Bab 1 : Sipi-Sipi Selamat - Bahagian 3
>> Sunday, November 19, 2017
Perlahan-lahan
Tom menaiki basikal dan mengayuh. Fikirannya dipenuhi dengan perkara-perkara
yang buruk tentang Andy. Andy anak orang kaya di bandar itu. Nampaknya kekayaan
wang ringgit telah membuat dia naik lemak, hingga dia menjadi seorang pembuli dan
pengecut. Beberapa kali dia dan Tom Swift bertelingkah, kerana sikapnya yang
suka menguasai orang lain. Tapi ini kali pertama dia menunjukkan perasaan penuh
dendam.
“Mentang-mentang
ada kereta baru. Dia ingat, dia boleh langgar semua benda?” omel Tom sendirian
sambil mengayuh. “Kalau tak hati-hati, satu hari nanti dia akan kemalangan. Dia
suka sangat memandu laju. Agaknya, dia dan kawan-kawannya nak pergi mana?”
Sambil
mengelamun mengenangkan hal yang berlaku, Tom terus mengayuh hingga sampai ke
rumahnya. Dia tinggal bersama ayahnya, Barton Swift, seorang pereka cipta yang
telah kematian isteri, dan pengurus rumah, Puan Baggert. Tom mendekati salah
sebuah bengkel yang dibina oleh ayahnya berhampiran rumah mereka untuk
menjalankan eksperimen dan memasang perkakas. Di situ dia menemui ayahnya.
“Kenapa,
Tom?” tanya En. Barton. “Macam ada sesuatu yang berlaku saja.”
“Hampir-hampir
berlaku,” jawab Tom. Dia menceritakan pengalamannya di jalanan.
“Meronda-ronda
dengan basikal kamu itu mungkin berakhir dengan kecelakaan,” kata En. Barton.
“Rasanya Andy dan kawan-kawannya pergi melancong. Ayah Andy ada cerita pada
ayah tempoh hari. Katanya, Andy dan kawan-kawannya akan pergi seminggu dua.
Syukurlah tiada apa-apa yang buruk berlaku. Tapi, kamu ada urusankah, Tom?
“Tak,
saya menunggang basikal suka-suka saja. Kalau ayah nak suruh saya buat apa-apa,
saya sedia membantu.”
“Kalau
begitu, ayah nak kamu bawa surat ini ke Mansburg. Ayah nak ia dihantar sebagai
surat berdaftar, dan ayah tak nak poskan melalui pejabat pos Shopton. Ia
terlalu penting, sebab ia tentang rekaan yang berharga.”
“Rekaan
motor turbin yang baru itu, Ayah?”
“Ya,
dan alang-alang kamu ke sana, nanti kamu singgah di bengkel Merton dan ambilkan
beberapa bolt yang dia buat untuk ayah.”
“Baiklah.
Inikah suratnya?” Tom menghulurkan tangan untuk menerima surat daripada
ayahnya.
“Ya,
tolong jaga dengan baik. Itu surat kepada peguam ayah di Washington berkenaan
langkah terakhir dalam mendapatkan paten bagi turbin tersebut. Sebab itulah
ayah tak mahu ia diposkan dari sini. Dah beberapa kali sebelum ini ayah
menghantar surat dari sini, tapi maklumat yang terkandung dalam surat terbocor
sebelum peguam ayah menerimanya. Ayah tak nak hal ini berlaku bagi kes ini.
Seperkara lagi, jangan cakap pasal rekaan baru ayah di bengkel Merton ketika
kamu singgah mengambil bolt.”
“Kenapa?
Ayah rasa dia bocorkan maklumat kerja ayah?”
“Taklah
begitu. Mungkin dia tak berniat begitu. Tapi, dia beritahu ayah tempoh hari ada
orang tak dikenali bertanya kepada dia kalau-kalau dia ada buat apa-apa kerja
untuk ayah.”
“Apa
yang dia beritahu mereka?”
“Dia
cakap, kadang-kadang dia ada buat kerja untuk ayah. Tapi, kebanyakan
kerja-kerja rekaan ayah dilakukan sendiri di bengkel ayah ini. Dia pun tanyalah
kenapa mereka tanya-tanya soalan begitu. Salah seorang daripada mereka kata
yang mereka nak buka bengkel tak lama lagi, dan nak pastikan mereka boleh
berniaga dengan ayah. Tapi, ayah tak rasa itu tujuan sebenar mereka.”
“Ayah
rasa apa tujuan mereka?”
“Entahlah,
ayah tak pasti. Tapi, ayah agak terkejut apabila mendengar hal ini daripada Merton.
Jadi, ayah tak nak ambil risiko. Sebab itulah ayah nak pos surat ini dari
Mansburg. Jangan hilangkan, dan jangan lupa ambil bolt. Ini cetakan biru bagi
bolt itu, jadi kamu boleh periksa sama ada ia dibuat ikut spesifikasi.”
Tom
berlalu pergi dengan basikalnya dan tak lama kemudian, dia kelihatan sedang
mengayuh basikal di jalan.
“Agak-agak
aku jumpa lagi tak Andy Foger dan konco-konconya?” dia terfikir. “Mungkin tak,
kalau mereka sedang menjelajah. Sudahlah, memang ada-ada saja masalah kalau aku
dan dia bertembung.”
Tom
tak ditakdirkan untuk bertemu Andy lagi hari itu, tapi akan tiba masanya si
pembuli berambut merah itu menyusahkan Tom, bahkan menjerumuskan Tom ke dalam bahaya.
Tom
terus mengayuh basikal sambil memikirkan kata-kata ayahnya tentang surat yang
dibawanya.
0 comments:
Post a Comment