Label Baru.
>> Friday, December 31, 2010
Saya percaya, hari-hari yang kita lalui mempunyai makna. Saya percaya, jika kita mencuba untuk memahami setiap perkara yang berlaku kepada diri, hari yang dilalui tidak akan menjadi sia-sia. Saya percaya, kita akan lebih bahagia sekiranya kita mengetahui erti hidup.
Dahulu, saya suka berkongsi kisah dengan seorang rakan kerja. Kisah biasa-biasa saja, tapi jika kita cuba mendalami ertinya, ia boleh menjadi kisah luar biasa. Kini, antara saya dan dia, sudah dipisahkan oleh jalan hidup yang saya pilih. Dia masih di tempat kerja lama. Saya pula di rumah bergelumang dengan kerja dapur dan hal-hal menguruskan keluarga.
Alhamdulillah, kerana adanya internet, saya ada platform lain untuk berkongsi cerita. Tentu saja cerita saya sekadar hal keluarga, hal dapur, hal anak-anak. Itu sajalah kitaran hidup saya sekarang. Namun, seperti yang saya kata tadi, jika kita memahami erti hidup, kisah biasa boleh menjadi kisah luar biasa. Dan alangkah damainya rasa jika dapat berkongsi erti hidup yang kita fahami dengan rakan-rakan yang dicintai. Berkongsi itu ertinya berkasih sayang :-)
Harapnya pembaca budiman sudi dan suka membaca cerita-ceriti, perkongsian ilmu atau apa saja yang difikirkan bermanfaat yang dilabelkan sebagai "Kongsi Rasa" ^_^




