Showing posts with label Tentang Kami. Show all posts
Showing posts with label Tentang Kami. Show all posts

Siri Klan Basir: Long

>> Wednesday, June 01, 2011

Anak sulung logiklah dipanggil Long. Nama sebenarnya Fatmi. Tetapi, jarang benar orang panggil Fatmi. Kalau di kampung pun, tetap glamor dengan panggilan Long. Ada juga orang kampung yang panggil Sam. Entah datang dari mana panggilan Sam itu.

Kalau ditelek gambar Long ketika kecil, dia seorang kanak-kanak yang comel dan ceria. Di bibirnya sentiasa terukir senyuman lebar hingga ke telinga. Pipi sampai tercembul ke atas. Tetapi entah kenapa apabila besar, seperti 'Grumpy The Dwarf' pula. Asyik-asyik marah. Asyik-asyik merengus.

Mungkin dia tidak suka belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Baru Tingkatan 1, sudah perlu berdikari jauh nun di Perak sana. Malah, kesempitan hidup tidak membenarkan dia balik kampung selalu. Zaman itu, kemudahan pengangkutan pun tidak sehebat sekarang. Dari Perak ke Johor, perlu menaiki keretapi. Dahulu, saya selalu keliru, apa benar Long ini abang saya, kerana jarang benar berjumpa.

Sudahlah berkelana ketika sekolah menengah, melanjutkan pelajaran pun di luar negara. Hah, ini lagilah tidak boleh pulang ke kampung. Arwah Abah kata, Long asyik telefon ke rumah sahaja. Asyik tanya sama ada Abah sihat. Maklumlah, Abah sakit buah pinggang. Macam-macam rawatan yang sudah Abah lalui, namun tetap begitu. Malah, buah pinggang baru pun rosak juga. Akhirnya, pelajaran Long di Kanada terkandas di tengah jalan kerana kerinduan yang melampau. Mungkin juga Sains Komputer bukanlah bidang yang diminatinya.

Atau mungkinkah kerana kecewa cintanya ditolak gadis bernama Mia?

Perubahan Long mula kami lihat setelah dia pulang. Sikap perengusnya boleh difahami, kerana tentu sahaja dia merasa rendah diri, merasakan diri sebagai orang yang gagal. Selain itu, tidak salah kalau saya katakan, Long menghidapi OCD, iaitu Obsessive Compulsive Disorder. Ketika di Kanada, tiada pelajar atau keluarga Melayu yang lain. Maka, Long serumah dengan pelajar dari negara Timur Tengah. Mungkin pergaulan dengan mereka menjadikan Long agak pelik. Contoh kepelikannya, ambil wudhuk berkali-kali, takbiratulihram berkali-kali, di tandas berdehem berkali-kali.

Abah selalu menjerkah, "Kenapa takbir banyak-banyak kali, Long?"
Long menjawab, "Niatnya tidak masuk semasa takbir, Abah."
Abah segera membalas, "Hisy, kalau sudah berniat mahu solat, kira masuklah niatnya."
Long hanya diam.
Abah menyambung lagi, "Was-was itu permainan syaitan, Long."

Long kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa. Kali ini, Long mengambil kursus Bahasa Inggeris. Wah, nampaknya dia sudah menemui jiwanya. Memang kena! Setelah graduasi, Long mendapat tawaran sebagai guru bahasa di Universiti Teknologi Malaysia. Semua merasa sangat gembira kerana akhirnya nasib Long akan berubah baik.

Namun, cerita tragis Long tidak terhenti di situ. Pada hari Long melapor diri, hujan turun dengan lebatnya di waktu subuh. Abah dan Mak sungguh rungsing. Bagi mereka, biarlah tunggu hujannya reda. Long pula, bertegas mahu pergi ke Johor Bahru usai solat Subuh. Ini perangai Long dari dahulu hingga sekarang, semuanya mesti ikut peraturan. Kalau diarah melapor jam 8 pagi, jam 8 pagilah melapor tanpa kompromi.

Abah menyarankan, "Kalau mahu pergi, bawalah kereta."
Long menjawab, "Tidak mengapalah. Nanti Abah hendak guna kereta. Biar Long naik motor."
Mak segera meningkah, "Hujan lebat ini, Long! Naik kereta sahaja."

Walau sudah dihalang, Long tetap mahu menaiki motor. Perlu diberitahu di sini, enam belas tahun yang lalu, dari Benut ke Johor Bahru masih menggunakan jalan lama. Walaupun bertar, namun tetap sukar. Jalannya berliku-liku. Kiri kanan masih hutan yang tebal. Sunyi sepi tiada penghuni. Kalau kenderaan rosak di tengah jalan, memang nahas. Menunggulah tepi jalan, sehingga ada yang mahu menolong.

Sudah ketentuan Tuhan, motor Long terlanggar lubang di tengah jalan yang digenangi air hujan. Sudahlah hujan lebat, subuh pula itu. Tidak ramai yang lalu lalang. Jadi, agak lama barulah Long ditemui. Long terus dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana dia sudah koma ketika itu.

Abah dan Mak tidak putus harap. Mereka sentiasa di sisi Long, mengharap Long sedar dari tidurnya yang panjang. Sebelum tragedi itu, Long sudah ditunangkan dengan gadis pilihan Abah. Apabila hal seperti ini berlaku, Abah bertanya sekiranya tunang Long mahu memutuskan pertunangan. Menurut doktor, walaupun Long sedar dari koma, tangannya yang patah akan cacat. Pembedahan tidak dapat dilakukan selama Long koma.

Tunang Long mahu teruskan juga. Baginya, inilah takdir yang ditentukan Allah untuknya. Lalu, tunang Long setia menunggu di sisi Long, bergantian dengan Abah dan Mak.

Yang agak kelakar, doktor menyarankan kami sentiasa berbual dengan Long dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Menurutnya, ada tikanya mulut Long akan terkumat-kamit. Apabila diamati, rupanya dia sedang bercakap dalam Bahasa Inggeris! Maklumlah, mahu melapor diri sebagai guru bahasa.

Subhanallah. Maha Suci Allah. Akhirnya Long sedar dari komanya selepas sebulan. Ia boleh dikatakan satu keajaiban. Sikap perengusnya pula semakin menjadi-jadi. Namun, kita faham mengapa dia bersikap begitu. Orang sakit, begitulah. Emosinya kurang stabil. Long kemudiannya berkahwin dengan tunangnya, iaitu Kak Azie, kakak ipar sulungku yang kusayangi. Kini, mereka sudah pun mempunyai tiga orang anak yang cantik dan kacak.


Perengusnya mungkin berkurang, tetapi OCDnya masih menjadi-jadi. Adakalanya Mak menangis seorang diri melihat keadaan Long yang mengambil masa hampir sejam hanya untuk solat beberapa rakaat. Kalau di bilik air pun, punyalah lama mengalahkan anak dara. Kerana itu, Mak sudah lama menyimpan niat untuk pergi mengerjakan umrah bersama Long. Dengan harapan Long boleh sembuh daripada penyakitnya itu.

Long, Tini juga doakan Long terhindar dari segala perasaan was-was, syak wasangka dan wazan yang sengaja ditiupkan oleh syaitan ke dalam hati-hati manusia. Semoga Long selamat di dunia dan akhirat, dan dirahmati Tuhan. I love you, Long.

Read more...

Nenek Tim Mengerjakan Umrah.

>> Tuesday, May 31, 2011

Hujung minggu lepas, kami pulang ke Johor untuk menghantar Nenek Tim berlepas mengerjakan umrah bersama Long. Semua ada kecuali keluarga Abang Farid yang kini berada di Manila.

Gambar beramai-ramai wajib ada.


"Long, nanti kau yang jaga Mak, bukan Mak jaga kau!" pesan Abang Ali dengan kejam. Long menyahut, "Macam yang dalam gambar ini!" lalu bergaya di hadapan kamera.


Apa pun, kamu nampak beg tangan ibu saya? Meraung saya dibuatnya. Beg Burberry, dik. Untuk dibawa ke masjid katanya. Diisi telekung, al-Quran, cermin mata dan lain-lain keperluan di masjid. Hadiah daripada Abang Farid sempena Hari Ibu. Aduh, kalau untuk saya gayakan ke majlis glamor, barulah kena! :meraung lagi:

Read more...

Cuci Gigi di Klinik Pergigian Kerajaan

>> Tuesday, May 24, 2011

Sejak bekerja sepuluh tahun dahulu, tidak pernahlah menjejak kaki ke klinik pergigian kerajaan. Almaklum berduit. Syarikat pun beri peruntukan untuk rawatan gigi. Orang sudah memberi, kita pun merasalah! Takkan mahu tolak pula. Hehe.

Kiranya waktu itu, tiada kelaslah mahu ke klinik kerajaan. Cuci gigi pun mengada mahu ke klinik pergigian di Midvalley :-p

Sekarang, sudah tidak berduit, buatlah gaya tidak berduit hik3x. Gigih pagi-pagi sudah keluar rumah. Sampai ke Klinik Pergigian Shah Alam jam 8.20 pagi. Ketika itu, sudah ramai! Mujurlah dapat duduk, itupun terpaksa menyelit untuk masuk.

Mudah sahaja mahu ke Klinik Pergigian Shah Alam. Jika tahu Wisma Jakel Shah Alam, tentu tahu di mana lokasinya. Ia terletak di antara Wisma Jakel dan Taman Tasik Seksyen 7 Shah Alam.

Prosedur di klinik pergigian kerajaan begini ya, adik-adik, kakak-kakak. Mula-mula, ambil nombor. Tiket nombor tersebut ada dua. Satu untuk kita kepilkan dengan kad pengenalan/kad temujanji dan dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan di kaunter pendaftaran. Klip kertas juga ada disediakan di situ. Satu lagi untuk kita simpan. Kemudian, duduklah dahulu. Jururawat akan memanggil nama kita untuk urusan pendaftaran dan pembayaran pendaftaran sebanyak RM1.

Kemudian, duduklah lagi menunggu nombor dipanggil. Boleh tengok TV. Boleh baca buku. Mahu melangut pun boleh. Tetapi, kalau melangut berjam-jam, boleh sakit jiwa. Seeloknya bawalah buku yang tebal. Kalau terlalu nipis, cepat habis dibaca, nombor belum dipanggil. Haru-haru. Namun, di dalam ramai-ramai, hanya saya seorang yang membawa buku. Hebat sungguh tahap kesabaran mereka yang lain :-p

Alhamdulillah, giliran saya untuk berjumpa doktor gigi pun tiba. Jam 10.30 pagi. Tsk tsk. Apabila saya masuk ke dalam bilik rawatan, kelihatan seorang doktor gigi berbangsa India dengan jururawat Melayu. Begitu mesra doktor itu. Malah, memberi arahan kepada pembantu pun dengan lemah lembut. Gigi saya pun mendapat layanan yang mesra, lemah lembut dan teliti ^V^

Setelah selesai rawatan, jururawat akan memberi kad merah untuk dibawa ke kaunter pendaftaran. Di situ jugalah bayaran perkhidmatan dibuat. Untuk mencuci gigi, harganya RM2. Jika doktor memberi preskripsi ubat, ia perlu di ambil di farmasi.

Nah! Kos mencuci gigi hanyalah RM3 di klinik pergigian kerajaan. RM1 untuk daftar, RM2 untuk perkhidmatan. Tunggu dua jam pun tidak mengapalah. Asal dapat jimat! :-p

Jika di klinik pergigian swasta, khidmat cuci gigi atau 'scaling' berharga di lingkungan RM50 hingga RM150. Hasil yang sama, iaitu gigi yang bersih daripada kaviti, tetapi lebih cepat. Tepuk dada, seluk poket, tanya selera :-)

Read more...

Girls Get Together.

>> Sunday, May 22, 2011

Buat malu jawa saja. Tetamu sudah sampai, makanan belum siap hidang. Mujurlah tetamu itu jawa juga, malah macam kembar lagi. Seiras, kata orang. [Tentunya saya yang lebih cantik :-p] Sudahlah sepejabat. Acap kalilah orang tertukar kami berdua. Apatah lagi, portfolio kami saling berkait. Kalau mesyuarat, dua-dua perlu ada. Kalau naik tanduk pun, sama-sama. Inggeris kata, partner in crime.

Adakah patut, tetamu yang seorang ini, datang-datang terus masuk dapur, buka peti ais bawah, buka peti ais atas, buka almari? Kalah mak mertua lagaknya! HAHAHAHA. Very the javanese, okay? Bahasa jawanya begini, kok kae wong jowo?

Apa pun, terima kasih kepada tetamu yang datang. Seronok sangat. Kalau ada salah silap, lauk tidak sedap atau layanan yang hambar, minta maaf banyak-banyak. Kepada kawan-kawan yang tidak dijemput, jangan merajuk ya? Buat kecil-kecilan sahaja. Maklumlah, tuan tanah masih sakit. [Poket pun cepi, bak kata orang kampung.]

Ehem. Gang of Four siap membeli belah di Ariani lagi :-p Nak contact seorang kakak yang kononnya rumah di hadapan Ariani untuk ajak berjemaah, tiada nombornya pula :-p

Read more...

Sesi Fisioterapi yang Pertama.

>> Saturday, May 14, 2011

Suara lelaki menerjah telinga, "Puan Hartini?"

Saya segera menjawab, "Ya, saya," lantas meletakkan surat khabar yang dibaca ke tempat asal.

"Mari masuk ke dalam."

Saya membuntutinya dengan penuh tanda tanya. Masuk? Tetapi, bukankah peralatan bersenam semuanya di bahagian luar?

Seperti tahu-tahu, dia menerangkan, "Mula-mula, kita akan mulakan rawatan menggunakan mesin. Kemudian, baru kami akan ajar cara-cara bersenam."

Di bahagian dalam, terdapat bilik-bilik rawatan yang hanya bertutup langsir. Juru terapi itu menyelak langsir Bilik 6. Hanya ada satu katil dengan lubang tengah di pangkal dan satu mesin.

"Silakan baring, puan."
"Menelentang atau meniarap?"
"Meniarap, ya puan. Kepala puan di lubang itu."

Dengan bersusah-payah, saya memanjat katil dan baring di atasnya. Dan bermulalah rawatan fisioterapi. Mula-mula, bahagian yang sakit diletakkan 'hot plate'. Panasnya bukan main! Pijar kulit dibuatnya. Setelah menderita berminit-minit, dirawat pula dengan 'electric current' selama 15 minit. Memandangkan kulit sudah pijar dek kepanasan melampau, karen letrik itu terasa seperti gigitan semut sahaja. Rawatan terakhir adalah 'ultrasound' selama 7 minit. Hmm, ingatkan ultrasound untuk intai bayi dalam perut sahaja :-p

Komen saya, seperti rawatan spa! Agak-agak, boleh cairkah lemak di bahagian yang dirawat itu?

Yang tertekannya, kesucianku ternoda. Huwaaaaa! Mujurlah juru terapi lelaki hanya di awal rawatan sahaja. Selepas meletak 'hot plate', juru terapi wanita ambil alih. Sampai tiga orang. Itu pun, adakalanya mereka terpaksa meminta bantuan juru terapi lelaki tadi, kerana mereka masih pelajar. Siap berbincang-bincang cara yang betul. Ada yang cakap, "Aku tidak pandailah guna mesin ini!" Huhu, jangan, dik. Nanti akak masuk Harian Metro, muka depan lagi. Yang lelaki tadi, terserlah kepakarannya. Jadi, mahu tak mahu, redha sahajalah :-p

Adik-adik, cepatlah pandai! Akak tidak direla. Harap-harap sesi seterusnya dirawat oleh perempuan sepenuhnya.

Kemudian, salah seorang pelajar dalam latihan itu mengajar dua senaman sambil dipantau juru terapi lelaki tersebut. Seronok! Dia juga mengajar teknik-teknik pergerakan asas seperti bagaimana mahu bangun, mahu baring, mengambil barang jatuh dan sebagainya. Alhamdulillah, teknik-teknik tersebut sangat-sangat membantu kerana sakit belakang sudah berkurangan. Insya-Allah, jika ada kesempatan waktu, saya kongsikan di sini.

Mulai minggu depan, sesi fisioterapi saya diadakan dua kali seminggu. Tak sabar! Katanya, mereka mahu ajar senaman-senaman yang lain. Woohoo!

Oh ya, selepas ini, perlu bawa buku. Bosan meniarap. Kurang-kurang, boleh lupakan kesakitan :-)

Read more...

Suntingan Pertama.

>> Wednesday, May 04, 2011

Aini berkata, "Telefon sahaja penulis."
Saya tertawa kecil lantas menjawab, "Bagaimana mahu telefon, penulisnya di Jordan!"

Memandangkan bukunya sudah pun terbit dan senaskhah telah sampai ke peti surat saya, bolehlah diwar-warkan. Hei kawan, inilah dia manuskrip pertama yang saya sunting! Bukunya bertajuk Batu-bata Kehidupan, tulisan Hilal Asyraf.



Wow wee! Seronok rasanya apabila terpandang nama di situ. Walaupun sekadar penyunting, terselit juga rasa bangga. Tapi, tidaklah bangga sangat, kerana suntingan tidak 100% mantap. Masih ada ruang untuk diperbaiki. Apabila dibukukan, mata lebih cepat menangkap kesalahan-kesalahan. Tak mengapalah. Untuk seorang amateur, hasilnya boleh tahan [penilaian sendiri, acikah?]

Baru-baru ini, saya menyunting manuskrip terjemahan. Sebuah buku motivasi hidup yang ditulis oleh seorang pakar bedah. Tajuknya, rahsia :-) Apabila sudah terbit, baru boleh cakap :kenyit:

Read more...

Barang Yang Kutunggu Sudah Sampai!

>> Monday, March 07, 2011

Dengan gigih, Cik Mat merempuh traffik Kuala Lumpur yang terkenal kegilaannya. Dua jam setengah baru sampai ke destinasi. Namun, tibanya dia ke destinasi, melepasi pintu gerbang, dia tertanya, "Adakah aku sudah memasuki dunia yang lain?"

Di saat kereta berhenti di hadapan sebuah rumah, matanya terkelip-kelip. Apa taknya, TTM. Haaa, tengok ini. Banglo tiga [atau mungkin empat] tingkat, you!


Gambar ini acik ceduk dari iproperty. Manalah berani mahu ambil gambar rumah sebenar hehe.

Baiklah, tujuan pergi ke situ bukanlah ingin terkesima melihat kehebatan rumah jutaan ringgit, tetapi ingin mengambil barang yang dititipkan oleh Aida melalui kenalannya di U.K. yang pulang sebentar untuk mengemas rumah baru mereka.

Ya ampun, barang apa yang kau sumbat, Aida? Sampai sebesar ini kotaknya.

Eh eh, taklah. Memang ngam-ngam kotak barang itu. Haaa... silalah baca ya apakah barangnya hihihihihihihi [acik mengilai macam pontianak sudaaaahhh]

Gedabak, TTM! Fatimah berteriak, "Wow, besarnya, Mama!" Nak keluarkan dari kotak punyalah payah. Sampai tertindih kaki Fatimah yang menyibuk di dapur. Memang padan muka dia.

Lihatlah, hampir sama besar dengan oven 35 literku. Heeee, I like! Hitam putih macam tahi cicak :-p

Papan kekunci fungsi Breadmaker Argos.

Pandangan dalam Breadmaker Argos. Bersinar-sinar hingga memantulkan cahaya :-p

Manual Breadmaker Argos dan Buku Resipi yang diberikan percuma.

Yahuuuuuu, acik sudah punya breadmaker! Walau tak tahu bila mahu membuat rotinya :-p Gambar rotiku yang pertama pastinya akan ditepek di sini ^V^

Ucapan ringkas, terima kasih kepada Aida kerana membelikan BMku ini, walaupun acik sungguh terlampau menitipkan hanya 5 pound untuk urusan penghantaran :sengih kambing: Juga terima kasih kepada Aini yang telah menghantar bersama duit ringgitku ke Manchester. Nanti jemputlah tengok gambar roti-rotiku di blog ini.

Read more...

Komik Sains Ikhtiar Hidup Lagi.

>> Saturday, February 19, 2011

Ibu manalah yang tak bahagia, kalau anak-anak rajin membaca. Selama ini penat menyucuk jarum, tapi hampa. Boleh ditulis haiku begini:

Buku majalah yang dibeli
Jadi ornamen di dalam almari
TV dan PC juga yang diminati

Eh, haikukah begitu? Hehe. Hantam sajalah.

Jadi, sangat-sangat teruja apabila Ameer suka membaca komik sains Ikhtiar Hidup. Rasa mahu menjerit hip hip horray apabila dia bertanya, "Dinosaur Jilid 2 mana?" Akak pun apalagi, cubalah merasuah. "Kalau Ameer rajin solat 5 waktu, rajin tolong Mama, jaga akhlak, Mama belikan yang Jilid 2."

Amboi, amboi. Memang rajin solat, dik. Laju saja kalau diingatkan. Malah, siap belajar basuh kasut dan basuh pinggan sendiri selepas makan. Akak pun kenalah tunaikan janji. Tak payah ke kedai buku. Klik klik saja di MPHOnline. Padahnya, alih-alih satu koleksi akak tekan 'Add to Cart'. Kemudian, sampailah posmen ke rumah akak dengan sekotak besar buku-buku :-)


Tapi, bukan untuk diberi sekaligus. Semalam, seorang dapat satu. Seronok betul mereka. Sampai mulut yang berkicau lapar, terus senyap mengadap buku hingga sejuk makan malam. Yang lainnya sudah disorokkan di dalam almari untuk sogokan rasuah akan datang ^V^

Read more...

Ameer dan Kecantikan.

>> Friday, February 18, 2011

Saya fikir, budak lelaki tidak hairan tentang kecantikan sehinggalah usia remaja, atau sesudah baligh. Sungguh naifnya Mama, kerana Ameer nampaknya sudah pandai bicara tentang cantik atau tidak cantiknya seorang perempuan :-p

Senario #1:
Mama, Mama!
Ya?
Tengok Bi, Mama!
Kenapa dengan Bi?
Hidung dia cantiklah. Ha, mata dia pun. Tapi, rambut dia macam boy.
Yalah. [Malas nak layan]

Senario #2:
Mama, Bi cantiklah.
Habis, Fatimah?
Hmmm... [Pause] Fatimah cantik sikit je. [Dengan suara yang mengendur, statement jaga hati agaknya :-p] Tapi, Bi coklat. Eh, tak, tak. Kaki Bi je coklat. Muka Bi putih, eh tak, tak, peach. Haaa, muka Bi peach.
Yalah. [Malas nak layan. Mujur Fatimah tiada dalam kereta, kalau tidak, jenuh nak selesaikan perang dunia ke-tiga]

Sebenarnya, Ameer memang betul. Maryam mempunyai ciri-ciri yang menonjol seperti hidung yang mancung, anak mata yang memancar hitam, alis yang terbentuk dan bulu mata yang panjang melentik. Tapi, Allah itu Maha Adil. Kulitnya pula gelap. Berbanding Fatimah yang hidungnya pesek jambu air [kih3x ampunkan Mama, sayang] tapi kulitnya pula putih gebu kemerahan.

Apa pun, kedua-duanya tetap anak gadis Mama :-)

Psstt... nampaknya respons giveaway bulan Februari di luar dugaan. Tengok ruangan komen saja sudah letih mahu kemaskini senarai peserta. Tunggu 28 Februari sajalah ya, untuk senarai peserta terkini? ^V^

Berkenaan tshirt muslimah yang dititipkan kawan-kawan, ibu saya di kampung [Johor] yang menguruskan pemberian kepada mangsa banjir, kebakaran dan anak-anak yatim. Tak dapat ambil gambar kerana ibu buta teknologi, sedangkan telefon bimbit pun tak pandai diguna [ampunkan tini, mak!]. Terima kasih atas sumbangan anda. Janji Allah pasti untuk mereka yang memberi :-)

Read more...

15 Februari 2011.

>> Tuesday, February 15, 2011

Tarikh ini. Tarikh istimewa. Satu, hari keputeraan Rasulullah. Kedua, hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-9 :-)

Ia tidak diraikan. Malah, cincin tunang sudah hilang dirampok orang. Gelang kahwin pula entah ke mana dihilangkan Fatimah [anak bertuah!]. Terus terang cakap, tiada benda yang boleh dijadikan kenang-kenangan. Tidak mengapalah. Apa dikenang kisah yang lalu. Kerana yang ada sekarang sudah cukup membahagiakan :-)

Read more...

Hari Pertama Sekolah.

>> Monday, January 03, 2011

Amboi! Bersinar-sinar muka Ameer pagi ini. Matanya bercahaya. Pipi gebunya tampak licin dan memancar. Yang pelik, mudah pula bangun walaupun sudah berbulan-bulan tak pernah bangun pagi. Tentu tak terasa dinginnya naik motor dek hati yang bahagia.

Fatimah pula, sangat bersemangat. Berkali-kali tanya Mama bila nak pergi sekolah. Nanti lambat katanya. Adeh, Mama nak golek-golek sekejap dengan Maryam pun tak boleh. Terpaksa Mama mandi pagi-pagi [oppss, pecah rahsia tak suka mandi pagi, sejuk bbrr]

Tengoklah gaya Fatimah mahu ke sekolah. Lengkap bertudung, berkasut putih, dan berbeg merah jambu :-)


Namun, alangkah kasihannya anak Mama. Dah siap masuk kereta, kereta pula tak mahu hidup enjinnya. Puas Mama pusing engkol enjin :-(

Kecewa benar sampai terus tertidur di atas sofa di ruang tamu. Tsk. Maafkan Mama, sayang....

Read more...

Persekolahan Anak-Anak.

>> Saturday, January 01, 2011

Ameer:
Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 Shah Alam [Tahun 2]
Bayaran tambahan persekolahan = RM48.50
Sumbangan PIBG = RM50
Keperluan murid = RM19 (Tidak termasuk buku, tshirt sukan dan lencana sekolah)
Jumlah kasar = 117.50

Sekolah Agama Islam Darul Quran Seksyen 7 Shah Alam [Tahun 2]
Yuran Pendaftaran = RM295
Buku teks = RM40.05
Jumlah kasar = RM335.05
Yuran bulanan = RM75 (Sekolah agama swasta yang berdaftar dengan JAIS)

Fatimah:
Tadika Tunas Bestari Seksyen 7 Shah Alam [6 Tahun]
Yuran pendaftaran = RM765
Yuran bulanan = RM160

Aik? Sekolah tadika yang paling mahal? Hehe... Oleh itu kawan-kawan, kalau anak sudah berumur 5 tahun, cepat-cepatlah mendaftar ke prasekolah kerajaan. Maklum saja murah, memang cepat penuh! Ini pun akak cari tadika yang murah. Di Shah Alam, tadikanya mahal-mahal belaka. Yuran bulanan rata-rata RM300. Alhamdulillah, Allah nampakkan kepada kami tadika yang yurannya berpatutan. Islamik dan berdekatan dengan surau. Alhamdulillah sekali lagi, ada sekolah agama swasta berdekatan tadika itu dan harganya juga berpatutan. Akak berazam, selepas ambil Ameer di sekolah rendah, kami lepak surau itu sahaja sementara menunggu sesi persekolahan sekolah agama untuk belajar mengaji. Pak Menteri dah bagi lampu hijau untuk makan tengahari di kedai berdekatan, tapi...

Bawa bekal air katanya :-)

Read more...

Terubat Rindu.

>> Thursday, December 23, 2010

Bertemu Cik Pisi setelah seminggu lebih berjauhan, Ameer betul-betul memaksimakan setiap saat bersamanya. Berteleku menatap wajah Cik Pisi dari awal membuka mata hingga pelupuk mata tiada daya menahan kantuk. Lupa makan, lupa minum. Tidak berbunyi langsung mulutnya bertanya khabar orang dapur, "Mama masak apa? Saya lapar." Makan terpaksa disuruh-suruh. Kalau tidak, alamat jadi macam budak Korea yang kiok setelah tiga hari tiga malam menghadap komputer.

Mama pula dapat teman baru yang ganteng sekali, En. Laptop :-) Terima kasih kepada syarikat yang menyewa rumah kami di Seksyen 14, PJ, yang membayar 2 bulan sewa deposit. Kami cuma minta sebulan, tapi mereka beria-ia nak bayar 2 bulan. Kontrak pula 2 tahun. Rezeki jangan ditolak kata orang hehehe....

Read more...

Berjalan Sini Sana.

>> Monday, December 20, 2010

Aduh capek, bak kata jiran seberang. Malam tadi baru pulang selepas mengembara menyusuri pantai barat Semenanjung, dari Shah Alam, Selangor hingga ke Sg. Petani, Kedah di utara nun, kemudian turun ke selatan dan singgah di pertengahan memanjat jaringan Banjaran Titiwangsa untuk menghirup udara sejukbeku Cameron Highland, Pahang, seterusnya kembali ke tanah tumpah Benut, Johor. Sempat juga melewati pesisir Pantai Lido di Johor Bahru.

Penat tapi seronok :-)

Read more...

Hidup Dalam Kegelapan.

>> Friday, December 03, 2010

"Kamu duduk dalam gelap, Tini?" tanya ayah mertua sebaik melangkah masuk ke dalam rumah.

Akak hanya mampu tersengih. Ibu mertua pula yang tolong menyahut, "Jimat bil letrik!"

Apa tidaknya, terbeliak mata tengok bil eletrik bulan lepas untuk rumah yang baru kami duduki. RM600 lebih! Belanja dapur kami sebulan pun tidak sebanyak itu. Maklum saja, rumah ini dilengkapi dengan tiga penghawa dingin. Lampu pula, sekali tekan suis, empat lampu pasang serentak. Suami awal-awal lagi sudah mengharamkan penggunaan penghawa dingin untuk kami anak-beranak. Hanya boleh buka untuk tetamu sahaja. [Kera di hutan disusukan?] Penggunaan lampu dan kipas juga perlu dikawal. Kalau tidak, bernanahlah telinga dengar, "Banyaknya pasang lampu!" Ayat pertama yang keluar dari mulut apabila si dia pulang dari kerja. Bukan, saya rindu awak atau i love you so much atau yang seangkatan dengannya :-p

Masalahnya, dik, rumah dua tingkat, memang gelap. Siang sama gelap macam malam. Lainlah kalau lot hujung yang mempunyai banyak tingkap. Jadi, terpaksalah akak kamu ini duduk bergelap di waktu siang :-)

Tak mengapalah. Belajar hidup dalam gelap. Asalkan hati tetap bercahaya bagai bintang di malam kelam, cewah!

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP