Bab 2: Tom Terdengar Sesuatu - Bahagian 2

>> Saturday, December 02, 2017

Tom ada banyak duit belanja. Sebahagiannya daripada sebuah paten kecil yang dia pasarkan sendiri. Dia tinggalkan basikal di luar kedai makan. Sebelum masuk kedai, dia ambil langkah berjaga-jaga dengan merantai basikal. Dia lapar dan memesan makanan yang banyak. Ketika dia sedang makan hingga hampir habis separuh pinggan,  dia terdengar namanya dipanggil.

“Helo, Ned!” balasnya setelah melihat seorang pemuda sebaya. “Kau dari mana?”

“Aku dari Shopton. Pagi tadi sampai,” jawab Ned Newton sambil menarik kerusi dan duduk semeja dengan Tom. Dua pemuda ini memang kawan baik. Semasa mereka kecil, mereka selalu pergi memancing, berenang dan memburu bersama. Sekarang Ned bekerja di Bank Shopton, manakala Tom sibuk menolong ayahnya. Jadi, tak dapatlah mereka selalu berjumpa.

“Ada kerja atau saja-saja?” tanya Tom sambil menambah gula dalam kopi.

“Kerja. Aku kena bawa beberapa dokumen bank ke First National di sini. Kau pula?”

“Aku datang atas urusan ayah aku.”

“Kau ada rekaan baru?” tanya Ned sambil membuat pesanan kepada pelayan.

“Tiada. Selepas reka pemukul telur yang aku ceritakan dulu, aku tak reka apa-apa. Tapi, adalah benda yang aku tengah buat.”

“Apa kata kau reka kereta atau kapal terbang?”

“Mungkin satu hari nanti. Eh, cakap pasal kereta, kau dah tengok kereta Andy Foger?”

“Dah, cantik betul kereta itu! Kau dah tengok?”

“Dah tengok sedekat-dekatnya. Nyaris dia langgar aku pagi tadi.” Tom pun menceritakan kejadian yang berlaku.

“Perangai Andy itu memang entah apa-apa,” kata Ned. “Sekarang ayahnya belikan kereta, makin teruklah perangainya nanti.”

“Kalau dia cuba langgar aku lagi, nahas dia!” kata Tom dan seterusnya memesan secawan kopi yang kedua.

Dua orang kawan baik itu terus berbual-bual. Ketika Ned bercerita tentang kamera barunya, tiba-tiba Tom terdengar seseorang berkata-kata, di meja betul-betul di belakangnya, dengan suara yang agak kuat.

“Bengkel-bengkel itu terletak di Shopton. Semuanya dekat dengan rumah Barton Swift.”
Tom terperanjat dan mula memasang telinga.

“Susahlah macam itu,” balas seorang lelaki. “Tapi kalau rekaan itu berharga macam…”

“Senyaplah!” Salah seorang daripada mereka mengingatkan. “Tempat ini terlalu terbuka untuk bincangkan hal ini. Tunggulah kita keluar kedai. Salah seorang daripada kita kena jumpa Barton, dan kalau dia berdegil…”

“Kau itu yang patut senyap,” bidas lelaki yang mula-mula bercakap tadi. Kemudian suara-suara itu menjadi perlahan.

Tapi Tom telah pun terdengar sesuatu yang membuatkan dia entahkan takut entahkan tidak. Dia terperanjat mendengar nama ayahnya disebut-sebut hingga terjatuhkan garfu.

“Kenapa, gelabah?” tanya Ned sambil ketawa.

“Agaknyalah,” balas Tom. Tanpa menunggu pelayan, dia tunduk untuk mengutip garfu. Dari hujung mata, dia mencuri pandang pada lelaki-lelaki tak dikenali itu. Dia terkejut apabila melihat salah seorang daripada mereka adalah lelaki sama yang dilihatnya di pejabat pos, yang menepati gambaran orang yang menanya-nanya En. Merton tentang bengkel-bengkel ayahnya.


“Aku akan pasang telinga betul-betul,” fikir Tom sambil menghabiskan makanan.

1 comments:

Shafira Aulia 12:55 pm  

"Thank you for nice information
Please visit our website unimuda and uhamka"

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP