Bab 2: Tom Terdengar Sesuatu - Bahagian 1

>> Friday, December 01, 2017

“Nampaknya semua tak apa-apa,” kata Tom. “Seinci saja lagi, nyaris aku kena langgar. Siapa orang itu? Kalaulah aku ada motosikal macam itu. Banyak masa boleh jimat berbanding naik basikal aku ini. Harapnya satu hari nanti, aku ada motosikal. Sudahlah, baik aku sambung perjalanan.”

Tak lama kemudian, sampailah Tom ke Mansburg. Dia terus ke pejabat pos untuk mengepos surat itu sebagai surat berdaftar. Teringat pesanan ayahnya, dia memandang sekeliling kalau-kalau ada orang yang mencurigakan.  Tapi, ada seorang lelaki saja di situ. Lelaki itu berpakaian segak, dan bermisai. Lagaknya seperti begitu khusyuk membaca jadual keluar masuk surat.

“Encik nak resit penerimaan surat berdaftar itu dihantar ke sini atau Shopton?” tanya kerani pejabat pos kepada Tom. “Tapi sebenarnya, resit itu memang akan dihantar ke sini, dan encik boleh telefon untuk bertanya. Saya akan tulis ia perlu dihantar kepada En. Barton Swift dengan cara penghantaran biasa, dan encik boleh ambil bila-bila masa encik datang ke sini.” Kerani itu kenal Tom, jadi mudah mereka berurusan.

“Baiklah,” jawab Tom. Ketika dia menoleh dari kaunter, dia ternampak lelaki tadi sedang memandangnya dengan perasaan ingin tahu. Pada masa itu, dia tak fikir apa-apa, tapi akan tiba masanya nanti, dia akan menyesal dan berharap kalaulah dia perhatikan lelaki berpakaian segak itu dengan lebih teliti. Kemudian, apabila dia keluar dari pintu luar, dia nampak lelaki itu pergi ke kaunter surat berdaftar.

“Banyak urusan surat-menyurat dia,” fikir Tom. Hal itu berlalu begitu saja dari fikirannya apabila dia menunggang basikal dan bersegera ke bengkel En. Merton.

“Saya minta maaf banyak-banyak,” kata En. Merton apabila Tom beritahu yang dia datang untuk mengambil bolt. “Bolt-bolt itu belum siap sepenuhnya. Ia perlu dihaluskan. Saya tahu saya dah janji pada ayah awak. Sebenarnya, boleh saja kalau ayah awak nak ambil. Tapi saya tahu ayah awak sangat teliti. Salah seorang pekerja terbaik saya pula jatuh sakit. Itu yang terlewat.”

“Berapa lama haluskannya?” tanya Tom.

“Dalam sejam. Pekerja saya sedang siapkannya. Kalau awak datang petang ini, ia akan siap. Boleh?

“Rasanya bolehlah saya tunggu,” balas Tom dengan sopan. “Nampaknya saya kena makan tengah hari di sini. Tak sempat nak balik makan di Shopton.”

“Pasti siap selepas makan,” janji En. Merton. “Ada hal lain saya nak tanya awak, Tom. Ayah awak ada terfikir nak beri kerja yang dia beri saya selama ini kepada orang lainkah?”

“Tak pula saya tahu. Kenapa?” Berkerut-kerut dahi Tom mendengarnya.

“Tempoh hari, ada orang tak dikenali datang. Dia tanya pasal kerja-kerja ayah awak. Saya dah cerita pada ayah awak tentang hal ini. Orang tak dikenali itu cakap dia dan kawan-kawannya nak buka bengkel. Dia nak intai-intai peluang berniaga dengan ayah awak. Saya cakaplah yang saya tak tahu apa-apa pasal urusan ayah awak. Selepas dia beredar, saya tak dengar apa-apa. Memanglah, saya pun tak nak hilang peluang niaga dengan ayah awak. Alih-alih pagi tadi, lelaki yang sama datang lagi, tanya pasal bengkel ayah awak.”     

“Yakah?” tanya Tom teruja.

“Ya. Dia tanya di mana bengkel ayah awak, bagaimana susun aturnya, dan kerja apa yang ayah awak buat di situ.”

“Encik cakap apa kepadanya?”

“Tak cakap apa-apa. Saya syak sesuatu, jadi saya cakap lebih baik dia sendiri jumpa ayah awak. Bolehkah saya cakap begitu?”

“Boleh. Ayah tak nak kecoh-kecoh. Agaknya mereka nak apa?”

“Bunyinya macam dia dan kawan-kawannya nak beli bengkel ayah awak.”

“Saya tak rasa ayah nak jual. Ayah buat bengkel untuk kegunaan sendiri membuat paten saja. Saya pasti ayah takkan jual.”

“Saya pun fikir begitu, tapi saya tak beritahu lelaki itu. Saya rasa lebih baik dia ketahui sendiri.”

“Apa namanya?”

“Dia tak cakap. Saya pun tak tanya.”

“Orangnya macam mana?”

“Dia berpakaian segak, siap bersarung tangan. Dia ada misai.”

Tom tersentak hingga En. Merton pun perasan wajahnya berubah.

“Awak kenal?” tanya En. Merton.                                              

“Tak,” jawab Tom. “Tapi, tadi saya nampak…” Tom berhenti berkata-kata. Dia teringat lelaki yang dilihatnya di pejabat pos. Gambarannya menepati, tapi masih terlalu samar untuk dipastikan.

“Tadi awak cakap, awak pernah nampak orang itu?” tanya En. Merton sambil memandang Tom dengan perasaan ingin tahu.

“Tak, ya, baiklah, nanti saya beritahu ayah,” tergagap-gagap Tom membalas. Tom fikir lebih baik dia tak cakap apa-apa. “Lepas makan saya datang balik. Kalau boleh, siapkan bolt-bolt itu untuk saya, ya.”

“Baiklah. Ayah awak nak gunakan untuk mesinnya yang barukah?”

“Ayah selalu buat mesin baru,” jawab Tom sesopan yang boleh tanpa memberi sebarang maklumat. 

“Lepas makan saya datang balik,” sahutnya sambil keluar mendapatkan basikal.

Dia merasa sangat pelik. Dia pasti lelaki di pejabat pos dan lelaki yang datang bertanya kepada En. Merton adalah orang yang sama.


“Ada sesuatu yang tak kena, dan ayah patut tahu,” fikirnya. “Aku mesti beritahu ayah. Aku rasa lebih baik jangan hantar lagi barang-barang paten kepada En. Merton. Kami perlu buat sendiri di bengkel. Aku dan ayah kena berjaga-jaga. Mungkin ada yang nak korek rahsia pasal motor turbinnya yang baru. Lebih baik aku cepat-cepat balik dengan bolt-bolt ini dan beritahu ayah. Tapi sebelum itu, makan dulu. Aku nak cari kedai dan makan sedap-sedap.”

0 comments:

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP