Pilih Kasih.

>> Monday, October 31, 2011

[1]"Wah, wah. Makanan dalam tin nampak untuk Mama Diva. Kucing depan dah bagi makan?"
"Belum. Menyampah. Asyik berak saja depan pagar."
"Kasihan mereka."
"Siapa suruh. Tak jaga kelakuan, siapalah nak sayang?"

[2]"Ewah, ewah. Pagi-pagi kamu dah tercongok depan pintu, ya?"
"Nanti bagilah kucing depan ini makan ya, kalau nak dosa kita diampuni Allah. Mereka ini perumpamaan macam kita juga. Mama Diva itu umpama makhluk yang baik. Jadi disayang-sayang. Yang di depan ini umpama makhluk yang nakal. Bayangkanlah kalau Allah pilih kasih, Allah tak sayang kita sebab kita tak dengar cakap. Oleh itu, janganlah beza-bezakan kucing-kucing ini."

Tsk, baik Bang Aji, saya insaf.

Read more...

Jualan untuk Pembelian Masjid Hiroshima.

>> Friday, October 21, 2011

Pagi-pagi tadi, seorang kawan di Jepun tag satu poster di Facebook. Ini posternya.


Saya terfikir, alahai, kalau di Malaysia, kita ini mewah betul dengan masjid dan surau. Pusing kiri, pusing kanan, jumpa masjid atau surau. Masjid/suraunya besar-besar pula itu, cantik dan selesa. Tapi, jemaahnya di setiap waktu? Ado? Cukup satu saf?

Tsk.

Tapi, saudara-saudara kita di Jepun sana, tak beruntung seperti kita. Masjid mereka sangat limited. Dan kini mereka yang di Hiroshima mendapat peluang membeli bangunan untuk dijadikan masjid tapi mereka tiada dana kerajaan untuk diminta, tiada pusat zakat untuk menolong. Jadi, ini peluang kita untuk menghulurkan bantuan.

Saya teringin nak menyumbang, tapi RM tak berapa nak ada. Kalau stok jualan itu, adalah. Jadi saya mohonlah kawan-kawan, bantu saya untuk menyumbang dengan membeli barangan yang dijual di sini:

Jualan Aidil Adha

Semua hasil jualan akan disalurkan untuk pembelian Masjid Hiroshima, Jepun. Harga yang tertera hanyalah saranan, boleh dibayar lebih atau kurang, mengikut selera pemberi sumbangan. Namun begitu, saya mohon RM6 untuk kos penghantaran.

Kalau tiada yang berkenan di hati, mohon diwar-warkan kepada rakan-rakan. Kalau mahu menyumbang tanpa membeli, boleh disumbangkan secara terus melalui Appeal for Hiroshima Masjid

Terima kasih banyak-banyak. Semoga syiar Islam bersinar ke seluruh dunia dan semoga Allah merahmati kita semua.

Read more...

Ilmu Itu Wajib Dicari.

>> Wednesday, October 19, 2011

3 ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim:

Yang pertama, ilmu tauhid iaitu tentang ketuhanan.
Kedua, ilmu tasauf iaitu tentang penyucian diri.
Dan ketiga, ilmu syariah iaitu tentang 'the rules and regulation of Islam'. Aiseh, terperasan Mat Salih pula tiba-tiba.

Ceramah Ustaz itu punyalah panjang, tetapi yang masuk dalam kepala otak cuma ini saja. Itulah, suka sangat menyandar di dinding. Kepala pun menerawang ke sana ke sini. Tapi Ustaz cakap, majlis ilmu itu umpama taman-taman syurga. Siapa pergi ke majlis ilmu, mendapat rahmat. Tidur pun tak mengapa bak kata Ustaz. Pergh, cayalah! Tidur pun dapat rahmat!

Berbalik hal ilmu yang wajib dipelajari itu, hhmmm... macam tak lepas saja. Zaman dulu-dulu, ada belajar tauhid. Masa di sekolah agama Johor dulu. Alah, masa budak-budak. Apalah yang faham sangat. Samalah dengan tasauf. Entah apa yang kitab bertulisan jawi itu cakap, bukannya faham sangat. Menghafal saja kerjanya. Asal lulus periksa kaedahnya. Itu belum cerita lagi bawa toyol masuk dewan peperiksaan. Mentang-mentang sekolah agama saja :-p

Saya belajar di sekolah agama sampai Darjah 5 saja, sebab selepas itu, saya masuk ke Sekolah Tun Fatimah. Kalau Darjah 5, maknanya kitab Mutlaal Badrin hanya sempat baca sampai bab munakahat. Jinayat diajar di Darjah 6 dan Darjah Khas. Tapi sebenarnya, kalau nak sambung selepas SPM pun tak mengapa, sebab sekolah agama Johor tiada had umur sebab selagi tak lulus satu darjah, tak boleh naik kelas.

Jadi, soalan saya, di mana boleh belajar Tauhid dan Tasauf ini? Tapi kalau boleh, janganlah yang yurannya ribu-riban. Manalah saya mampu tsk tsk.

Agak-agak kalau ikut kelas Perkim, ada orang pandang hina tak? Tsk tsk.

[2]Haji Mad bekerja luar daerah sejak Ahad lepas. Tanduk pun naik. Isnin dan Selasa tak ke Kuliah Maghrib.

Semalam Ameer dan Fatimah sibuk nak ke surau. Saya jawab,"Alah, Ameer kan periksa." Dua-dua memuncung. Fatimah cakap, "Tapi, saya nak main dengan kawan-kawan." :-p

Apabila saya fikir-fikirkan balik, astaghfirullah, apa yang saya dah buat? Saya tanamkan di fikiran anak-anak bahawa lulus periksa itu lebih penting dari pergi ke surau. Tsk tsk.

Padan muka Maryam buat hal di setiap malam yang saya ponteng.

:insaf:

Read more...

Radio Rosak.

>> Thursday, October 13, 2011

Have you brush your teeth?
Dah ambil wudhuk?
Dah solatkah?
Kenapa tak masukkan baju kotor dalam bakul?
Kenapa tak letak baju sekolah elok-elok?
Hang your towel, please.
Kenapa lepas makan tinggal saja pinggan atas meja?
Siapa makan di atas ini?
Who did artwork and did not tidy it up?
Euwww, who did not flush?

Oh tuhan. Sudah menyampah menjadi radio buruk. Bebelan yang sama diulang-ulang setiap hari. Masih tak faham-fahamkah kanak-kanak dua orang ini?

Padahal sebelum mandi sudah diberi arahan jelas. Mandi, sabun, gosok gigi, ambil wudhuk, kemudian solat. Alih-alih lepas mandi, gosok gigi tak, wudhuk tak. Mana tak angin dibuatnya. Alih-alih lepas mandi dan pakai baju, guling-guling atas sofa. Solatnya lupa. Terpaksalah acik membebel.

Agaknya mereka ini memang sengaja cari fasal mahu acik membebel.

Acik ingat nak pergi kedai printing and tempah banner tulisan besar berwarna merah dengan arahan-arahan yang jelas dan nyata dan lekat di dinding-dinding dan bilik air. Kalau tak faham juga, tak tahulah.

Read more...

Rumah Impian.

>> Monday, October 10, 2011

Kalau dah hari-hari lalu rumah agam di kaki bukit, mahu tak celaru hati. Saya memang geram betul dengan pemilik-pemilik rumah agam itu kerana mengacaubilaukan perasaan saya :ketawa:

Apa pun, rumah impian saya sebegini:

1) Luarannya tidaklah cantik supaya takkan ada yang memuji,"Oh, cantiknya rumah awak!" Almaklum, saya ini cepat riak dan takbur. Kalau dipuji-puji, alamat kembanglah punggung dan koyaklah kain.

2) Ruang awamnya besar untuk kemudahan kenduri kendara. Ruang awam di sini bermaksud, ruang tamu, dapur, dan bilik solat dilengkapi paip-paip air untuk berwudhuk.

3) Ruang peribadi untuk anak beranak sedang elok saja besarnya. Tidaklah terlalu besar, cukup untuk letak katil, almari, meja belajar, ruang solat dan ruang lebih untuk bentang toto.

4) Satu tingkat saja. Tak kuasa nak panjat tangga apabila dah tua nanti. Biarlah rumahnya memanjang ke belakang. Oleh itu, perlukan tanah yang luas.

5) Setiap anak satu bilik supaya apabila mereka ada keluarga sendiri, mereka ada bilik masing-masing.

6) Tembok tinggi. Dulu saya melabelkan orang yang rumahnya bertembok tinggi ini orang kaya yang sombong. Tetapi, apabila sudah menjadi suri rumah, barulah saya menghargai tembok tinggi. Ini kerana sudah banyak kali pakaian yang dijemur tak sempat diangkat ketika hujang turun tiba-tiba kerana menggagau memakai baju sempurna bertudung litup! Kalau temboknya tinggi, mudahlah nak berlari mengangkat kain di jemuran.


Tayang sikit rumah mak saya di kampung yang menjadi penanda aras rumah impian saya. Ia nampak biasa-biasa saja dari luar, tapi sebenarnya rumah besar yang mempunyai ruang tamu dan dapur yang besar, 5 bilik, 3 bilik air, 1 bilik solat dan 1 bilik mengambil wudhuk. Itu pun Mak sedang merancang menambah dua bilik dan dapur basah di belakang. Tsk, ibuku kaya. Nak-nak selepas Bajet 2012 diumumkan. Pencen dinaikkan katanya.

Entah bila rumah impian saya menjadi kenyataan :-)

Read more...

Menjaga Syariat.

Ustaz Halim Din:
"Nabi Muhammad s.a.w tak kata Malaysia, Libya, Mesir, Arab Saudi, Somalia, atau Somalia. Nabi Muhammad s.a.w. sebut secara general. Jadi siapa yang terasa dengan hadis-hadis, memang padanlah muka."

Dr. Abdul Basit:
"Kalau masalah kesihatan, kita ajukan soalan kepada doktor. Kalau masalah kejuruteraan, kita ajukan soalan kepada jurtera. Tetapi, apabila tiba masalah agama, kita tanya orang-orang di tepi jalan hingga mendatangkan fitnah kepada agama."

Lebih kurang begitulah kata mereka. Geng-geng Seksyen 7 jomlah beramai-beramai ke Surau At-Taqwa Seksyen 7 setiap Maghrib dan Isyak kerana ada Kuliah Maghrib.

Read more...

Tentang Tawadduk.

>> Friday, October 07, 2011

Aduh, tak sempat dengar sampai habis kuliah Maghrib semalam. Tiba-tiba pula si Maryam buat perangai. Malu acik dengan lolongan yang bernada tinggi itu :-p

Apa pun, dapat sikit pun jadilah, ya tak?

Tawadduk itu ertinya merendah diri. Ada 7 golongan yang perlu berhati-hati menjaga hati mereka, sebab sukar bagi mereka untuk bertawadduk.

Yang pertama, orang yang kaya.
Yang kedua, orang yang berpangkat.
Yang ketiga, orang yang berketurunan baik.
Yang keempat, orang yang memiliki kepandaian.
Yang kelima, orang yang memiliki kelebihan pada tubuh badan.
Yang keenam, orang yang berusia.

Yang ketujuh? Tak sempat dengar he he he.

Jadi, adakah kamu termasuk dalam enam golongan tersebut?

p/s: Puan Hanis, saya tak boleh tulis komen di blog puan tapi memang cambestlah doa yang puan kongsikan :-)

Read more...

Hikmah Ramadhan.

>> Wednesday, October 05, 2011

Segalanya bermula gara-gara tak sempat memasak untuk berbuka puasa. Maryam pula berdrama mahu ikut abahnya ke surau. Lalu kami anak beranak pun pergilah berbuka puasa di surau.

Kalau dah berbuka puasa di surau, maknanya solat Maghrib pun berjemaahlah di surau. Dan malu sangatlah kalau makan percuma mahu, tapi solat isyak dan terawikh tak mahu. Jadi kiranya, bolehlah dikatakan terpaksa pada mulanya.

Kemudian, Surau At-Taqwa Seksyen 7 Shah Alam membuat kepelikan. Dengar-dengarnya, seluruh Selangor pun begitu. Selepas 4 rakaat solat Terawikh, berhenti sekurang-kurangnya 30 minit untuk mendengar ceramah. Kemudian, barulah disambung hingga 8 rakaat. Selepas itu, ikutlah jemaah surau mahu balik rumah atau sambung hingga 20 rakaat. Pihak surau pun menjelaskan bahawa, kalau solat Terawikh itu dianjurkan, majlis ilmu lebih-lebih lagi dianjurkan di dalam Islam.

Sudah adat di Malaysia, kalau solat Terawikh, memang berbondong-bondonglah orang ke masjid dan surau. Jadi saya rasa, memang bijaklah pihak surau/masjid selitkan majlis ilmu di masa-masa ramai orang ke surau/masjid. Saya harap surau/masjid di seluruh negara buatlah seperti ini pada tahun hadapan kerana memang ada hikmahnya berada di majlis ilmu.

Selepas kali yang pertama itu, saya merasa seronok. Apabila tahu berada di majlis ilmu dapat lebih markah, saya rasa syok sebab punyalah mudah. Sebab dalam hadis cuma dinyatakan 'berada di majlis ilmu', dengar atau tak, faham atau tak, tak jadi hal. Rupa-rupanya, dari tidur-tidur ayam ketika mendengar ceramah, lama-lama timbul keinginan untuk dengar betul-betul. Dari dengar betul-betul, timbul keinginan untuk buat. Dan dari situ, timbullah keinginan untuk menjadi lebih baik.

Semalam, timbul pula keinginan untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan, sebab ustaz semalam cakap, "Saya datang sini untuk cari makan...untuk kubur saya. Kalau seorang yang dengar ceramah saya pun jadilah."

Apa pun, buat masa ini, saya belum lagi mengimpikan syurga [belum layak]. Saya cuma mahu jadi manusia yang lebih baik. Mungkin inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah. Iaitu, semua manusia mahu menjadi baik.

Harap dapat sokongan kawan semua :-)

Read more...

Mahu Keluarga Bahagia?

>> Tuesday, October 04, 2011

Intipati kuliah Maghrib di Surau At-Taqwa malam tadi. Enam pesanan Imam Al-Ghazali kepada wanita untuk menjaga kesejahteraan keluarga:

1. Solat di awal waktu
2. Baca Al-Quran setiap hari walaupun sedikit. Rekomendasi Imam Al-Ghazali, lapan ayat.
3. Baca sepotong Hadis setiap hari.
4. Ajar doa-doa harian kepada anak-anak.
5. Hidup sederhana.
6. Sentiasa memberi peringatan/motivasi.

Insya-Allah akan dimasukkan dalam KPI :-)

Read more...

Pergi Haji.

>> Sunday, October 02, 2011

Ada seorang adik nak pergi haji. Jadi, dia minta tip dari kakak-kakak yang sudah pergi katanya. Err, daku hajjah meh? Kenapa perangai tak rupa hajjah? :insaf:

Apa pun, rasanya banyak tip pergi haji di Internet ini. Buku-buku di pasaran pun banyak. Bolehlah dibeli dan baca.

Tapi untuk tak mengecewakan adik tersebut, akak hajjah ini :uhuk uhuk: tulislah sebutir dua sebagai pesanan.

Yang pertama, ucapkanlah percakapan yang baik. Ia bukanlah sekadar tidak mengumpat, mengadu domba, dan menyakitkan hati orang lain, tapi dengan sentiasa membiasakan lidah untuk mengucapkan 'insya-Allah'. Insya-Allah perkataan yang mudah tapi sangat berkuasa. Hanya dengan terlupa menyebut insya-Allah, Nabi Sulaiman tidak mendapat anak dari semua isteri yang digaulinya pada satu malam kecuali seorang anak yang cacat. Oleh itu, apa jua yang kita katakan, akhirilah dengan insya-Allah. Selain itu, biasakan diri memberi salam dan mengucapkan hamdalah.

Yang kedua, ketahuilah sejarah tempat-tempat di Madinah dan Mekah. Dengan mengetahui sejarah sesuatu tempat sebelum kita menziarahinya, kita akan dapat merasai jiwa tempat tersebut. Contohnya, dengan mengetahui sejarah Masjid Kiblatain, airmata boleh mengalir mengingatkan kecintaan Nabi Muhammad terhadap umatnya yang dihina kerana berkiblatkan kiblat yang sama dengan orang kafir, sehingga beliau meminta-minta dengan juraian airmata kepada Allah swt. Contoh lainnya, ketika kita mengerjakan saei, hati menjadi sayu mengingatkan Siti Hajar yang berlari berulang alik dari Safa ke Marwah mencari air hinggalah dia berputus asa dan memohon dengan penuh pengharapan tanpa bergantung kepada yang lain kecuali Allah swt.

Yang ketiga, manfaatkan waktu wukuf sebaiknya. Seorang kawan terkejut apabila saya memberitahunya bahawa waktu wukuf adalah waktu yang paling afdhal untuk berdoa. Dan dia memberitahu saya, sepertinya ramai jemaah haji di dalam khemahnya yang tidak mengetahui fakta ini kerana mereka sekadar berehat-rehat. Kalaulah mereka tahu, tentu mereka tidak bersenggang-senggang begitu. Jadi adikku, janganlah sia-siakan peluang yang ada. Berzikirlah, pohonlah keampunan, pohonlah agar dirimu dilimpahi rahmat Allah swt dan berdoalah semahumu. [Kak siap karang doa dalam buku lagi, terutamanya doa yang dipesan rakan-rakan hehehe]

Yang keempat, bantulah jemaah haji yang lebih tua. Sebagai orang muda yang mempunyai lebih kedarat, ambillah peluang ini untuk sentiasa membantu yang tua. Insya-Allah, kalau kita awal lagi berniat untuk membantu orang lain, Allah akan beri kita banyak peluang untuk membantu orang lain. Sekali kita bantu orang lain, insya-Allah berkali-kali Allah akan bantu kita.

Yang kelima, jangan terlalu obses mencium Hajarul Aswad. Faktanya, kamu perempuan muda. Kecil comel molek pula itu. Kak dapat bayangkan kamu tersepit dalam timbunan lelaki hitam berbadan besar kalau kamu mahu cium Hajarul Aswad. Kononnya nak dapat berkat, alih-alih dosa yang dapat sebab bersenggol-senggolan dengan lelaki. Itu belum cerita lagi fasal 'Syarikat Mencium Hajarul Aswad'. Sabar sajalah :-p Kalau ada lelaki nusantara mengajak kamu cium Hajarul Aswad ketika kamu sedang tawaf, kamu buat tak endah sajalah. Sebabnya lepas dia tolong kamu, dia minta duit :-p

Kalau mampu, datanglah sekali lagi di waktu luar haji untuk mencium Hajarul Aswad. Kalau tak mampu, berdoalah kepada Allah supaya dipermudahkan mencium Hajarul Aswad. Pengalaman kak sendiri, kak pasrah saja. Kak pandang lelaki-lelaki yang berkerumun depan Hajarul Aswad dan terdetik dalam hati, "Tak mengapalah kalau tak dapat cium Hajarul Aswad, tapi kalau dapat, lagi bagus, Ya Allah!" Alih-alih, dengar suara lelaki bercakap, "Adik ini nak cium Hajarul Aswad." Dan lelaki-lelaki yang ramai itu beralih dan ada jalan yang boleh kak lalu. Dapatlah kak menciumnya tanpa perlu berasak-asak, alhamdulillah :-)

Ingatkan nak tulis pendek saja, alih-alih jadi panjang juga :-p Semoga kamu mendapat haji yang mabrur dan mendapat manfaat darinya, insya-Allah. Akak doakan.

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP