YEH YEH RAYA SUDAH DEKAT!!!

>> Tuesday, August 31, 2010

~~**ENTRI MELEKAT. SKROL BAWAH UNTUK ENTRI TERKINI**~~

Pengumuman #1:
Siapa yang mahu menempah tudung glamor untuk digaya di pagi raya, sila berbuat demikion OK? Dialu-alukan sangat. Email saya untuk spesifikasi terperinci tudung yang anda diidam-idamkan. Insya-Allah saya akan cuba muatnaik contoh-contoh kain di kedai maya. Cepat ya, kerana tempahan dibuka sehingga 31 Julai sahaja. Dua minggu sahaja lagi tuuuuuu.... Biar putih tulang, jangan putih mata dek non!

Pengumuman #2:
Nampak gambar biskut sedap-sedap di panel sebelah kanan? Tengok gambar sahaja dah terliur. Belum makan lagi. Insya-Allah memang berbaloi. Sedap! Tahun lepas, saya bawa pulang 3 balang. Adik-beradik termasuk ipar yang berbudi pekerti mulia tiba-tiba buat perangai tak senonoh. Jangan diberi kepada tetamu, kata mereka. 3 balang tersebut, sekelip mata sudah lesap tinggal serdak. Beli, jangan tak beli! [Lagi pun, kawan saya yang gigih membakar biskut ini sedang mengandung anak pertama, jadi tak baik kita hampakan harapannya hehe tak relevan]

Ya, saya tahu. Puasa pun belum :-p

Read more...

Permintaan Seorang Suri.

>> Thursday, August 26, 2010

Wahai teman-temanku yang budiman,

Kamu semua pasti sedang bahagia bukan? Baju kurungmu berpasang-pasang sudah sedia. Tudungmu mengerlip-ngerlip, sepuluh batu boleh kelihatan. Baju melayu belahan jiwamu sudah diambil dari tukang jahit dan ternyata, dia segak memakainya. Anak-anakmu pula, aduh, cukup baju tradisi dan baju moden untuk beraya berminggu-minggu. Lengkap berkasut baru. Entah-entah, berpasang-pasang kasutnya.

Di kala itu, ingatlah aku. Seorang suri yang tak punya apa-apa. Yang hanya mampu menyelongkar almari mencari baju-baju lama yang mungkin masih cantik untuk dipakai di pagi raya. Terus kucuba pakaikan kepada anak-anakku yang semakin membesar usai usia. Kutarik-tarik lengannya, kainnya, panjang seluarnya. Moga-moga muat. Tapi kenyataannya, tetap baju-baju itu tidak membesar saiznya. Kasut? Mereka hanya ada selipar yang kumal.

Aku dan suamiku tidak apa-apa. Pakai baju lama-lama tidak menjadi masalah. Namun, sedihnya melihat anak-anak. Sedang di pagi raya di Kota Bharu sana nanti, anak-anak abang dan kakakku, pasti hebat-hebat kerana ibu bapa mereka orang hebat-hebat. Rumah mereka besar-besar, malah ada yang berbanglo, dan kereta mereka, aduh, satu tidak cukup. Semuanya produk luar negara.

Jangan salah sangka, aku tidak menyesal kerana ini jalan yang aku pilih. Cumanya, sedih melihat anak-anak. Itu saja.

Cumanya, satu aku pinta dari teman-teman. Boleh tidak esok datang ke geraiku di tepi eskalator berdekatan kedai MyNews di Menara TM sana? Tidak beli pun tidak apa, sekadar memeriahkan suasana dan ajak rakan-rakan. Aku mahu kumpul duit untuk kenangan raya demi anak-anakku :-)

Boleh tak?

Nota: Selama ini memang aku selalu berdrama tapi kali ini, aku benar-benar maksudkannya ^_^

Read more...

Ada-ada sahaja Fatimah.

>> Tuesday, August 24, 2010

Selepas makan malam yang cukup dengan pembuka selera, hidangan utama, pencuci mulut dan bermacam-macam jenis minuman, Fatimah datang terkedek-kedek dengan perutnya yang membulat.

"Mama...."
"Ya?"
Dia menyelak bajunya dan mengusap-usap perutnya yang gendut seraya berkata, "Dalam perut saya macam ada baby, Mama."

Mukaku tegang. Ekspresinya serius jadi aku tidak boleh ketawa.

"Perut saya sakit, nanti baby hendak keluar."

Terasa mahu guling-guling atas lantai. Boleh terkeluar semua murtabak, kuih akok, ayam golek nara, tomyam seafood, cendol, cincau dsb.

"Perut Fatimah bulat bukan sebab ada baby, tapi sebab makan banyak."
"Ooooohhhh."

Read more...

Baby Human vs Baby Cat.

>> Tuesday, August 17, 2010

Si anak kucing mengintai di belakang bakul. Badannya tunduk menyembah bumi. Bola matanya yang kelabu tertancap kemas pada sasaran. Telinganya tegak ke langit. Ekornya yang panjang menggeletik kiri kanan.

Sasarannya, seorang bayi berusia 11 bulan, duduk bersimpuh tenang. Memerhatikan anak kucing itu bersedia untuk menerkam.

Perbandingan fizikal mereka umpama David menentang Goliath. Umpama Sang Kancil melawan Sang Gajah. Umpama kapal terbang Pasukan MAT bertempur dengan Raksasa Gorgon sebelum tibanya Ultraman [maklum sahaja hero memang muncul di akhir-akhir, baru bergaya]. Siapa mangsa, siapa pemangsa? Nampaknya anak kucing itu berbesar hati menyangka dirinya pemangsa.

Dia mula menyerang. Lariannya bersungguh-sungguh. Kaki-kakinya yang empat bagaikan tidak mencecah tanah. Ekspresi wajahnya bersemangat bak seorang jaguh sukan. Tangan sasaran mula menggawang sebagai pertahanan. Beberapa langkah di hadapan sasaran, anak kucing itu membelok.

Sabar sahajalah. Yoyoan kau Kiki, tetapi menyerah kalah di saat akhir. Tahu takut :-p

Nota: Yoyoan itu bahasa jawa. Maksudnya, bukan main beria-ia.

Aneh betul. Maryam tidak takut langsung, walaupun sudah berapa kali dicakar. Kiki yang kasihan. Ditenyeh kepala, ditekan perut, ditarik ekor. Tetapi, Kiki pun satu, tidak serik-serik. Sudah tahu ada pengganas, lagi mahu datang dekat :-p

Read more...

Setelah Dua Minggu.

>> Friday, August 13, 2010

Setelah dua minggu berhenti kerja, perut Ameer semakin menggendut.

Setelah dua minggu berhenti kerja, pipi Fatimah bertambah menggebu.

Setelah dua minggu berhenti kerja, badan Maryam sedikit mongel.

Setelah dua minggu berhenti kerja, suami mula bertanya, "Tidak mahu cuba Jusmate kah?"

Oho bang, sudah mula tengok perempuan lain dengan pandangan berbeza dan nampak saya sebelah mata ya? Ggrr panas panas :lol:

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Mama, kenapa Mama .....yrtejfdsjdgsg telur.... fhffscnfjkgejwqoe untuk Ameer..... hdfrhdbcdjy saya nak telur dengan ikan?"

Apa yang kau cakap ni, Fatimah?

"Lah, kan Mama dah masakkan ikan dengan telur untuk Fatimah?"

"Tapi, Mama tak laju."

Adoilah anak daraku seorang. Demanding! Tidak puas hatilah agaknya sebab telur dadar untuk Ameer siap dulu. Itu kira OK-lah ambil masa sepuluh minit untuk masak sambal sardin dan telur dadar. Sudahlah Mama kamu ini buat kerja sebelah tangan sahaja, sebab sebelah tangan lagi mengkelek Maryam. Sampai jari Mama luka-luka terkena hujung tin yang tajam. Nanti Mama suruh puasa baru kamu tahu :-p

Read more...

Ujian Kedua.

>> Tuesday, August 10, 2010

Aku duduk di ruang tamu melipat baju yang bertimbunan di atas sofa. Mataku kadang-kadang melirik ke arah Maryam yang lincah ke sana ke mari. Adakalanya menangkap badannya yang geletis menggelengsor sofa atau tangannya yang tangkas menyelerakkan pakaian yang sudah dilipat rapi.

Deru enjin tua menderam-deram kedengaran di luar rumah. Bertambah hingar-bingar dengan jerit pekik kanak-kanak riang. Pasti bas sekolah.

"Mama, saya dah balik!"

Eh macam Sin Chan pula :senyum:

Fatimah segera ke pintu menyambut abangnya. Wah, muka Ameer tampak ceria. Pipinya gebu, matanya bersinar-sinar.

"Mama, ujian Jawi saya dapat 100%!"
"Yakah?"
"Ya, Mama." Dia menyeringai.
"Siapa lagi dapat 100%?"
"Sarah, Mama. Haaa satu orang sahaja yang dapat 100%."
"Jadi, Ameer dan Sarah sahaja yang dapat 100%?"
"Ya, Mama."
"Pandainya Ameer."

Senyumnya lebar sampai ke telinga. Hatiku pun berbunga-bunga.

"Bagaimana dengan ujian lain?"
"Akhlak dapat 53."

Erk.

Kurang berakhlak rupanya anak bujangku ini hehehe....

Read more...

Anak Ekspres.

>> Saturday, August 07, 2010

Malam semalam, suami pulang dari masjid dengan pandangan mata yang terbanar-banar.

"Awak?"

"Ya?"

"Bela kucing, hendak?"

Uh-oh. Lidahku kelu. Anak sendiri tiga orang pun tunggang terbalik hendak dijaga.

"Kasihan dia. Kecil lagi. Tidak sampai hati dengar mulutnya bising ditinggalkan tuan."

Saya masih diam. Suami cuba lagi memancing respons, "Sudahlah dia betul-betul di hadapan saya. Macam takdir sahaja."

"Lagi pun, besar pahalanya jaga kucing. Insya-Allah dia akan mendoakan kita."

Saya terpaksa mengalah, "Dia seekor sahaja?"

"Ha-ah."

"Laaaa... kenapa dibuang seekor sahaja? Kalau hendak buang, buanglah sekeluarga."

"Itulah. Kurang-kurang, dua beradik. Biar ada kawan."

Saya tidak kata ya. Sudah faham sangat. Sama ada saya setuju atau tidak, tidak relevan. Asalkan saya melayan perbualan sudah mencukupi. Sebenarnya, dia bukan menyoal, tetapi sekadar memberitahu. Itu namanya etika seorang suami. Lagipun dia sudah tahu, betapa lembut hati isterinya ini, uhuk uhuk maaf terbatuk, walau mulut muncung dan dahi berkerut.

Malam itu juga kami ke Masjid Bulat untuk mengambil anak kucing itu. Usianya mungkin sekitar satu atau dua minggu. Aduh, kasihan benar. Kecil-kecil sudah berpisah dengan ibu dan keluarganya. Kecil-kecil sudah sebatang kara.

Ameer dan Fatimah sungguh gembira. Fatimah bertanya, "Mama, can Abah let us keep this cat?"

"Ya, memang Abah suruh kita bela."

Ameer berteriak, "Yay, I have a pet!"

Saya menyoal mereka berdua, "Kita hendak namakan dia apa?"

Terus Ameer menjerit sambil mengangkat tangan kanan, "KIKI!"

Fatimah menyahut, "Yes, Kiki!"

Jadi, sekarang kami ada binatang kesayangan yang dipanggil Kiki ^_^

Nota kaki: Aduh anak-anak zaman sekarang, kita cakap melayu dengan dia, dia sibuk berbahasa inggeris dengan kita :-p

Read more...

Suatu Ketidakadilan Kepada Seorang Bayi.

>> Friday, August 06, 2010


Maryam cuba memahami kenapa dia dikurung di dalam sedangkan kakaknya, Fatimah, boleh tergedik-gedik di luar bermain basikal. Sampai tak sempat menyempat nak pakai baju.

Uhuk! Sebenarnya memang sengaja tidak dipakaikan baju sebab Mama nak menayang lampinnya yang baru. Jenama Shinies berwarna putih suci murni. Oh, Mama suka lampin putih!

Boleh beli di sini --> Stor Kita

Read more...

Ulasan Buku: Maryamah Karpov

>> Thursday, August 05, 2010


Saya andaikan pihak penerbit yang berkeras mahu buku ini dijudulkan sebegitu. Saya tidak mahu percaya si Andis yang bijaksana tidak terperi itu sanggup menjudulkan buku ini dengan watak yang hanya disebut dua kali di dalam buku setebal 471 halaman. Apatah lagi Maryamah Karpov itu, langsung tiada signikannya dengan keseluruhan cerita. Namanya sekadar disebut tanpa apa-apa perkembangan watak. Malah, si gadis pemain biola duduk bersimpuh di atas tanah berselerakan dedaun kering kekuningan di muka depan, bukanlah Maryamah Karpov. Tetapi, anaknya, Nurmi, yang gemar menggesek biola berdekatan Warung Apa Dikenang Lagi. Aduh, kalau Maryamah Karpov itu ada anak sebesar itu, jadi tentu sahaja dia sudah tua bukan? Betul kawan, dia itu seorang makcik. Jangan kamu berangan-angan si dia gadis berwajah rupawan bak rembulan dan bertubuh cantik bak kerengga.

Saya fikir, Mimpi-mimpi Lintang, adalah tajuk yang sepatutnya.

Apa pun, buku ini, saya suka! Saya sudah membaca Lasykar Pelangi. Saya tahu ramai orang menyukai dan menobatkannya sebagai buku wajib dibaca, tetapi pelik bin ajaib, saya tidaklah suka akannya sangat. Malah, awal lagi saya sudah tengok jawapan di halaman-halaman terakhir dan tidaklah beria-ia hendak membacanya sampai habis. Namun, Maryamah Karpov ternyata lebih menyengat. Humornya buat saya tertawa macam orang gila. Terutama ketika Andis menceritakan hal-hal absurd tentang perangai orang Melayu. Terkadang tersenyum, terkadang gelak besar dan setiap kali terangguk-angguk setuju. Juga, paling terkesan, cara dia membantai pemerintah dengan bersahaja.

Seperti Lasykar Pelangi, Maryamah Karpov mendukung semangat cita-cita, cinta, setiakawan dan ilmu. Berani bermimpi, berusaha dengan semangat kental, disertakan dengan ilmu, dan berserah kepada Tuhan, pasti mimpi itu bisa jadi kenyataan. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan, gila juga perlu ada. Kalau tidak kerana gilanya si Ikal mahu membuat perahu sedangkan diri sarjana ekonomi yang tidak tahu apa-apa tentang perahu, tidak mungkin Mimpi-mimpi Lintang itu dapat siap malah mampu membelah ombak samudera. Kalau tidak kerana gilanya si Ikal menempuh gelora badai lautan dan bersemuka dengan lanun Selat Melaka yang terkenal jahat seantero dunia, tidak mungkin dia menemukan A Ling yang dicintainya separuh mati.

Namun, walau segala macam benda gila yang si Ikal sudah lakukan untuk mendapatkan cintanya, bagaimana penghujungnya?

Aduh Ikal, kenapa susah-susah mencari cintamu yang itu? Cari sahaja yang lain. Di Malaysia juga banyak cewek yang cantik-cantik persis Michelle Yeoh :-p

Nota kaki: Andis adalah nama timangan Andrea Hirata bagi Bu Muslimah dan kalangan Lasykar Pelangi yang sebenar.

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP