Bab 1 : Sipi-Sipi Selamat - Bahagian 4
>> Sunday, November 19, 2017
En.
Barton Swift seorang pereka sejati. Sejak kecil, dia berminat pada hal-hal
mekanikal. Antara usaha pertamanya ialah mencipta satu sistem yang terdiri
daripada takal, tali dan gear untuk membolehkan kincir angin menggerakkan
penggodak di rumah ladang tempat kelahirannya. Walaupun kincir itu berpusing
dengan terlalu pantas hingga pecah penggodak itu, dia tak patah semangat. Dia
terus membuat kerja-kerja pembaikan dengan menukar gear. Ayahnya terpaksa
membeli penggodak baru, tapi pereka muda itu pastikan cubaan keduanya berhasil,
dan selepas itu, mudah bagi ibunya untuk membuat mentega.
Sejak itu, En. Barton hidup dalam dunia
rekaan. Orang selalu berkata bahawa dia takkan ke mana-mana, bahawa pereka
takkan berjaya dalam hidup, tapi dia membuktikan kata-kata mereka salah dengan
mengumpulkan kekayaan melalui paten-patennya yang banyak. Apabila usianya
meningkat, dia berkahwin dan mendapat seorang anak, iaitu Tom. Isterinya meninggal
dunia ketika Tom berusia tiga tahun. Maka sejak itu, Tom hidup bersama ayahnya,
dengan jururawat dan pengurus rumah yang silih berganti. Wanita terakhir yang
menguruskan rumah mereka adalah Puan Baggert, seorang balu bersifat keibuan.
Dia melakukan kerjanya dengan begitu baik, menyebabkan Tom dan ayahnya sangat
suka padanya dan menganggap dia sebagai keluarga, dan hingga kini telah
berkhidmat selama sepuluh tahun.
En.
Barton dan anak lelakinya itu tinggal di sebuah rumah yang tersergam indah di
pinggir sebuah desa bernama Shopton, di New York State. Desa itu berdekatan
dengan sebuah tasik bernama Tasik Carlopa. Di situlah Tom dan ayahnya banyak
menghabiskan masa menaiki bot, kerana mereka berdua sangat rapat. Mereka
sentiasa kelihatan mendayung sampan bersama, atau memancing. Memanglah Tom ada
beberapa kawan, tapi dia lebih banyak meluangkan masa dengan ayahnya berbanding
mereka.
Walaupun
banyak rekaan En. Barton memberikan pendapatan lumayan kepadanya, dia sentiasa
mahu menambah baik rekaan. Untuk itu, dia membina beberapa bengkel berdekatan
rumahnya dan melengkapinya dengan enjin, mesin larik dan perkakas untuk
pelbagai kerja. Tom juga mempunyai darah pereka mengalir di badannya, dan telah
merancang beberapa peralatan dan mesin kecil yang berguna.
Pada
suatu hari yang cerah di bulan April, Tom Swift menunggang basikal menelusuri
jalan-jalan kampung yang indah pemandangannya menuju Mansburg untuk mengepos
surat. Ketika dia menuruni sebuah bukit yang kecil, sayup-sayup dia ternampak
segumpalan debu besar menuju ke arahnya.
0 comments:
Post a Comment