Ketaq Lutut.

>> Tuesday, December 20, 2011

Hari ini, mesyuarat antara syarikat konsultan dengan pelanggannya. Ketar lutut dari semalam. Eh, orang lain yang bermesyuarat, kamu yang ketar lutut?

Yalah, hari ini penentu sama ada saya dapat tugasan terjemahan itu atau tidak. Ya Allah, berikanlah kasih sayang-Mu yang tidak terperi itu kepadaku. Curahkanlah rezeki yang melimpah-ruah kepadaku, Ya Allah.

Eh, cop.

Melimpah-ruah?

Secukupnya sudahlah. Mahu banyak-banyak, bukan tak tahu kamu itu cepat riak, sombong, berlagak.

Cukupkanlah bagiku rezekiku, ya Allah. Jika terlebih, gerakkanlah aku agar mengembalikannya kepada yang hak.

p/s: Teringin nak taja pelajar untuk lanjutkan pelajaran dalam bidang agama. Projek Akal Budi, mungkin?

Read more...

Sarang Maksiat.

>> Thursday, December 15, 2011

Kemungkaran berleluasa di hadapan mata. Di perkarangan rumah, di atas bumbung, di atas pagar, di bawah pokok, di subuh yang kelam, di tengah hari buta, di remang maghrib, di sepertiga malam. Tak kira tempat, tak kira masa. Paling menyedihkan, tak kira usia. Si anak kecil pun nak dijadikan mangsa.

Sampai atapku jatuh berderai ke tanah dan berlubang siling garaj dek aksi-aksi yang ganas.

Oh bertabahlah hati, mata dan telinga! Harapnya musim mengawan ini tak terlalu panjang! Sudah penat menghambat kucing jantan.

Read more...

Dekat Di Hati oleh Eyman Hykal.

>> Wednesday, December 14, 2011


Malam tadi saya ralit menghabiskan novel ini.

Pendapat saya, judul novel ini langsung tidak memberi keadilan kepada isi di dalamnya. Terlalu biasa-biasa. Seolah-olah novel ini hanya satu lagi kisah cinta. Sedangkan ia membawa jiwa yang lebih dari itu. Ia penuh falsafah dan pengajaran yang digarap bersahaja. Ia tentang mengenali jati diri dan proses pendewasaan. Kisah cintanya hanyalah 30 peratus dari keseluruhan isi novel.

Benar, ia bukan novel Islami. Ada juga babak percintaan yang tidak syariah-compliant. Tapi ia boleh dimaafkan kerana tidak melampaui batas. Ada akal, gunakannya untuk menyaring maklumat.

Ia bukan novel cinta picisan. Di dalamnya terkandung ilmu-ilmu yang boleh kita manfaatkan. Jelas penulis membuat banyak kajian sebelum menulis.

Cuma saya agak terpinga-pinga dengan pengakhirannya. Ada tanda soal di situ. Siapa sebenarnya yang dipilih hero? Dan kenapa memilih yang itu? Hmm... ada novel sambungan rupanya. Ke Mana Hatimu. Nampaknya, terpaksalah saya beli :-)

Read more...

I WANT THIS!

>> Friday, December 09, 2011

Acap kali Kak Non memberi pesan, bangun solat malam, baca ma'thurat. Dan acap kali jugalah saya menjawab, ya, ya. Tapi pesanan itu umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Jawapan saya umpama menanam tebu di tepi bibir. Sekadar memuaskan hati Kak Non agar dia tidak membebel lagi. Heh.

Bukannya tak boleh bangun. Boleh dikatakan setiap hari bangun di tengah malam. Terutama jam tiga pagi. Saya fikir ada makhluk di dalam bilik saya kerana selalu sangat saya rasa seperti dikejutkan. Yang makhluk kecil bernama Maryam itu memang sah-sah selalu minta susu. Yang makhluk tak nampak dek mata kasar pula tak tahu apa niatnya. Mungkin jin Islam yang mahu saya ikut bersamanya bertahajud.

Saya boleh bangun di tengah malam, dengan mata terpisat-pisat turun ke dapur membancuh susu, tapi untuk terus ke bilik air mengambil wudhuk begitu berat sekali. Alangkah ruginya peluang yang datang hampir setiap malam tidak dimanfaatkan. Mengapa jadi begitu, Hartini?

Saya hanya ada satu jawapan. Iaitu jahil. Apabila jahil, tak nak buatlah.

Kini saya tidak segan-segan mengaku saya jahil, padahal dulu bukan main melenting apabila dikata jahil. Sebagai seorang anak Johor totok, jahil pada kami bermakna bodoh. Jadi apabila seorang lelaki Kelantan mengatakan saya jahil, saya tidak boleh terima. Jahil bagi orang Johor mempunyai konotatif negatif, sedangkan tidak begitu bagi orang Kelantan. Setelah beberapa tahun hidup bersama lelaki itu, barulah saya mengerti jahil yang dia maksudkan ialah 'tidak mengetahui' atau 'tiada ilmu'.

Jahil lawannya 'berilmu', jadi supaya saya tidak tergolong dalam orang yang jahil, saya perlu mencari ilmu. Apa pentingnya ilmu kepada umat Islam?

Yang pertama, menuntut ilmu itu wajib ke atas seluruh umat Islam.

Dari Anas r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: "Menuntut ilmu itu wajib atas setiap orang Islam. Dan orang yang meletakkan ilmu itu di sisi orang yang tidak ahlinya seperti memberikan rantai permata, mutiara dan emas ke leher babi."

Hadis Riwayat Ibnu Majah

Kedua, menuntut ilmu itu ertinya berjalan menuju ke Syurga.
“Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”

Hadis Riwayat Muslim

Ketiga, menuntut ilmu itu satu jihad.
Daripada Anas r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: "Barangsiapa keluar mencari ilmu maka ia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali."

Hadis Riwayat At Tirmizi

Keempat, menuntut ilmu itu menghapuskan dosa.
Daripada Sakhbarah r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: "Barangsiapa mencari ilmu maka yang demikian itu akan menghapuskan dosa-dosanya yang lalu."

Hadis Riwayat At Tirmizi

Kelima, menuntut ilmu itu memurahkan rezeki.
Daripada Ziyad Bin Al-Harith berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: "Barangsiapa mencari ilmu maka Allah Taala menjamin untuk mencukupkan rezekinya."

Hadis Riwayat Al Khotib

Keenam, menuntut ilmu pasti medapat keuntungan.
Daripada Wasilah bin Asqoq r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: "Barangsiapa mencari ilmu lalu ia mendapatkannya maka baginya dapat dua pahala. Dan barangsiapa mencari ilmu tetapi ia tidak mendapatkannya maka baginya dapat satu pahala."

Hadis Riwayat Al Darami

Ketujuh, ilmu menyelamatkan kita dari tipu daya syaitan.
Daripada Abdullah Bin Abbas r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: "Seseorang yang alim (berilmu) itu lebih kuat pengaruhnya atas syaitan daripada seribu abid (yang tidak alim)."

Hadis Riwayat At Tirmizi & Ibnu Majah

Itu kelebihan menuntut ilmu. Mengajar ilmu lebih-lebih lagi dianjurkan.
Daripada Abdullah Bin Umar berkata: Rasululullah s.a.w bersabda: "Sampaikanlah apa yang kamu dengar daripadaku walaupun hanya satu ayat."

Hadis Riwayat Bukhari & At Tirmizi

Daripada Ibnu Mas'ud r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Semoga Allah memberikan kebaikan dan keindahan akan seorang yang mendengar daripada kami sesuatu lalu ia menyampaikannya kepada orang lain. Maka barangkali orang yang mendengar itu lebih mengambil manfaat daripada orang yang menyampaikannya."

Hadis Riwayat At Tirmizi

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda: "Sebaik-baik sedekah itu bahawa muslim itu belajar akan suatu ilmu kemudian dia mengajarkannya akan saudaranya yang muslim."

Hadis Riwayat Ibnu Majah

Sebab itulah saya mahukan buku hadiah GA Casa Arina seperti di bawah ini. Dengan adanya ilmu tentang kebaikan dan kelebihan amalan-amalan tersebut, semoga saya dapat beramal dengannya dan memberitahu orang lain, insya-Allah.



Buat Kak Non, semoga usahamu ini memberikanmu pahala yang berpanjangan, seperti yang dikatakan dalam hadis Rasulullah:
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda: "Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah segala amalaannya kecuali yang datang dari tiga sumber. Pertama sedekah jariah. Kedua ilmu yang memberi manfaat. Ketiga anak yang soleh yang mendoakan baginya."

Hadis Riwayat Muslim

Eh, 7 ayat saja ya, Kak Non? Terlampau sudah. Heh.

Read more...

Novel Yang Tiada Manfaat.

>> Tuesday, December 06, 2011

Malam tadi hati saya panas membara. Kalau disimbah minyak, boleh jadi api menyambar menyala-nyala. Kalau dicurah air, mungkin apinya padam tapi debunya masih hangat berasap kepul-kepul.

Saya tak henti-henti mengutuk diri saya. Bagaimana boleh terjebak membaca novel yang langsung tiada manfaat? Buang masa, tenaga, jiwa, raga. Dapat dosa lagi sebab menyumpah seranah penulis.

Kebanyakan novel di rumah adalah syariah-compliant. Tapi kerana longgokan novel yang semurah RM3 di Fiesta Buku Karangkraf, buat saya termakan hasutan untuk membeli novel yang tidak berbau Islami. Saya fikir, tak mengapalah sekali sekala.

Tajuk macam menarik. Ada bunyi-bunyi suspens di situ. Muka depan pun menimbulkan rasa ingin tahu. Jadi saya ingat, sekurang-kurangnya cerita thriller, maka tak perlulah syariah-compliant.

Rupa-rupanya, HARAM HAZABEDAH! Awal-awal lagi sudah 18SX. Warrgghhh! Bodoh, bengang, bahalul! Jiwaku tertekan! Ada mukadimah nak jadi thriller, tapi sampai ke sudah, hanya ada percintaan yang meloyakan, jijik lagi menyebalkan.

Nak berhenti membaca tak boleh, sebab itulah kelemahan saya. Sekali membaca novel, rasa ingin tahu itu sangat kuat dan wajib dihabiskan hingga ke akhir perkataan. Sepanjang membaca bait demi bait, saya sangat-sangat berharap pengakhirannya memuaskan hati.

Tapi.

Pengakhirannya buat saya rasa macam nak turun dapur, buka api dan bakar buku itu.

Kalau baca buku Pesona Solat Tahajud dan Al-Ma'thurat: Wirid dan Doa Rasulullah S.A.W yang menjadi hadiah GA Kak Non Vogue, sudah pasti saya bakal mendapat ilmu yang bermanfaat ^V^ [Hint kak non, hint]

Read more...

Gelombang Korea.

>> Thursday, December 01, 2011

"Ha, itulah lelaki yang saya suka." Jarinya yang tembun menyentuh skrin komputer.

"Kenapa suka yang itu?"

"Sebab dia kacak. Lepas itu, mata dia dekat rambut."

Geli hati. 'Mata dekat rambut'? Rambut dekat mata, adalah!

Tak habis-habis dengan Super Junior :-p

Apa pun, kejayaan artis Korea membawa Gelombang Korea bukanlah kerana nasib. Kejayaan orang Korea menggegarkan dunia adalah contoh iltizam dan ketabahan. Tiada istilah bintang segera dalam kamus mereka. Sebelum mereka menjadi artis, mereka berlatih setiap hari selama bertahun-tahun. Mereka berlatih tanpa sebarang jaminan bahawa mereka akan menjadi artis. Girls' Generation contohnya, enam tahun menyiapkan diri mereka sebelum akhirnya muncul sebagai artis. Kalau mereka jadi artis ketika berusia 17 tahun, maknanya sejak berusia 11 tahun lagi mereka sudah berlatih. Kerana itulah, apabila mereka buat kemunculan pertama, mereka terus hit dan membuat sepelosok dunia terpana.

Orang Melayu sibuk nak tiru artis Korea, padahal berlatih tiga bulan saja. Alahai...

Kesungguhan orang Korea bukan dapat dilihat dalam hiburan saja, malah di segenap industri sehingga mereka muncul sebagai kuasa ekonomi baru dalam sekelip mata setelah mengalami kehancuran peperangan.

Menariknya, orang Korea tak pandai cakap bahasa Inggeris pun ^V^

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP