terpaksa berbuat begitu untuk sesuap nasi. Dan entah, berapa banyak adik-adik yang menanti di rumah.

"Mama tiada duit kecil. Boleh pinjam duit tabung Ameer dengan Fatimah dulu?"

"Boleh!" Fatimah terus ke tingkat atas mengorek tabungnya.

"Saya cuma ada lima ringgit, Mama!" dia meneriak dari atas.

"Tengok tabung abang. Duit abang banyak," Ameer menyahut.

"Ini duitnya, Mama." Fatimah menghulurkan satu keping not sepuluh ringgit dan lima keping not seringgit yang renyuk kerumuk.
"Berapa? Duit Fatimah lima ringgit, duit abang sepuluh ringgit?"
"Ya, Mama."
"Baiklah, terima kasih."

Aku kembali ke muka pintu.

"Lima belas ringgit, ya? Makcik beli."
"Terima kasih."

Selepas budak itu berlalu, Ameer memandangku dan berkata, "Mama memang baik." (Teknik memuji-muji, nampak?)

Padahal, kamu dan adik perempuan kamu itu yang baik.

5 comments:

Ummu Auni 8:53 am  

tsk tsk terharu lagi

SMM 1:43 pm  

like! :) terharu juga ...

sikulat 8:31 pm  

terharu terharu...

Zuraimah Ismail 10:45 am  

baiknya anak2 ini...

knv 12:45 pm  

wahai anak2 dan ibu anak2.. mai jemput umah acik meh..

lama dahhhh tak nampak muka kannnnn

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP