Siri Jimat: Belanja Dapur
>> Monday, October 25, 2010
Disunting bersama tambahan tips pembaca budiman :-)
1. INVENTORI Seperti mana seorang wanita perlu membuat inventori almari supaya tidak membeli dua blaus merah jambu yang sama, seorang pengurus rumahtangga juga perlu membuat inventori dapur untuk mendapat gambaran yang jelas dan tepat tentang stok sedia ada. Lakukan semakan inventori sebelum pergi membeli-belah di pasaraya.
2. SENARAI BARANGAN Apabila sudah membuat semakan inventori, pastinya anda tahu apa yang tiada atau berkurang di dapur. Tulis barangan yang diperlukan di atas kertas. Si celik IT bolehlah gunakan fungsi Nota di dalam telefon bimbit atau gajet-gajet terkini masa kini. Senarai barangan perlu dibawa ketika membeli-belah kerana memori anda bukannya boleh diharap sangat :-p
3. SI PEMBELI Tentukan siapa yang lebih 'dipercayai' untuk pergi membeli-belah. Kalau anda jenis rambang mata dan selalu saja menambah barangan di dalam troli sesuka hati, lupakan sajalah trip ke pasaraya itu. Duduk di rumah lebih menyelamatkan poket. Jika berdegil mahu pergi, baca tips #8.
4. TEMPAT Pilih pasaraya yang menawarkan harga yang berpatutan dan berdekatan dengan rumah. Ketika memilih pasaraya, faktorkan juga kos parkir dan minyak.
5. KEKERAPAN Untuk membeli barangan dalam kuantiti yang banyak, tetapkan trip ke pasaraya sebulan sekali. Jadi tak perlulah berulang-alik ke pasaraya selalu. Kos minyak mahal sekarang, acik-acik sekalian. Untuk pembelian sedikit atau bahan mentah, beli di kedai runcit berhampiran lebih praktikal. Suri rumahtangga seperti saya, boleh tunggu saja pakcik van sayur membunyikan hon vannya ^V^
6. ANAK-ANAK Tinggalkan saja anak-anak di rumah. Banyak cukai kena bayar nanti. Entah apa saja yang mereka masukkan ke dalam troli. Justifikasi mereka sungguh bijak sekali, contohnya ada bakteria jahat di dalam perut jadi saya perlu minum vitagen untuk melawannya, sehingga anda sukar berkata tidak. Jika perlukan momen keluarga, bawa saja mereka ke taman permainan berhampiran. Itu lebih bermakna dari jalan-jalan di pasaraya.
7. PERUT Pastikan anda kenyang sebelum ke pasaraya, barulah bahagia hendak membeli-belah. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati katanya. Oh sebenarnya, kalau perut kenyang, apabila nampak makanan sedap-sedap di pasaraya, tidaklah nafsu membuak-buak. Sekadar sedang-sedang saja.
Tips dari Farra: Jika tidak sempat makan di rumah, bawa saja bekal makanan ke pasaraya. Terima kasih, Farra! :-)
Tips dari Hanis: Bawa bekal air. Anda boleh jimat kos belanja makan di restoran sekiranya tidak memesan minuman. Terima kasih, Hanis! :-)
8. TETAPKAN IMAN Tadi sudah tulis senarai, bukan? Jadi, ikut sajalah! Tetapkan iman di dada. Butakan mata pada yang tiada dalam senarai. Kecuali kalau barangan tersebut memang betul-betul perlu.
9. BARANGAN KERING Jika barangan kering sedang ditawarkan harga yang murah, beli dalam kuantiti yang banyak. Pastikan ada ruang di dapur untuk menyimpannya.
10. BARANGAN BASAH Tidak kisahlah harganya ditawarkan semurah mana pun, beli sekadar keperluan. Barangan basah tidak tahan lama jadi akan membazir saja kalau tidak dapat dihabiskan.
11. AYAM/DAGING/IKAN Cuci bersih-bersih dan bahagikan kepada beberapa bahagian. Satu bahagian untuk sekali masak. Masukkan di dalam bekas makanan atau plastik ziplock. Simpan di dalam bahagian sejukbeku untuk tahan lama. Tetapi, jika anda yakin boleh menghabiskannya dalam masa seminggu, boleh juga simpan di dalam chiller yang dikhaskan untuk menyimpan daging. Penyimpanan di dalam chiller lebih menjimatkan masa kerana bahan mentah tidak perlu dinyahbeku sebelum dimasak.
12. SAYUR Cuci bersih-bersih dan tos. Simpan di dalam bekas kedap udara untuk kekal segar sehingga satu/dua minggu.







