Showing posts with label Ingin Tahu. Show all posts
Showing posts with label Ingin Tahu. Show all posts

Panggilan.

>> Thursday, August 25, 2011

Katakanlah Mat Salih sebut, "I have found my calling," agak-agak boleh tak Melayu cakap, "Aku telah menemui panggilanku"?

Bunyinya macam pelik, kan? Ini terjemahan secara langsungkah, Hartini?

Nanti dulu.

Tengok ini apa kata Prof Abdullah Hassan dalam bukunya, Kamus Simpulan Bahasa.

Panggilan hidup = kecenderungan hati untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Panggilan jiwa = serupa dengan panggilan hidup.

Jadi tak salah kalau 'I have found my calling' diterjemah kepada 'Aku telah menemui panggilan hidupku/jiwaku'.

Menarik bukan, melihat banyak persamaan simpulan bahasa dan peribahasa bangsa-bangsa di dalam dunia ini :-)

Read more...

Cuci Gigi di Klinik Pergigian Kerajaan

>> Tuesday, May 24, 2011

Sejak bekerja sepuluh tahun dahulu, tidak pernahlah menjejak kaki ke klinik pergigian kerajaan. Almaklum berduit. Syarikat pun beri peruntukan untuk rawatan gigi. Orang sudah memberi, kita pun merasalah! Takkan mahu tolak pula. Hehe.

Kiranya waktu itu, tiada kelaslah mahu ke klinik kerajaan. Cuci gigi pun mengada mahu ke klinik pergigian di Midvalley :-p

Sekarang, sudah tidak berduit, buatlah gaya tidak berduit hik3x. Gigih pagi-pagi sudah keluar rumah. Sampai ke Klinik Pergigian Shah Alam jam 8.20 pagi. Ketika itu, sudah ramai! Mujurlah dapat duduk, itupun terpaksa menyelit untuk masuk.

Mudah sahaja mahu ke Klinik Pergigian Shah Alam. Jika tahu Wisma Jakel Shah Alam, tentu tahu di mana lokasinya. Ia terletak di antara Wisma Jakel dan Taman Tasik Seksyen 7 Shah Alam.

Prosedur di klinik pergigian kerajaan begini ya, adik-adik, kakak-kakak. Mula-mula, ambil nombor. Tiket nombor tersebut ada dua. Satu untuk kita kepilkan dengan kad pengenalan/kad temujanji dan dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan di kaunter pendaftaran. Klip kertas juga ada disediakan di situ. Satu lagi untuk kita simpan. Kemudian, duduklah dahulu. Jururawat akan memanggil nama kita untuk urusan pendaftaran dan pembayaran pendaftaran sebanyak RM1.

Kemudian, duduklah lagi menunggu nombor dipanggil. Boleh tengok TV. Boleh baca buku. Mahu melangut pun boleh. Tetapi, kalau melangut berjam-jam, boleh sakit jiwa. Seeloknya bawalah buku yang tebal. Kalau terlalu nipis, cepat habis dibaca, nombor belum dipanggil. Haru-haru. Namun, di dalam ramai-ramai, hanya saya seorang yang membawa buku. Hebat sungguh tahap kesabaran mereka yang lain :-p

Alhamdulillah, giliran saya untuk berjumpa doktor gigi pun tiba. Jam 10.30 pagi. Tsk tsk. Apabila saya masuk ke dalam bilik rawatan, kelihatan seorang doktor gigi berbangsa India dengan jururawat Melayu. Begitu mesra doktor itu. Malah, memberi arahan kepada pembantu pun dengan lemah lembut. Gigi saya pun mendapat layanan yang mesra, lemah lembut dan teliti ^V^

Setelah selesai rawatan, jururawat akan memberi kad merah untuk dibawa ke kaunter pendaftaran. Di situ jugalah bayaran perkhidmatan dibuat. Untuk mencuci gigi, harganya RM2. Jika doktor memberi preskripsi ubat, ia perlu di ambil di farmasi.

Nah! Kos mencuci gigi hanyalah RM3 di klinik pergigian kerajaan. RM1 untuk daftar, RM2 untuk perkhidmatan. Tunggu dua jam pun tidak mengapalah. Asal dapat jimat! :-p

Jika di klinik pergigian swasta, khidmat cuci gigi atau 'scaling' berharga di lingkungan RM50 hingga RM150. Hasil yang sama, iaitu gigi yang bersih daripada kaviti, tetapi lebih cepat. Tepuk dada, seluk poket, tanya selera :-)

Read more...

Menjaga Tulang Belakang.

>> Thursday, May 19, 2011

Untuk menjaga tulang belakang, kata kuncinya postur badan. Saya sedar, itu penyebab utama penyakit saya. Suka ambil jalan senang, tapi akhirnya tubuh yang ranap.

Di sini saya kongsikan nasihat tentang postur badan yang diberikan oleh juru terapi di DEMC, Shah Alam. Gigih pagi-pagi melukis :-p

Pertama, postur badan ketika mengangkat barang di atas lantai. Selalunya, kita akan membongkok. Senang, satu pergerakan, kerja selesai. Tetapi, kalau pinggang berbunyi 'krek', haru. Yang lebih elok, kita mencangkung dahulu. Kemudian, barulah mencapai barang. Pastikan belakang tetap lurus ketika mencapai.



Kedua, postur untuk bangun dari tidur. Yang mudah, kita bangun selamba sembilan puluh darjah. Aduh, kasihan badan kamu. Baru bangun tidur, belum apa-apa lagi sudah dilenjan begitu. Seeloknya, mengiring dahulu. Tangan yang di atas, menjulur ke depan. Siku tangan di bawah berbentuk L menekan tilam. Perlahan-lahan, dengan sokongan tangan yang menjulur, siku tangan bawah menolak badan ke atas.

Ketiga, postur untuk baring. Mula-mula, turunkan badan perlahan-lahan untuk mengiring. Selepas mengiring, baru pusing untuk baring menelentang.

Keempat, postur untuk bangun dari duduk. Mula-mula, duduk dengan kaki terlipat di bawah, seperti duduk antara dua sujud. Letakkan kedua-dua tangan ke depan atau di sisi, angkat punggung dan bertinggung. Seterusnya, berdiri dengan sokongan tangan. Senang cerita, gaya ini seperti kamu sudah selesai tahiyat awal di rakaat kedua dan mahu berdiri untuk meneruskan rakaat ketiga.

Itu sahaja buat kali ini. Gambar akan ditambah selepas saya pulang dari sesi fisioterapi nanti. Saya mahu bersiap-siap, temujanji jam 9.30 pagi.

Ingat ya, jaga tulang belakang kamu!

Read more...

Tarikh Penting April 2011.

>> Wednesday, April 06, 2011

30 April 2011 adalah tarikh yang wajib diingati. Pertama, ia tarikh terakhir untuk menghantar borang cukai pendapatan 2011. Klik sini untuk maklumat lanjut.

Kedua, ia juga tarikh terakhir untuk mendaftarkan anak-anak kelahiran 2005 dan 2006 untuk kemasukan sekolah rendah bagi tahun 2012 dan 2013. Untuk warga Selangor, klik sini untuk maklumat lanjut.

Ketiga, Giveaway April 2011 berakhir pada jam 11.59 malam pada tarikh ini. Klik sini untuk maklumat lanjut. Sempat lagi promosi nyeh nyeh.

Dan, tahukah kamu, 30 April adalah Hari Kejujuran? Konsepnya, semua orang perlu bersikap jujur pada hari itu. Hei, sepatutnya jujur setiap harilah!

Hari Bumi pula bakal disambut pada 22 April. Bagi penggila buku, 22 April wajib terpahat di ingatan kerana di hari itulah bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Klik sini untuk maklumat lanjut.

Read more...

Mesra Petshop @ Seksyen 7, Shah Alam.

>> Tuesday, April 05, 2011


Kunjungi laman web Mesra Pet Shop untuk maklumat lanjut. Dalam erti kata lain, jangan telefon atau sms saya, ya?

Ini Dr. Wan. Dr. Wan Ahmad Kusairy Bin Wan Sulaiman. Dia seorang doktor haiwan bertauliah. Dia juga memiliki rangkaian kedai haiwan kesayangan berjenama Mesra Pet Shop. Boleh dilihat di dalam gambar, Dr. Wan bergaya di hadapan kedai induk yang berada di Bandar Baru Bangi.


Baru-baru ini, Dr. Wan telah membuka satu lagi cawangan Mesra Pet Shop di Seksyen 7, Shah Alam. Saya dan anak-anak berkesempatan berkunjung ke sana pada hari pembukaan. Maklum saja, kedai haiwan kesayangan itu terletak berhampiran dengan taman tasik. Selepas beriadah, boleh terus mengintai haiwan-haiwan comel di sana.

Nama pun kedai haiwan kesayangan, mestilah ada menjual haiwan-haiwan kesayangan. Contohnya:


Sepupu, bekas kekasih, abang ipar, semua saudara mara dan geng sekolah Hamtaro pun ada. Ya Allah, tinggi sungguh tahap metabolik hamster-hamster ini. Tak boleh duduk diam! Kita yang tengok pula yang naik letih.



Guinea pig? Errr, khinzirkah? Minta maaf ya, di Mesra Pet Shop, hanya haiwan yang halal sahaja. Melayu panggil sopan sedikit, iaitu tikus belanda. Arab panggil khinziirul bahri hindiyyi. Ada bunyi haram, tapi halal ya, adik-adik.

Selainnya terjahlah sendiri. Yang pasti, tiada binatang haram kerana Mesra Pet Shop adalah sebuah kedai haiwan kesayangan yang berlandaskan syariah.

Macam-macam keperluan untuk haiwan kesayangan ada dijual di sini. Akak nak menyebut pun tak reti. Ntah apa namanya. Layanlah sendiri, O.K.?


Beg tangan untuk membawa haiwan kesayangan ke sana ke mari. Berangan Paris Hiltonlah itu!



Barangan keperluan haiwan kesayangan.



Ameer pun ternganga tengok rumah kucing. Siap ada buaian gantung lagi!



Comel-comel sangat rumah hamster. Bermacam warna dan aksesori untuk melompat, berpusing dan entah apa perkara lagi yang hamster lakukan berjam-jam tanpa henti.



Mainan dan aksesori untuk haiwan kesayangan kamu.



Yang ini memang mengada. Entah apakah namanya. Untuk bermain, mencakar tiang, menggigit bola, melompat, bersembunyi dan bermacam-macam lagi aksi kucing. Kelas kamu, cing!

Selain daripada itu, Mesra Pet Shop juga menawarkan perkhidmatan klinik haiwan, dan hotel haiwan. Malah, grooming pun ada! Menangis Fasha Sandha apabila melihat bulu kamu yang cantik itu, wahai kucing bertuah :-p

Kepada pencinta haiwan comel, apa lagi? Terjah, jangan tak terjah. Ada promosi di cawangan Shah Alam daripada 2 April hingga 2 Mei sempena pembukaannya ^V^

Read more...

Jantan Mangsa Betina Ganas.

>> Monday, April 04, 2011

Tajuk ala Harian Metro. Sensasilah konon!

Bukan mahu bercerita tentang kepincangan masyarakat, tapi kelangsungan hidup. Jantan malang dan betina ganas yang dimaksudkan ialah ini:

Praying Mantis, atau Mentadak.

Tahukah kamu, mentadak adalah kanibal?

Pada musim mengawan, mentadak betina merembeskan feromon untuk menarik perhatian si jantan. Si jantan yang tertarik akan memerhati dari jauh sebelum mendekati. Ini disebabkan mentadak betina akan menyerang semua organisme bergerak termasuklah jenis sendiri.

Walaupun kelihatan takut, tetapi si jantan memberanikan diri untuk mengawan dengan si betina. Proses mengawan bermula apabila si jantan melompat ke atas belakang si betina. Sebaik sahaja selesai, ia akan terus meninggalkan si betina. Kalau tidak, akan terus dimakan! Tahu takut....

Kebiasaannya, mentadak betina akan menggunakan kaki depan untuk menangkap mentadak jantan. Silap haribulan, hanya sayap si jantan ditinggalkan. Aduh kasihan, dapat mengecap nikmat sementara cuma tsk tsk.

Kadangkala, kepala mentadak jantan dimakan terlebih dahulu oleh si betina walaupun ketika proses pengawanan berlaku. Ini kerana mentadak memiliki dua otak iaitu di kepala dan satu set saraf dikenali sebagai ganglion di abdomennya.


Tujuan mentadak betina memakan mentadak jantan adalah untuk membekalkan nutrien tambahan kepada anak-anaknya. Kebanyakan mentadak betina yang memakan si jantan tidak akan mengawan dengan mentadak jantan lain. Ini demi memastikan hanya gen mentadak jantan tersebut sahaja diwarisi.

Oh, begitu rupanya hal mentadak. Hal manusia bagaimana pula?

Hmm.. semalam kita dikejutkan dengan satu berita. Tentang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal kerana dipukul cikgu selama dua jam. Sedih membacanya. Saya tidak mahu komen lebih-lebih, mengata orang berlebih nanti berbalik. Cuma mahu mengingatkan diri sendiri, kawal marah. Syaitan memang suka kalau kita sedang marah. Waktu itu, disimbah-simbahnya lagi api dengan minyak. Boleh naik hantu dibuatnya! Tarik nafas dan beristighfar banyak-banyak.

Semoga Allah merahmati kita semua.

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP