Bab 2: Tom Terdengar Sesuatu - Bahagian 2
>> Saturday, December 02, 2017
Tom ada banyak duit belanja. Sebahagiannya
daripada sebuah paten kecil yang dia pasarkan sendiri. Dia tinggalkan basikal
di luar kedai makan. Sebelum masuk kedai, dia ambil langkah berjaga-jaga dengan
merantai basikal. Dia lapar dan memesan makanan yang banyak. Ketika dia sedang
makan hingga hampir habis separuh pinggan,
dia terdengar namanya dipanggil.
“Helo,
Ned!” balasnya setelah melihat seorang pemuda sebaya. “Kau dari mana?”
“Aku
dari Shopton. Pagi tadi sampai,” jawab Ned Newton sambil menarik kerusi dan
duduk semeja dengan Tom. Dua pemuda ini memang kawan baik. Semasa mereka kecil,
mereka selalu pergi memancing, berenang dan memburu bersama. Sekarang Ned
bekerja di Bank Shopton, manakala Tom sibuk menolong ayahnya. Jadi, tak
dapatlah mereka selalu berjumpa.
“Ada
kerja atau saja-saja?” tanya Tom sambil menambah gula dalam kopi.
“Kerja.
Aku kena bawa beberapa dokumen bank ke First National di sini. Kau pula?”
“Aku
datang atas urusan ayah aku.”
“Kau
ada rekaan baru?” tanya Ned sambil membuat pesanan kepada pelayan.
“Tiada.
Selepas reka pemukul telur yang aku ceritakan dulu, aku tak reka apa-apa. Tapi,
adalah benda yang aku tengah buat.”
“Apa
kata kau reka kereta atau kapal terbang?”
“Mungkin
satu hari nanti. Eh, cakap pasal kereta, kau dah tengok kereta Andy Foger?”
“Dah,
cantik betul kereta itu! Kau dah tengok?”
“Dah
tengok sedekat-dekatnya. Nyaris dia langgar aku pagi tadi.” Tom pun
menceritakan kejadian yang berlaku.
“Perangai
Andy itu memang entah apa-apa,” kata Ned. “Sekarang ayahnya belikan kereta,
makin teruklah perangainya nanti.”
“Kalau
dia cuba langgar aku lagi, nahas dia!” kata Tom dan seterusnya memesan secawan
kopi yang kedua.
Dua
orang kawan baik itu terus berbual-bual. Ketika Ned bercerita tentang kamera
barunya, tiba-tiba Tom terdengar seseorang berkata-kata, di meja betul-betul di
belakangnya, dengan suara yang agak kuat.
“Bengkel-bengkel
itu terletak di Shopton. Semuanya dekat dengan rumah Barton Swift.”
Tom
terperanjat dan mula memasang telinga.
“Susahlah
macam itu,” balas seorang lelaki. “Tapi kalau rekaan itu berharga macam…”
“Senyaplah!”
Salah seorang daripada mereka mengingatkan. “Tempat ini terlalu terbuka untuk
bincangkan hal ini. Tunggulah kita keluar kedai. Salah seorang daripada kita
kena jumpa Barton, dan kalau dia berdegil…”
“Kau
itu yang patut senyap,” bidas lelaki yang mula-mula bercakap tadi. Kemudian
suara-suara itu menjadi perlahan.
Tapi
Tom telah pun terdengar sesuatu yang membuatkan dia entahkan takut entahkan
tidak. Dia terperanjat mendengar nama ayahnya disebut-sebut hingga terjatuhkan
garfu.
“Kenapa,
gelabah?” tanya Ned sambil ketawa.
“Agaknyalah,”
balas Tom. Tanpa menunggu pelayan, dia tunduk untuk mengutip garfu. Dari hujung
mata, dia mencuri pandang pada lelaki-lelaki tak dikenali itu. Dia terkejut
apabila melihat salah seorang daripada mereka adalah lelaki sama yang
dilihatnya di pejabat pos, yang menepati gambaran orang yang menanya-nanya En.
Merton tentang bengkel-bengkel ayahnya.
“Aku
akan pasang telinga betul-betul,” fikir Tom sambil menghabiskan makanan.
Read more...