Projek Suntingan Pertama.

>> Friday, January 14, 2011

Suri menyepi? Adalah sebabnya. Nak tahu? Bacalah tajuk entri ini. Mesti sudah dapat mengagak, bukan? ^V^

Boleh dikatakan siang malam saya berteleku selama seminggu. Kalau tidak di hadapan komputer, saya membaca manuskrip yang sudah dicetak dan dibind. Adakalanya menelek kamus, sama ada kamus bahasa melayu atau bahasa inggeris. Juga, menelaah tafsir al-Quran. Malah, banyak masanya dahi berkerut-kerut, tangan menggaru-garu kepala yang tidak gatal, mulut terkumat-kamit membaca dan mengarang semula ayat.

Sebelum datangnya kemenangan, adanya cubaan dan pengorbanan, kata orang. Ha, samalah dengan apa yang berlaku kepada saya. Si kenit jatuh sakitlah pula. Hidungnya berhingus. Badannya sekejap panas, sekejap kebah. Kebah pun sebab disuakan ubat demam. Tidak lama selepas itu, panas balik. Aduh, virus apa yang datang menyerangmu, nak? Jadi, saya perlu tumpukan perhatian terlebih dahulu terhadap projek menyihatkan anak sebelum projek memurnikan manuskrip. Akibatnya, beberapa hari menghampiri deadline, saya pulun!

Tidur lewat. Kalau tidur pun, sekejap-sekejap terpaksa bangun kerana si kecil merengek. Bangunnya pula awal. Makannya entah apa-apa. Begitulah penangan menyunting buku.

Semalam, selepas sahaja menghantar Fatimah ke tadika dan Maryam ke taska, saya memulakan kerja seawal jam 7.30 pagi. Berehat sebentar jam sepuluh untuk Solat Dhuha, dan kemudian sambung lagi. Jam 12.15 tengahari, saya keluar mengambil Fatimah dan Ameer. Matahari terasa panas membahang. Selesai urusan kanak-kanak makan tengahari, saya duduk semula di hadapan komputer.

Eh, eh! Kenapa skrin nampak berbalam-balam? Mak! Kepala berdenyut-denyut. Badan terhuyung hayang. Mujur saja tidak nampak burung-burung terbang berkicau-kicau. Saya baring. Saya telefon suami. Tak hantar Ameer ke sekolah agama, aci? Aci, katanya. Jadi saya tidur. Alarm disetkan berbunyi jam 2. Kononnya mahu bangun solat zuhur dan menghantar Ameer jika larat. Alih-alih, bangun hampir jam 4.

Huwwwwaaaa... kerja masih banyak lagi! Meraung, makcik :-p

Seawal pagi tadi, editor kanan menghantar SMS mengingatkan. Aduhai. Jam sepuluh saya menghantar manuskrip dengan mengakhiri kata-kata saya sebegini, "Selain itu, saya mohon maaf atas kekhilafan dalam menyunting, maklum sahaja budak baru belajar. Harap pihak XXX boleh memberi tunjuk ajar untuk penambahbaikan projek suntingan akan datang."

Boleh kamu agak apa yang di antara barisan? :senyum:

ps: Petang itu semasa di playground, Ameer bertanya, "Mama, kenapa Mama tak hantar saya ke sekolah agama tadi? Tapi, saya rasa sekolah sudah tutuplah sekarang." Ewah, penuh taktik kamu, ya? Sudah petang baru konon-konon mengingatkan :-p

3 comments:

aida 4:23 am  

Tahniah, selesai juga menyunting walaupun kena melayan anak2

tinidewi 3:23 pm  

:-) bercinta juga tu....

Lynn 11:51 pm  

cabarannnn hehe

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP