Mesra Pet Shop.

>> Thursday, April 21, 2011

Tempoh hari, saya menulis tentang Mesra Pet Shop @ Seksyen 7, Shah Alam.

Saya menyedari maklumat yang diberikan tidak mencukupi. Ada yang menghubungi saya untuk bertanyakan lokasi Mesra Pet Shop. Untuk itu, di sini saya sertakan alamat dan nombor yang boleh dihubungi untuk kedai haiwan kesayangan yang berlandaskan syariah itu.

Klinik Haiwan & Surgeri Mesra
No. 2A, Jalan 7/7A, Seksyen 7, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Tel/Fax: 03-8925 0121
Email: mesra_vet@yahoo.com

Mesra Pet Clinic / Pet Shop
No. 74, Jalan Diplomatik, Presint 15, Putrajaya.
Tel: 03-8881 0121

Mesra Pet Clinic / Pet Shop
No. 16, Jalan Impian Perdana, Saujana Impian, 43000 Kajang, Selangor.
Tel: 03-8734 0121

Mesra Pet Shop
No. 457, Jalan 18/2A, Taman Seri Serdang, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
Tel: 03-8945 1121

Mesra Pet Clinic / Pet Shop
14-G, Jalan Kristal AR7/AR, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor.
Tel: 03-5513 0121

Dr. Wan pula boleh dihubungi melalui nombor telefon bimbit 012-605 1680.

Perkhidmatan mungkin berbeza di setiap cawangan, oleh itu seeloknya telefon dahulu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Untuk cawangan Shah Alam, lokasinya di deretan kedai bersebelahan Tasik Seksyen 7 Shah Alam yang antara lain menempatkan Mydin, Hotel De'Art, dan Hailam Kopitiam.

Harap maklumat ini dapat membantu pencinta haiwan yang mencari pilihan terbaik untuk haiwan kesayangan mereka. Tiada syak, tiada was-was. Hanya yang bersih, suci dan halal sahaja :-)

Read more...

Kacak Luar Kacak Dalam.

>> Wednesday, April 20, 2011

Kacak luar, kacak dalam
Kacak dengar sini
Kalau saya senyum
Awak mesti senyum sekali
Kalau kita senyum
Semua orang berjangkit
Bila semua orang senyum
Dunia tiada penyakit


Terenjut-enjut, terteleng-teleng dengar lagu di radio ketika memandu.

Senyum
Tak perlu kata apa-apa
Senyum
Tak perlu kata apa-apa
Senyum
Tak perlu kata apa-apa
Senyum
tak perlu kata apa-apa


Krek, krek, krek, krek.....

Eh, eh! Bunyi apa yang pelik itu? Kereta pun rasa berat saja. Tutup radio dan tengok kotak gear. Gear sudah betul, tapi bunyi itu masih ada.

Ah, sudah! Ini tak lain, tak bukan. Lampu keselamatan terus dipasang dan kereta dipandu perlahan-lahan. Jumpa tempat yang sesuai dan terus berhenti di tepi jalan.

Saya terus keluar kereta dan melihat tayar depan sebelah kiri. Sahih! Tak syak lagi ia pecah. Dari dahulu lagi saya sudah bertanya kepada Cik Mad tentang tayar itu yang kelihatan tak cukup angin, tetapi normal katanya.

Panik? Memang panik! Saya bersama tiga orang kanak-kanak di tepi jalan di tengah panas terik matahari dengan kereta buruk yang pecah tayar. Kalau sendiri, boleh tahan lagi. Kasihan anak-anak, terutama si kenit yang sedang tidur.

Ketika keresahan bercakap di telefon bersama Cik Mad, tiba-tiba....

"Assalamualaikum kak, ada yang boleh saya bantu?"

Opocot! Terkejut sekejap. Apa tidaknya, disapa seorang pemuda bertshirt hitam dan berseluar jeans lusuh, dengan sepuntung rokok di jari. Rambutnya cacak-cacak, mukanya tampak ganas. Tapi, lontaran suaranya begitu lembut dan prihatin.

"Saya nampak akak seorang diri di tepi jalan, sebab itu saya berhentikan motor. Kenapa, kak?"

"Tayar pecah, dik."

"Tayar spare ada? Jack?"

"Semua ada dalam bonet."

"Marilah saya tolong tukarkan."

Alhamdulillah. Syukur sangat-sangat kepada Tuhan, ada pemuda yang datang beri bantuan. Baik sungguh orangnya. Walaupun tampak ganas, dalam hati ada taman rupanya. Kalau diperhatikan, kacak juga di kala dia tidak 'mengawal keganasan' dan tersenyum. Cara dia bercakap pun sopan. Terima kasih banyak-banyak!

Kisahnya, adik tersebut baru sampai dari Negeri Sembilan. Mahu sambung belajar, tetapi kelas hanya diadakan setiap Ahad. Jadi, enam hari ada masa lapang. Hajatnya, mahu cari pekerjaan. Akak doakan adik dapat kerja segera, ya!

Berpeluh-peluh dia tukarkan tayar. Sampai menitik-nitik ke tanah. Setelah siap, seperti tahu-tahu saya menyeluk beg tangan, terus lancar mulut dia menolak.

"Kak, akak tak payah bagi saya apa-apa. Saya ikhlas tolong akak."

Alahai, tengok muka pun sudah tahu kamu ikhlas. Bersungguh-sungguh kamu tolak. Tapi, orang berbudi kita berbahasa, ya tak? Saya paksa dia ambil. Anggap belanja makan. Barulah dia tersenyum dan terima.

Sebelum berpisah, sempat lagi dia berpesan, "Kak, tayar spare pun kurang angin. Jadi, akak jangan lupa isi angin ya? Bawa kereta baik-baik!"

Inilah yang dikatakan, kacak luar kacak dalam. Ewah, jom sambung nyanyi. [Kau berzikir lagi bagus!]

Read more...

Bijak, bijak.

>> Monday, April 18, 2011

Haish!

Rupanya anak daraku, Si Fatimah yang cantik rupawan, pipinya putih gebu, hidungnya pesek, bibirnya merah jambu, dahinya jendul, dagunya lentik, pandai sembunyikan pinggan gelas yang dibawa naik ke tingkat atas ke dalam almari. Kononnya biar Mama tak nampak. Heh! Kamu ingat Mama tak telek almari semasa mengemas rumah?

Heeee, pandai makan di atas, tapi malas nak bawa turun. Kalau kamu ada di rumah sekarang ini, Mama picit-picit perut kamu yang gendut. Mujur kamu di sekolah.

Siaplah kamu balik nanti. Mama bebel-bebelkan sampai telinga kamu bernanah.

Hai, anak-anak. Bijak bukan main. Bijak auta!

Read more...

Dakyah Winnie.

"Mama, tekak saya sakitlah."
"O.K., nanti makan honey."
"Tapi..."
"Apa tapi-tapi?"
"Cuma bear makan honey....."
"Tiap-tiap hari Abah makan honey, Abah bear ke?"
"Manusia boleh ke makan honey?"
"Boleh."

Ah, mengadalah kamu, Ameer. Mengadu sakit pandai. Suruh makan ubat, ada saja alasan.

Read more...

Ikan Goreng Kelantan Mari.

>> Friday, April 15, 2011


Setiap kali balik Kelantan, wajib ada hidangan ini. Mak mertua memang suka sangat memasaknya. Saya pula suka sangat memakannya. Diratah-ratah sampai tulangnya dicicip-cicip. Silap haribulan, tulang pun ditelan. Licin!

Kalau ke pasar, jumpa ikan sardin segar-segar, apa lagi! Rembat banyak-banyak. Buat Ikan Goreng Kelantan Mari sahih sedap!

Disunting: Nama sebenar hidangan ini ialah Ikan Rebus Kering Garam. Terima kasih myjuliana ^V^

Begini caranya memasak Ikan Goreng Kelantan Mari. Setelah ikan disiang dan dicuci bersih sambil mulut terkumat-kamit berselawat ke atas Nabi Muhammad, susun ikan di dalam periuk dan tabur garam. Tabur saja sudah cukup. Tak perlu disapurata. Barulah ada gaya chef Mat Salleh yang kita tengok di TV. Kemudian, bubuh asam keping berkeping-keping. Ikutlah kesukaan kamu ya. Cuma nak ingatkan, asam keping ini masamnya lain macam. Pandai-pandailah seimbangkan. Untuk sekilo ikan, dua atau tiga keping sudah mencukupi.

Disunting: Tambah sedikit gula melaka dan lengkuas untuk rasa yang lebih mengancam. Terima kasih elle dan myjuliana ^V^

Kemudian, rebus tanpa air dengan api kecil. Nanti air ikan akan keluar sendiri. Kalau mahu tambah sedikit air, silakan. Tak berdosa.


Apabila ikan sudah masak, boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk digoreng di saat memerlukan. Atau, mahu goreng terus pun boleh. Saya suka merebus ikan ini banyak-banyak supaya stok sedia ada untuk digoreng.

Disunting: Jika tidak mahu digoreng, makan begitu saja bersama cecahan air budu pun boleh. Terima kasih Ummu Auni ^V^

Awas ketika menggoreng! Letupan-letupan hebat bakal berlaku. Sediakan diri anda dengan peralatan keselamatan diri yang sesuai seperti penutup periuk. Atau, boleh tiru gaya saya, lari menonton TV di ruang tamu!

Read more...

Mahu Buku.

>> Thursday, April 14, 2011

I need books. Tolong! Siapa yang ada banyak buku, tolonglah bagi pinjam kepada saya. Tapi, saya tak mahu penulis popular masa kini. Saya lebih suka akan cerita lama-lama, orang lama-lama. Tolonglah! Siapa ada novel zaman dulu-dulu, tolong pinjamkan kepada saya.

Teringin sangat baca Keluarga Guerila. Abah kata, buku setebal itu, ceritanya berlaku dalam satu malam sahaja. Tentu menarik!

Read more...

Calon Menantu?

>> Wednesday, April 13, 2011

"Dah besar nanti, saya kahwin dengan Akmal Danish."
"Siapa cakap?"
"Akmal Danishlah!"
"Bukankah Akmal Danish budak nakal?"
"Tapi, dia baik dengan saya."
"Handsome kah?"
"Handsome."

Amboi! Sudah ada calon. Kamu pun, Akmal Danish, kecil lagi sudah pandai mengayat anak makcik.

Tapi, kalau kamu tinggal di banglo di seksyen 8 atau seksyen 7, makcik tak kisah. Bapa kamu ada Porsche tak?

:-p

Read more...

Tarikh Penting April 2011.

>> Wednesday, April 06, 2011

30 April 2011 adalah tarikh yang wajib diingati. Pertama, ia tarikh terakhir untuk menghantar borang cukai pendapatan 2011. Klik sini untuk maklumat lanjut.

Kedua, ia juga tarikh terakhir untuk mendaftarkan anak-anak kelahiran 2005 dan 2006 untuk kemasukan sekolah rendah bagi tahun 2012 dan 2013. Untuk warga Selangor, klik sini untuk maklumat lanjut.

Ketiga, Giveaway April 2011 berakhir pada jam 11.59 malam pada tarikh ini. Klik sini untuk maklumat lanjut. Sempat lagi promosi nyeh nyeh.

Dan, tahukah kamu, 30 April adalah Hari Kejujuran? Konsepnya, semua orang perlu bersikap jujur pada hari itu. Hei, sepatutnya jujur setiap harilah!

Hari Bumi pula bakal disambut pada 22 April. Bagi penggila buku, 22 April wajib terpahat di ingatan kerana di hari itulah bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Klik sini untuk maklumat lanjut.

Read more...

Mesra Petshop @ Seksyen 7, Shah Alam.

>> Tuesday, April 05, 2011


Ini Dr. Wan. Dr. Wan Ahmad Kusairy Bin Wan Sulaiman. Dia seorang doktor haiwan bertauliah. Dia juga memiliki rangkaian kedai haiwan kesayangan berjenama Mesra Pet Shop. Boleh dilihat di dalam gambar, Dr. Wan bergaya di hadapan kedai induk yang berada di Bandar Baru Bangi.


Baru-baru ini, Dr. Wan telah membuka satu lagi cawangan Mesra Pet Shop di Seksyen 7, Shah Alam. Saya dan anak-anak berkesempatan berkunjung ke sana pada hari pembukaan. Maklum saja, kedai haiwan kesayangan itu terletak berhampiran dengan taman tasik. Selepas beriadah, boleh terus mengintai haiwan-haiwan comel di sana.

Nama pun kedai haiwan kesayangan, mestilah ada menjual haiwan-haiwan kesayangan. Contohnya:

Sepupu, bekas kekasih, abang ipar, semua saudara mara dan geng sekolah Hamtaro pun ada. Ya Allah, tinggi sungguh tahap metabolik hamster-hamster ini. Tak boleh duduk diam! Kita yang tengok pula yang naik letih.


Guinea pig? Errr, khinzirkah? Minta maaf ya, di Mesra Pet Shop, hanya haiwan yang halal sahaja. Melayu panggil sopan sedikit, iaitu tikus belanda. Arab panggil khinziirul bahri hindiyyi. Ada bunyi haram, tapi halal ya, adik-adik.

Selainnya terjahlah sendiri. Yang pasti, tiada binatang haram kerana Mesra Pet Shop adalah sebuah kedai haiwan kesayangan yang berlandaskan syariah.

Macam-macam keperluan untuk haiwan kesayangan ada dijual di sini. Akak nak menyebut pun tak reti. Ntah apa namanya. Layanlah sendiri, O.K.?

Beg tangan untuk membawa haiwan kesayangan ke sana ke mari. Berangan Paris Hiltonlah itu!


Barangan keperluan haiwan kesayangan.


Ameer pun ternganga tengok rumah kucing. Siap ada buaian gantung lagi!


Comel-comel sangat rumah hamster. Bermacam warna dan aksesori untuk melompat, berpusing dan entah apa perkara lagi yang hamster lakukan berjam-jam tanpa henti.


Mainan dan aksesori untuk haiwan kesayangan kamu.


Yang ini memang mengada. Entah apakah namanya. Untuk bermain, mencakar tiang, menggigit bola, melompat, bersembunyi dan bermacam-macam lagi aksi kucing. Kelas kamu, cing!

Selain daripada itu, Mesra Pet Shop juga menawarkan perkhidmatan klinik haiwan, dan hotel haiwan. Malah, grooming pun ada! Menangis Fasha Sandha apabila melihat bulu kamu yang cantik itu, wahai kucing bertuah :-p

Kepada pencinta haiwan comel, apa lagi? Terjah, jangan tak terjah. Ada promosi di cawangan Shah Alam daripada 2 April hingga 2 Mei sempena pembukaannya ^V^

Read more...

Jantan Mangsa Betina Ganas.

>> Monday, April 04, 2011

Tajuk ala Harian Metro. Sensasilah konon!

Bukan mahu bercerita tentang kepincangan masyarakat, tapi kelangsungan hidup. Jantan malang dan betina ganas yang dimaksudkan ialah ini:

Praying Mantis, atau Mentadak.

Tahukah kamu, mentadak adalah kanibal?

Pada musim mengawan, mentadak betina merembeskan feromon untuk menarik perhatian si jantan. Si jantan yang tertarik akan memerhati dari jauh sebelum mendekati. Ini disebabkan mentadak betina akan menyerang semua organisme bergerak termasuklah jenis sendiri.

Walaupun kelihatan takut, tetapi si jantan memberanikan diri untuk mengawan dengan si betina. Proses mengawan bermula apabila si jantan melompat ke atas belakang si betina. Sebaik sahaja selesai, ia akan terus meninggalkan si betina. Kalau tidak, akan terus dimakan! Tahu takut....

Kebiasaannya, mentadak betina akan menggunakan kaki depan untuk menangkap mentadak jantan. Silap haribulan, hanya sayap si jantan ditinggalkan. Aduh kasihan, dapat mengecap nikmat sementara cuma tsk tsk.

Kadangkala, kepala mentadak jantan dimakan terlebih dahulu oleh si betina walaupun ketika proses pengawanan berlaku. Ini kerana mentadak memiliki dua otak iaitu di kepala dan satu set saraf dikenali sebagai ganglion di abdomennya.


Tujuan mentadak betina memakan mentadak jantan adalah untuk membekalkan nutrien tambahan kepada anak-anaknya. Kebanyakan mentadak betina yang memakan si jantan tidak akan mengawan dengan mentadak jantan lain. Ini demi memastikan hanya gen mentadak jantan tersebut sahaja diwarisi.

Oh, begitu rupanya hal mentadak. Hal manusia bagaimana pula?

Hmm.. semalam kita dikejutkan dengan satu berita. Tentang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal kerana dipukul cikgu selama dua jam. Sedih membacanya. Saya tidak mahu komen lebih-lebih, mengata orang berlebih nanti berbalik. Cuma mahu mengingatkan diri sendiri, kawal marah. Syaitan memang suka kalau kita sedang marah. Waktu itu, disimbah-simbahnya lagi api dengan minyak. Boleh naik hantu dibuatnya! Tarik nafas dan beristighfar banyak-banyak.

Semoga Allah merahmati kita semua.

Read more...

Giveaway April 2011.

>> Friday, April 01, 2011

Ini benar, bukan April Fool.

Giveaway bulan ini bersempena World Book Day. Di United Kingdom, ia disambut pada 3 Mac lepas. Di kebanyakan negara lain pula, ia disambut pada bulan April. Tarikh sebenar sambutan di Malaysia, tidak pula saya ketahui. Saya andaikan bulan April, kerana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dianjurkan pada 22 April - 1 Mei 2011.

Hadiahnya ialah:



Koleksi Komik Ikhtiar Hidup Cakerawala (Jilid 1, 2 & 3)

Istimewa buat kanak-kanak, tetapi mak dan bapa budak yang berjiwa remaja sentiasa pun boleh baca. Apatah lagi yang masih bujang muda belia ^V^

Cara untuk menyertai giveaway seperti ini:
1. Letak banner giveaway di blog anda. Di mana-manalah, tepi kanan, kiri, atas, bawah. Asal mudah orang nak nampak.


Copy this code to your website to display this banner!


2. Tulis satu entri berkenaan giveaway ini. Pendek ciput kontot pun boleh. Asal ada.
3. Maklumkan saya penyertaan anda melalui ruang komen di entri ini.

Giveaway berakhir 30 April 2011, jam 11.59 malam. Pemenang ditentukan menggunakan kaedah algorithma melalui www.random.org. Selamat mencuba!

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP