Showing posts with label Main Mak-Mak. Show all posts
Showing posts with label Main Mak-Mak. Show all posts

Mint Tea.

>> Thursday, October 17, 2013

Ini teh pudina.

Rebus air bersama segenggam daun pudina.

Rasanya sederhana dan menyegarkan. Tambah sedikit gula atau madu. Untuk rasa yang lebih mencabar, tambah sedikit jus limau purut.

Saya sedang mencuba perubatan di rumah untuk Maryam yang ada lelah.

Read more...

Puding Roti Coklat

>> Thursday, May 05, 2011


Bahan-bahan:
3 biji telur
1 cawan gula
2 sudu besar gula perang
1/2 sudu teh serbuk kayu manis
1/4 cawan mentega cair (boleh digantikan dengan minyak masak/mazola)
3 cawan susu segar perisa coklat
10 keping roti (dibakar dan dipotong kiub)
1 cawan kismis (jika suka)

Cara-cara:
1. Panaskan ketuhar 180 darjah celcius.
2. Pukul telur.
3. Masukkan bahan-bahan lain kecuali roti dan kismis, dan kacau hingga sebati.
4. Masukkan roti dan kismis ke dalam adunan dan kacau perlahan-perlahan. Tuang adunan ke dalam loyang.
5. Bakar selama 30 minit di rak bawah. Selepas dibakar semalam 30 minit, tutup dengan kertas aluminium (untuk mengelakkan hangus) dan bakar semula selama 20 minit.

Untuk yang tidak mempunyai pengadun, jangan risau. Boleh gunakan pengisar. Saya pun menggunakan pengisar kerana ia lebih senang. Paling penting, pinggan mangkuk yang perlu dibasuh pun sedikit saja. Dasar kurangupaya!

Jika tidak suka coklat, boleh saja gantikan susu segar perisa coklat dengan susu segar biasa. Kalau mahu bereksperimen, cubalah guna perisa lain seperti strawberi, kopi, dan lain-lain. Entah apa rasanya :-p

Boleh dimakan begitu saja, atau dengan susu cair/susu segar.

Read more...

Ikan Goreng Kelantan Mari.

>> Friday, April 15, 2011


Setiap kali balik Kelantan, wajib ada hidangan ini. Mak mertua memang suka sangat memasaknya. Saya pula suka sangat memakannya. Diratah-ratah sampai tulangnya dicicip-cicip. Silap haribulan, tulang pun ditelan. Licin!

Kalau ke pasar, jumpa ikan sardin segar-segar, apa lagi! Rembat banyak-banyak. Buat Ikan Goreng Kelantan Mari sahih sedap!

Disunting: Nama sebenar hidangan ini ialah Ikan Rebus Kering Garam. Terima kasih myjuliana ^V^

Begini caranya memasak Ikan Goreng Kelantan Mari. Setelah ikan disiang dan dicuci bersih sambil mulut terkumat-kamit berselawat ke atas Nabi Muhammad, susun ikan di dalam periuk dan tabur garam. Tabur saja sudah cukup. Tak perlu disapurata. Barulah ada gaya chef Mat Salleh yang kita tengok di TV. Kemudian, bubuh asam keping berkeping-keping. Ikutlah kesukaan kamu ya. Cuma nak ingatkan, asam keping ini masamnya lain macam. Pandai-pandailah seimbangkan. Untuk sekilo ikan, dua atau tiga keping sudah mencukupi.

Disunting: Tambah sedikit gula melaka dan lengkuas untuk rasa yang lebih mengancam. Terima kasih elle dan myjuliana ^V^

Kemudian, rebus tanpa air dengan api kecil. Nanti air ikan akan keluar sendiri. Kalau mahu tambah sedikit air, silakan. Tak berdosa.


Apabila ikan sudah masak, boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk digoreng di saat memerlukan. Atau, mahu goreng terus pun boleh. Saya suka merebus ikan ini banyak-banyak supaya stok sedia ada untuk digoreng.

Disunting: Jika tidak mahu digoreng, makan begitu saja bersama cecahan air budu pun boleh. Terima kasih Ummu Auni ^V^

Awas ketika menggoreng! Letupan-letupan hebat bakal berlaku. Sediakan diri anda dengan peralatan keselamatan diri yang sesuai seperti penutup periuk. Atau, boleh tiru gaya saya, lari menonton TV di ruang tamu!

Read more...

Cerita Fatimah Lagi?

>> Thursday, March 31, 2011

Hai, sampai achik pun menyampah. Asyik cerita budak ini saja. Harapnya kamu semua tidaklah bosan membacanya. Layaaaaaannnn!!!

"Mama.."
"Ya?"
"Saya rasa, saya suka lelaki itulah."
"Ha? Lelaki mana?"
"Yang dalam lagu yang saya suka."
"Banyak lelaki, yang mana satu?"
"Yang itu."
"Kenapa suka dia?"
"Saya rasa dia handsome."

Huih, entahlah mana lelaki yang dia tunjuk. Ramai sangat dalam kumpulan Super Junior :-p



Anak, anak. Kamu sedarkah kamu baru berusia enam tahun? Kenapa kamu asyik suka lelaki sini sana? Asal yang rambut cacak, kamu kata kacak.

Siap ekspresi cinta dengan lukisan lagi.


"Mama, yang ini saya. Ini lelaki yang saya suka."

Uhuk. Uhuk. Sungguh tak tercapai akal Mama, nak. Apakah yang harus Mama lakukan? Patutkah Mama masukkan kamu ke sekolah pondok?

Ah, sudahlah. Usah difikirkan lagi. Marilah Mama ajar kamu memasak, sebab Mama teruja dengan Junior Masterchef. Kita belajar masakan mudah saja.


Mama namakan masakan ini sebagai Sosej Rasa Bahagia. Sebab kamu memang nampak bahagia ketika memakannya. Pipi kamu kembung bersinar-sinar semasa mengunyahnya.

Mula-mula, Mama minta kamu potong sosej senget-senget. Kemudian, Mama panaskan kuali, dan Mama campak mentega. Selepas mentega cair, Mama minta kamu masukkan sosej ke dalam kuali. Kemudian, Mama suruh kamu kacau-kacau sosej hingga separuh masak. Hujung mata Mama asyik perhatikan kamu sambil Mama campak bahan-bahan sos seperti sos tomato, sos cili, sos tiram dan kicap. Mama tolong sebatikan bahan-bahan dengan sosej dan kemudian Mama biarkan kamu menggoreng hinggalah sosej masak.

Kamu tersenyum bangga. Malah, kamu meminta Mama menulis surat kepada Cikgu Ira untuk menceritakan bagaimana kamu memasaknya. Kamu kata, malam ini kamu mahu memasak Sosej Rasa Bahagia ini bersama Mama lagi. Kemudian Mama sempat berpesan, kamu tidak boleh memasak jika Mama tiada kerana itu sangat bahaya. Kamu pun mengangguk faham.

Walaupun banyak kalanya kamu buat Mama pening kepala, kamu tetap anak perempuan Mama yang comel.

Read more...

Serbuk Roti @ Breadcrumb.

>> Friday, March 25, 2011

Dahulu, termenung juga kalau mahu mencuba resipi, tetapi nampak perkataan breadcrumb. Orang Melayu sebut, serbuk roti.

Bukan semua kedai ada menjual serbuk roti. Kalau di Benut, sahih tiada di Kedai Akiang atau Kedai Borhan. Malah, di Pasaraya Moh Heng pun belum tentu ada. Terpaksalah memandu ke bandar Pontian. Di Seksyen 7 Shah Alam ini pun, Pakcik Ali Maju atau pakcik-makcik grocer seumpamanya tidak menjual serbuk roti. Jika mahu, perlu ke pasaraya Giant atau ke kedai menjual bahan-bahan bakeri di Jalan Platinum.

Kalau tiada di kedai-kedai berhampiran, jangan menangis apatah lagi panik atau putus asa tak mahu cuba resipi langsung. Rugi. Resipi yang sedap perlu dicuba. Barulah surirumah berkaliber namanya.

Gantikan saja dengan roti. Nama pun serbuk roti, bukan? Begini caranya membuat breadcrumb atau serbuk roti:

1. Bakar roti di dalam ketuhar dengan kepanasan sederhana. Atau, boleh juga guna pembakar roti.
2. Apabila roti sudah keras, potong tepi roti. Tepi roti boleh dibuang. Cheapskate seperti acik sayang nak buang, jadi acik ngap.
3. Hiris roti dengan pisau. Nipis-nipis.


4. Atau, boleh juga ramas sahaja dengan tangan. Mudah dan cepat.

Ha, beginilah rupanya serbuk roti home made.


APA? Tiada roti? Ah, di ceruk mana kamu duduk? Internet ada pula, ya? :senyum:

Read more...

Popiah Goreng.

>> Thursday, March 24, 2011


Bahan-bahan untuk inti:
Seulas bawang putih (dicincang halus)
Secawan ayam cincang
Setengah cawan lobak merah
Setengah cawan kacang panjang
Setengah cawan tofu telur
Sesudu air stok ayam

Cara memasak inti:
1. Goreng bawang putih dengan sedikit minyak sehingga naik bau.
2. Masukkan ayam cincang, lobak merah, kacang panjang dan stok ayam. Goreng sehingga masak.
3. Masukkan tofu telur.
4. Perasakan dengan garam/gula mengikut kesukaan. Namun sebenarnya, rasa manis dan masin daripada bahan-bahan inti sudah memadai.


Bahan-bahan untuk popiah:
Kulit popiah
Sebiji telur

Cara memasak popiah:
1. Letakkan inti popiah di atas kulit popiah secara memanjang, lipat dan gulung. Di hujung kulit popiah, letak sedikit telur atau air supaya lebih melekat.





2. Panaskan minyak dengan api besar dan perlahankan api apabila sudah sedia untuk menggoreng.
3. Goreng popiah hingga kuning keemasan.

Sos pencicah? Tak payah susah-susah, dik. Beli sahaja yang sudah siap hehehe...

Read more...

Lasagna Leftovers.

>> Friday, March 11, 2011


Hari ini, saya masak lasagna kerana ada leftovers yang boleh diubahsuai, iaitu Cheesy Macaroni dan kuah Bolognese. Senang sahaja membuat lasagna ini. Bahan-bahan baru yang diperlukan hanyalah keju :-)

Lapisan pertama, Cheesy Macaroni. Resepinya pernah saya tuliskan di sini. Penyek-penyekkan sampai mampat.


Lapisan kedua, kuah Bolognese. Cara mudah untuk membuat sos Bolognese ialah dengan membeli sahaja di pasaraya dan ditambah dengan daging/ayam cincang. Jenama yang paling popular, mungkin Prego.

Resipi mudah saya ialah goreng bawang besar & bawang putih, masukkan daging/ayam cincang sehingga naik bau, dan kemudian masukkan tomato puri. Perasakan dengan garam, dah siap! Jika mahu lebih khasiat, tambah sahaja lobak merah atau celery. Hmm, teringat pula Wonderpets yang makan batang celery setiap kali misi mereka menyelamatkan anak haiwan berjaya.


Lapisan ketiga, keju. Penderita penyakit M seperti saya, hanya melemparkan dua keping keju chessdale tanpa mencarik-carikkannya. Alasan, apabila mencair dalam oven, sama sahaja rasanya hehe.


Ulang, sehingga penuh kaserol. Lapisan atas wajiblah keju. Kasi comel sikit ya, jangan ikut rasa takcukupkeupayaan kamu itu. Keju biarlah ditabur gaya chef terkemuka.

Ha, tengok ini, Lasagna yang sudah sedia untuk memasukkan dirinya ke dalam oven. Kepanasan oven ikut kamulah. Maklum saja, oven saya sudah tak nampak nombor dan hurufnya. Main agak-agak saja tadi. Tombol untuk masa dan haba main taram saja dipusing kih3x. Rasanya, janganlah terlalu panas, dalam 170 darjah, dan tidak terlalu lama, lebih kurang sepuluh minit.


Tadaaaa... dah siap! Heee... cantikkan apabila sudah masak? Keju mencair dengan baik, tidak hangit. Warna kuah Bolognese pula nampak memikat sekali. Pergh, meleleh! Tak boleh jadi, kena cuba sekarang juga! Nanti kanak-kanak sudah balik, tak sempat merasa :-p


Huh! Menyosal acik, menyosal! Menyosal masak lasagna ini. Lagi menyosal semasa memakannya. Asyik mahu tambah sahaja. Ngeee sedapnya!

Gandingan pasta berkeju dengan sos tomato, serta lelehan keju cair sungguh menyentuh perasaan. Memang patut Garfield tergila-gilakan lasagna. Rosak dietku :-p

Read more...

Pasta Dan Keju.

>> Saturday, February 12, 2011

Semua maklum kanak-kanak perlukan kalsium untuk tumbesaran. Supaya tulang dan gigi mereka kuat. Tapi, kalau dah anak-anak berperangai diva dan suka beri ayat penyata berani mati apabila disuruh minum susu seperti, "Saya bukan bayi," haruslah ada pelan B. Pelan B saya adalah ini.


Pasta dan keju. Mm mm... Mak di kampung cakap, masak ciet. Maksudnya, masak senang-senang. Bahannya pun, sekadar tiga iaitu pasta, tidak kisahlah yang bentuk panjang macam mi atau kulit kerang hatta ABC berwarna-warni sekalipun, susu dan keju. Bolehlah kalau mahu tipu kanak-kanak.

Mula-mula, rebus pasta sehingga lembut dan kering airnya. Kalau air tidak juga kering-kering, tak usah pening kepala, buangkan saja airnya. Kemudian, masukkan susu. Susu segar ya ibu-ibu, bukan susu pekat manis. Ikut suka kamulah mahu letak banyak mana. Jika mahu lebih berkrim, tambahkan susu tepung. Apabila mendidih, masukkan keju cheddar. Ulang skrip lama, ikut suka kamulah mahu letak banyak mana. Kacau-kacau, dah siap! Perasakan dengan garam jika mahu. Boleh juga kalau mahu masukkan sedikit mustard atau dried herbs.

Ini adalah menu wajib bagi Ameer. Dalam seminggu, pasti ada soalan, "Macaroni and cheese ada tak?" selepas pulang dari sekolah. Dan, saya juga mewajibkan ia masuk di dalam menu mingguan atas sebab, tak mahu Ameer kemetot. Sudahlah tambun, pendek pula. Sungguh tak kacak :-p

Read more...

Jemput-jemput Sosej

>> Tuesday, November 09, 2010

Aha hari ini saya mahu memulakan siri yang diberi nama "Main Mak-Mak". Kecil dulu, suka main mak-mak. Daun jadi ikan, tanah jadi nasi. Sudah besar, pun boleh main mak-mak, tapi kali ini memasak betul-betul, bukan olok-olok. Lagi pun, bukankah ini blog seorang suri? Wajiblah ada perkongsian resipi di sini. Setuju? ^V^

Baiklah, semalam saya buat beberapa projek di dapur. Segalanya tentang sosej dan tepung. Yang mahu dikongsi hari ini, adalah yang mendapat rating paling tinggi, iaitu Jemput-jemput Sosej. Sesuai dijadikan kudap-kudapan sewaktu minum petang. Insya-Allah, orang besar, kanak-kanak dan bayi menyukainya. Malah Fatimah berkata, "This is wicked awesome, Mama!" Haa ambik ko, wicked awesome lagi :-)


Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
3 (atau lebih) sosej daging/ayam
1 biji telur
1 cawan air
1/2 cawan daun kucai yang dihiris panjang
Garam secukup rasa

Cara-cara:
1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk KECUALI air.


2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan gaul rata sehingga mendapat tekstur yang diingini, tidak terlalu kental dan tidak pula terlalu cair. Tambah/kurangkan tepung atau air jika perlu.


3. Panaskan sedikit minyak di kuali. Seeloknya, guna kuali leper.
4. Dengan menggunakan sudu, masukkan adunan di kuali dan bentukkan seperti lempeng. Goreng hingga kuning keemasan.

Tip:
Masukkan adunan seketika ke dalam peti sejuk supaya adunan menjadi likat dan mudah dibentukkan di kuali leper. Malah, rasa bahan-bahannya pun akan lebih menyerap.

Di negeri lain, ia dikenali sebagai Cekodok. Namun, orang Johor sejati seperti saya lebih selesa memanggilnya Jemput-jemput. Seolah berkata, jemputlah makan!

Oh ya, rakan sebilik saya di universiti merangkap Kawan Baik Selamanya, Leila Aizura, telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang pastinya comel malam semalam. Siapa sangka budak perempuan yang berambut kembang, suka pakai tshirt gambar tengkorak, dengar lagu rock, kasut butnya pijak anjing pun boleh kiok dan malu setiap kali mendengar motor ayahnya tiba di kolej [ya, boleh dengar sampai ke tingkat 11!] sudah pun menjadi seorang ibu yang pandai membuat biskut dan kek, malah suka menjahit :-)

Tahniah La!

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP