>> Thursday, November 25, 2004

Ini Catatan Tertangguh.

Brok brek brok brek.

Perlahan-lahan aku cuba memahami biji butir perbualan. Lihat kepada gaya mereka bermuncung-muncungan, topiknya seperti menarik perhatian. Namun, susah betul aku nak faham dialek Kelantan.

Heran sungguh aku ni. Berkawan dengan ramai orang dari seantorio dunia (aku terlampaulah suka frasa ni) serata tempat seawal Tingkatan 1 di sekolah berasmaradanaasrama, masih terkial-kial memahami dialek. Mungkin telinga dan lidah Mat Sallehku sungguh menebal.

Mengaku saja la awak tu Jawa.

Oh.. begitu rupanya. Kak Nor sedang bercerita kepada Mama, perihal lelaki beristeri yang masih tergila-gilakan dirinya. Memang ini masa yang sesuai mengadu, kerana kaum lelaki sedang bersolat jumaat di masjid. Jadi, hanya kami saja yang ada di rumah.

Hai, memang begitulah nasib perempuan cantik. Walau dah bersuami dan beranak ramai, masih tinggi sahamnya.

Aku memilih untuk diam saja. Tak berani nak mencelah. Nak faham satu hal, nak bercakap dialek mereka lagi banyak hal.

Fokus, fokus. Buat kerjaku dengan efisien. Bawang dikopek, lobak merah didadu, terong dipotong. Ini escapism paling berkesan untuk menutupi kedunguan.

"Tini dulu ramai orang minat?" Itu suara Mama.
"Tini tak cukup lawa!" Spontan. Amboi, pantas dan pintar betul aku menjawab.

HAHAHA.

Tak tahu samada aku yang ditertawakan, atau kata-kata itu memang lucu. Aku kira, humor aku boleh tahan juga. Ada can celen Mat Jan.

Brok brek mereka bersambung. Aku biarkan mereka, kerana aku sendiri kering idea nak menambah perisa pada cerita. Seperti biasa bermonolog sendirian, sambil menahan pedihnya kulit bawang.

Tak pernah memasak di rumah sendiri, mana taknya tak tahan pedih mata memotong bawang. Tapi, di rumah mertua ni kena la jaga reputasi kan?

Ahem. Ada ke orang minat aku ye masa zaman muda-muda dulu ya? Rasanya ada kot. Walaupun mukaku berjerawat dan badanku gemuk err tak berapa nak kurus, tapi rasa-rasanya ada juga sikit sikit daya penarik.... kot.

Sekali sekala perasan apa salahnya.

Yang mengorat secara terang-terangan memang tak banyak.

Satu,
Dua.....

Salah, salah, kira balik.

Satu,
Dua,
Tiga.....

Sudahlah, jangan nak kelentong.

Mungkin itu salah aku sendiri. Jalan tak pandang kiri kanan. Muka langsung tak peramah. Asyik pakai seluar jeans rabak, tshirt buruk dan selipar jepun. Kononnya awek grunge, macho dan ganas. Salah aku tak seperti gadis melayu terakhir yang kebanyakan lelaki nak. Aku sepatutnya jalan dengan lebih lemah lembut. Aku sepatutnya panggil mereka, Abang. Aku sepatutnya tersenyum dengan lebih manis dan bergula penuh lemak dan krim. Dan pakai baju kurung lebih kerap.

Tapi, mungkin juga ramai yang meminatiku dari jauh. Manalah tahu ada yang menganggap aku gadis yang unik. Ini satu kemungkinan, kerana aku perhatikan ada beberapa orang di universiti yang kelihatan serba tak kena apabila bertentang mata denganku.

Sekali lagi, perasaan perasan tidak keterlaluan masih dibenarkan. Kalau berlebihan, itu baru dikatakan sakit jiwa.

Tapi mungkin, mereka itu sedang tahan angin. Mungkin juga takut rahsia terlepas angin yang ditahan-tahan tadi diketahui aku. Malulah kalau muka macho dan hensem, terkentut pula depan awek-awek sedang tunggu lif di lobi. Kebarangkalian kemungkinan ini lebih besar.

Yang minat aku dari jauh dan tak berani nak tunjuk gentleman tu, gigit jari je la ye. Semester kedua pre-universiti, senior Tahun Akhir dah mula cucuk jarum.

Pergh, kira tinggi gak aa kan saham? Senior Final Year tuuuuu!!! Walaupun setakat seorang, tapi kira OK la kan daripada takde orang mengurat langsong.

Monolog perasanku terganggu apabila terdengar suara suami Kak Nor memberi salam di pintu sekembalinya dia daripada Masjid.

Perbualan tadi terhenti. Dan topik bertukar serta merta.

Nota kaki: Ini percubaan menulis dalam Bahasa Melayu. Dah berkarat! Maafkan bahasaku yang berbunga-bunga sastera, aku teruja membaca blog otai-otai :D

0 comments:

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP