Showing posts with label Jimat Cermat. Show all posts
Showing posts with label Jimat Cermat. Show all posts

Hidup Dalam Kegelapan.

>> Friday, December 03, 2010

"Kamu duduk dalam gelap, Tini?" tanya ayah mertua sebaik melangkah masuk ke dalam rumah.

Akak hanya mampu tersengih. Ibu mertua pula yang tolong menyahut, "Jimat bil letrik!"

Apa tidaknya, terbeliak mata tengok bil eletrik bulan lepas untuk rumah yang baru kami duduki. RM600 lebih! Belanja dapur kami sebulan pun tidak sebanyak itu. Maklum saja, rumah ini dilengkapi dengan tiga penghawa dingin. Lampu pula, sekali tekan suis, empat lampu pasang serentak. Suami awal-awal lagi sudah mengharamkan penggunaan penghawa dingin untuk kami anak-beranak. Hanya boleh buka untuk tetamu sahaja. [Kera di hutan disusukan?] Penggunaan lampu dan kipas juga perlu dikawal. Kalau tidak, bernanahlah telinga dengar, "Banyaknya pasang lampu!" Ayat pertama yang keluar dari mulut apabila si dia pulang dari kerja. Bukan, saya rindu awak atau i love you so much atau yang seangkatan dengannya :-p

Masalahnya, dik, rumah dua tingkat, memang gelap. Siang sama gelap macam malam. Lainlah kalau lot hujung yang mempunyai banyak tingkap. Jadi, terpaksalah akak kamu ini duduk bergelap di waktu siang :-)

Tak mengapalah. Belajar hidup dalam gelap. Asalkan hati tetap bercahaya bagai bintang di malam kelam, cewah!

Read more...

Siri Jimat: Lebihan Makanan.

>> Sunday, November 14, 2010

Orang putih cakap, leftovers. Orang Melayu? Entah. Saya terjemah saja secara langsung sebagai lebihan makanan. Kalau salah, harap maaf teehee.

Dulu, saya selalu membuang lebihan makanan. Kurang keupayaan [baca: perkataan baru bagi "malas"] untuk menguruskan lebihan makanan jadi saya ambil jalan mudah dengan membuangnya ke tong sampah. Namun, sejak berhenti kerja, saya tidak lagi membuang lebihan makanan sesuka hati. Dapur mengajar saya bahawa keajaiban boleh dicipta dengan lebihan makanan. Wah, suri berfalsafah nampaknya! :-p

Hampir semua lebihan makanan saya simpan di dalam bekas makanan lutsinar, atau bekas bening bak kata pembantu rumah kakak ipar, dan dimasukkan ke dalam peti sejuk. Hatta sesenduk kuah. Hmm.. apa agaknya yang boleh kita buat dengan sesenduk kuah ya?

PIZZA!

Contohnya, kuah bologne yang tidak habis boleh disapukan di atas sekeping roti, taburkan kepingan sosej/ayam/daging/makanan laut dan keju, kemudian dibakar. Mm mm, sedap sekali dimakan panas-panas.


Atau, katakanlah ada lebihan kuah rendang atau kari. Panaskan kuah dan masukkan daging ayam cincang sehingga masak. Sapukan di atas sekeping roti dan taburkan keju. Aduh mudah dan kebabom sekali!


Selain daripada pizza, lebihan makanan boleh digunakan untuk membuat nasi goreng. Kuah ayam masak merah boleh menggantikan cili giling. Sayur goreng semalam masukkan saja ke dalam nasi goreng. Ayam goreng semalam, atau daging masak kicap kelmarin, semuanya boleh.

Selain daripada lebihan makanan, bahan mentah pun jangan dibuang. Bahagian ayam yang tidak dimakan seperti kaki ayam, leher dan sebagainya boleh dijadikan stok. Begitu juga dengan kulit udang, batang sayuran, bawang yang sudah buruk, cendawan yang sudah menguning, masukkan saja semua lebihan bahan mentah itu ke dalam periuk, isikan air dan jerang di dapur dengan api yang perlahan sehingga mendidih. Kemudian, tos dan simpan stok di dalam peti sejuk. Anda boleh masukkan stok ke dalam masakan anda sebagai perasa. Dengan menggunakan stok, anda dapat mengurangkan penggunaan garam dalam masakan anda. Malah, rasanya pun lebih sedap.

Anda ada idea lain? Kongsilah bersama tinidewi!

Read more...

Siri Jimat: Belanja Dapur

>> Monday, October 25, 2010

Disunting bersama tambahan tips pembaca budiman :-)

1. INVENTORI Seperti mana seorang wanita perlu membuat inventori almari supaya tidak membeli dua blaus merah jambu yang sama, seorang pengurus rumahtangga juga perlu membuat inventori dapur untuk mendapat gambaran yang jelas dan tepat tentang stok sedia ada. Lakukan semakan inventori sebelum pergi membeli-belah di pasaraya.

2. SENARAI BARANGAN Apabila sudah membuat semakan inventori, pastinya anda tahu apa yang tiada atau berkurang di dapur. Tulis barangan yang diperlukan di atas kertas. Si celik IT bolehlah gunakan fungsi Nota di dalam telefon bimbit atau gajet-gajet terkini masa kini. Senarai barangan perlu dibawa ketika membeli-belah kerana memori anda bukannya boleh diharap sangat :-p

3. SI PEMBELI Tentukan siapa yang lebih 'dipercayai' untuk pergi membeli-belah. Kalau anda jenis rambang mata dan selalu saja menambah barangan di dalam troli sesuka hati, lupakan sajalah trip ke pasaraya itu. Duduk di rumah lebih menyelamatkan poket. Jika berdegil mahu pergi, baca tips #8.

4. TEMPAT Pilih pasaraya yang menawarkan harga yang berpatutan dan berdekatan dengan rumah. Ketika memilih pasaraya, faktorkan juga kos parkir dan minyak.

5. KEKERAPAN Untuk membeli barangan dalam kuantiti yang banyak, tetapkan trip ke pasaraya sebulan sekali. Jadi tak perlulah berulang-alik ke pasaraya selalu. Kos minyak mahal sekarang, acik-acik sekalian. Untuk pembelian sedikit atau bahan mentah, beli di kedai runcit berhampiran lebih praktikal. Suri rumahtangga seperti saya, boleh tunggu saja pakcik van sayur membunyikan hon vannya ^V^

6. ANAK-ANAK Tinggalkan saja anak-anak di rumah. Banyak cukai kena bayar nanti. Entah apa saja yang mereka masukkan ke dalam troli. Justifikasi mereka sungguh bijak sekali, contohnya ada bakteria jahat di dalam perut jadi saya perlu minum vitagen untuk melawannya, sehingga anda sukar berkata tidak. Jika perlukan momen keluarga, bawa saja mereka ke taman permainan berhampiran. Itu lebih bermakna dari jalan-jalan di pasaraya.

7. PERUT Pastikan anda kenyang sebelum ke pasaraya, barulah bahagia hendak membeli-belah. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati katanya. Oh sebenarnya, kalau perut kenyang, apabila nampak makanan sedap-sedap di pasaraya, tidaklah nafsu membuak-buak. Sekadar sedang-sedang saja.

Tips dari Farra: Jika tidak sempat makan di rumah, bawa saja bekal makanan ke pasaraya. Terima kasih, Farra! :-)

Tips dari Hanis: Bawa bekal air. Anda boleh jimat kos belanja makan di restoran sekiranya tidak memesan minuman. Terima kasih, Hanis! :-)


8. TETAPKAN IMAN Tadi sudah tulis senarai, bukan? Jadi, ikut sajalah! Tetapkan iman di dada. Butakan mata pada yang tiada dalam senarai. Kecuali kalau barangan tersebut memang betul-betul perlu.

9. BARANGAN KERING Jika barangan kering sedang ditawarkan harga yang murah, beli dalam kuantiti yang banyak. Pastikan ada ruang di dapur untuk menyimpannya.

10. BARANGAN BASAH Tidak kisahlah harganya ditawarkan semurah mana pun, beli sekadar keperluan. Barangan basah tidak tahan lama jadi akan membazir saja kalau tidak dapat dihabiskan.

11. AYAM/DAGING/IKAN Cuci bersih-bersih dan bahagikan kepada beberapa bahagian. Satu bahagian untuk sekali masak. Masukkan di dalam bekas makanan atau plastik ziplock. Simpan di dalam bahagian sejukbeku untuk tahan lama. Tetapi, jika anda yakin boleh menghabiskannya dalam masa seminggu, boleh juga simpan di dalam chiller yang dikhaskan untuk menyimpan daging. Penyimpanan di dalam chiller lebih menjimatkan masa kerana bahan mentah tidak perlu dinyahbeku sebelum dimasak.

12. SAYUR Cuci bersih-bersih dan tos. Simpan di dalam bekas kedap udara untuk kekal segar sehingga satu/dua minggu.

Read more...

Siri Jimat: Kurangkan Kos Bil Elektrik.

>> Monday, September 27, 2010

Memandangkan kami berada di rumah 24 jam sehari, kami perlu mengurangkan penggunaan elektrik untuk menjimatkan perbelanjaan bulanan. Ini antara cara saya mengurangkan kos bil elektrik:

1. Tutup lampu dan kipas yang tidak digunakan. Setiap kali keluar bilik, ingat! Tutup lampu dan kipas. Mentaliti takpelah-sekejap-lagi-nak-masuk-balik-bilik-ni perlu diubah.

2. Sekiranya tidak menggunakan barangan elektrik, tutup suis, bukan sekadar matikan barangan elektrik tersebut.

3. Di waktu siang, buka semua tingkap dan selak langsir untuk membenarkan cahaya matahari masuk. Jadi, tak perlulah buka lampu.

4. Kurangkan penggunaan barangan elektrik yang mengeluarkan banyak haba seperti periuk nasi, cerek elektrik (lebih-lebih lagi yang kekal panas), pemanas air, oven dan sebagainya.

5. Tanak nasi di atas dapur gas. Ia lebih pantas. Benar, kita perlu beri lebih perhatian agar tidak hangit dan perlu membuka penutup periuk ketika ia menggelegak, tetapi kita hanya perlukan 5 - 10 minit sahaja untuk menjaganya.

6. Jerang air di atas dapur gas. Jika mahu air kekal panas, simpan air panas di dalam termos. Menariknya, cerek besi saya yang mempunyai corong bertutup yang bersiul apabila air sudah mendidih mampu mengekalkan kepanasan air selama 2 jam sekiranya ia ditutup rapat.

7. Seseorang memberitahu saya, mandi air sejuk di waktu pagi lebih baik untuk kesihatan. Memang menggigil tetapi ada petuanya. Mulakan dengan membasuh kaki, kemudian naik ke bahagian badan ke atas perlahan-lahan hinggalah ke kepala.

8. Kalau boleh, kurangkan penggunaan penghawa dingin atau jangan pakai langsung. Untuk tips yang terakhir ini, saya perlu lebih banyak kajian untuk pengudaraan yang lebih baik untuk rumah teres dua tingkat kerana saya bakal berpindah ke rumah dua tingkat di Shah Alam. Kebiasaannya, rumah 2 tingkat lebih panas, lebih-lebih lagi kalau di tengah-tengah kerana kekurangan tingkap dan terutamanya di tingkat atas.

Kalau ada tips yang lain, harap boleh kongsi bersama ^_^

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP