Jualan Tudung Labuh & Tshirt Muslimah @ Menara TM

>> Wednesday, June 30, 2010

**~~UPDATE: GERAI SAYA TERLETAK DI HADAPAN KLINIK ZARIF~~**

Untuk makluman rakan-rakan, esok saya akan membuat jualan di Menara TM. Macam-macam ada. Tudung Syria ada. Lagi, tudung Ekin sulam tangan bunga yang comel-comel, bubuh bling bling. Ada tudung CT Payung. Haaa macam mana rupa tudung CT payung ya? Datanglah beramai-ramai, belek tudung. Kain ela untuk buat raya ada. Tshirt muslimah yang boleh pakai bila-bila ada. Untuk mama-mama, tshirt nursing pun ada.

Datang OK, jangan tak datang? Ajaklah kawan-kawan. Beli eh, eh? Kesianlah kat ahkak. Tolong habiskan stok ahkak tau! Ahkak nak konsentret menulis pula lepas ini keh3x.

Ni, cuci cuci mata sikit :-)






Read more...

Jangan Biarkan Surau Ini Roboh.

Sedang membaca buku ini.



Bahasanya memang indah. Lebih indah daripada novel-novel Taufiqurrahman yang saya baca sebelum ini. Membuatkan saya malu dengan karya karangan terjemahan tahap-budak-sekolah saya itu.

Cumanya, baru setengah buku, saya sudah mula hilang sabar. Jam sudah 1.30 pagi, tapi jalan cerita yang menjurus ke arah tajuk buku iaitu 'Jangan Biarkan Surau Ini Roboh' tak kunjung tiba. Ceritanya melengah-lengah sekitar cinta Ibrahim, Sarah, Yusof, Partinah, dan ibu bapanya yang pilih kasih. Aduh, di mana perjuangan menjaga surau itu? Di hujung ceritakah?

Tak dinafikan bahasanya meruntun jiwa. Saya menangis. Tidak teresak-esak. Sekadar air mata mengalir di pipi. Bencinya hingus mula menutupi hidung, menyesakkan nafas. Saya mula menangis di halaman 87. Tidak ingat tentang apa pastinya, tapi berkisar Kiai Ahmad mungkin. Rasa cinta Kiai Ahmad terhadap suraunya, terhadap anak-anak muridnya, terhadap Ibrahim, terhadap Sarah, paling menyentuh perasaan saya. Juga rasa cinta Ibrahim terhadap Kiai Ahmad. Ini benar-benar cinta kerana agama. Kerana Allah.

Sudahnya, saya ke ofis dengan mata yang bengkak!

Read more...

Apa yang susahnya? Terjemah je kan?

>> Monday, June 28, 2010

Tanya seorang teman. Sampai berkerut-kerut dahinya. Heh. Menterjemah memang tak susah. Yang susahnya, terjemahan biarlah sedap dan apabila dibaca, seolah-olah karya asli Melayu, seolah-olah penulis Melayu yang menulis. Jangan sampai terjemahan itu 'perkataan Melayu, ayat Inggeris'. Paling keji kalau pembaca tertanya, "eh, agaknya ini orang putih baru belajar BM yang tulis?" Haru-haru. Inilah jerangkap samar yang sering kali memerangkap penterjemah, lagi-lagi yang baru bertatih macam saya. Setiap baris ayat, dibaca berulang-ulang kali, sambil menanya diri, "ada orang melayu cakap begini?"

Novel yang sedang diterjemah ada 117 bab. Manuskrip penuh perlu dihantar 21 September. Saya kira-kira, setiap minggu saya perlu menyiapkan 10 bab, bermula minggu lepas.

Pencapaian setakat ini?

Satu bab pun tak lepas :-(

Rasa nak menangis pun ada. Banyak sangat rujukan yang perlu dibuat berkenaan tempat-tempat di Itali, juga hal perkapalan. Rujukan dalam bahasa Inggeris bersepah-sepah, rujukan melayu, aduh payahnya mencari. Tapi, ada juga saya bertanya kepada En.MPH melalui carian dalam taliannya, nampaknya ada beberapa buku di dalam bahasa Melayu yang boleh dirujuk berkenaan bahagian-bahagian kapal dan jenteranya.

Melihat kesibukan saya melakukan itu ini, yalah, mana nak uruskan rumah, anak-anak, bisnes lagi, suami saya berkata:

Rasanya boleh kot saya tolong terjemah. Boleh juga isi masa lapang. Ada tak nota kursus terjemahan hari tu? Saya nak belajar.

WAAAAHHHH... pucuk dicita ulam mendatang, kata orang. Suami saya boleh tahan juga BMnya tau. Haaa, keluarganya memang ada jiwa seni. Tuu A.Ubaidillah yang penulis tu, adik dialah. Tapi, suami saya lebih ke arah sains [:ehem: lebih-lebih lagi dalam bab permainan komputer], jadi menulis tak termasuk dalam hobi.

Pagi ini, dia sudah menghantar emel, mengingatkan saya untuk hantar sofkopi bab 2 kepadanya. Yay!

Kurang sikit stres :-)

Read more...

Popeye's.

>> Friday, June 25, 2010

Alalalala mama mengandung kita ni. Dah mula teringin itu ini ye? Hehe.

Pic diambil dari En. Gugel

OK pendapat peribadi, makanan di Popeye's agak sedap. Lagi-lagi ayam. Aha ini pemakan ayam tegar tau yang bagi komen. Batter yang menyaluti ayam lain daripada yang lain. Istimewanya, dapat makan yang panas-panas. Straight from pressure cooker kaedahnya. Apabila disiat, dagingnya nampak putih segar, dan siap keluar wap lagi. Mengaduh-aduh jari jemariku yang montok menahan panasnya gara-gara tak sabar dan teruja :-p

Side dishes pun sedap, terutamanya biskut. Entah tak taulah biskut atau roti, tapi rasanya memang terangkat! Nak-nak kalau dicolet sedikit dengan kentang putar. Kentang putarnya gebu, lemak berkrim dipadankan dengan mushroom gravy yang ada sedikit kepedasan lada hitam. Pergh! Mak mertua lalu pun tak perasan, sister!

Apatah lagi kalau anda hanya berdua dengan rakan perempuan rapat, berkongsi gossip terkini, ooppss maksud saya bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita tentang pelbagai perkara yang berlaku dalam hidup.

Oh! Outing saya yang terakhir bersama Lynn. Saya memesan ayam, seperti biasa, dan Lynn memesan value meal yang memang berbaloi. Aduh, cemburu betul melihat ketulan ayam, dan kepingan ikan dan ayam yang gemuk-gemuk di pinggannya. Mujur Lynn tak lokek. Dapat saya rembat sedikit hehe.

Yang paling penting, lawatan kami yang pertama ke restoran Popeye's mencatatkan sejarah penting buat kami, Gang of Four. Geng masih ingat? Ketika itu Aida masih mengandung, malah hanya menunggu masa bersalin. Kami lainlah kan? Kami tiada lebihan bebanan. Ikut suka kami nak ronggeng di mana-mana dan bila-bila masa.

Eh lupa. Mama pun tengah dalam pantanglah masa tu hehe. Kasihan si Maryam, kecik-kecik dah diangkut ke Midvalley :-p

Tapi dia masih berdegil nak ikut. Siap Mufis hantar lagi sampai ke Midvalley. Sudahnya, tengah makan, muka dah lain macam. Geng buat lawak pun, urat mukanya tegang saja. Lepas tu, pergi tandas. Balik, muka dah ala-ala nak kelabu asap. Saya pun berbisik kepada Aini, "Ni, aku rasa Aida macam dah nak bersalin je." Aini pun sependapat.

Kami pun makan laju-laju. Aini pun memandulah macam F1 driver, hantar Aida ke hospital. Alih-alih, lebih kurang jam empat, dapat SMS Aida dah bersalin. Dapatlah si tembam Fateh. Kih3x. Kelas tak kelas? Kelakar betul kalau diingat kembali.

^_^

Eh, soalan Farra tadi pasal makanan ye? Terpesong sudah.

Berbalik hal makan, seeloknya tak payah pesan udang kalau anda nak melahap. Sebab, hampir pasti tak kenyang. Udangnya comel-comel sangat. Rasanya tak pasti pula, tak sanggup nak rembat dari pinggan Lynn [semasa outing bertiga dengan Azura, rasanya... eh, itu Long John Silver. Err... entahlah, dah bercampur aduk memori daun pisangku]. Nak tanya lebih lanjut mengenai udang, kita tunggu maklum balas Lynn OK?

Read more...

Re-branding of Tinidewi ^_^

>> Thursday, June 24, 2010

Psstt.... kamu nampak sebarang perubahan dalam blog ini?
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Ya, di atas blog ini sudah ada banner baharu, bersama tagline yang baharu.


Tinidewi, Sana Sini Celoteh Suri. Waaaahhh... belum sampai lagi 31 Julai, dah umum diri sebagai Suri ya? ^_^

Read more...

Lawatan Cik Tini ke PTS Batu Caves.

>> Wednesday, June 23, 2010

Aduhai rasa kerdil pula. Berjumpa dengan orang besar, dan rakan penulis yang hebat-hebat belaka. Semalam sesi latih tubi, kami diberi teks untuk diterjemah kemudian tulis di papan hitam. Banding dengan teks orang lain, bahasa saya yang paling tiada lenggoknya. Keras kejung macam teks asal. Setelah BM saya dikecam hebat awal dulu keh3x, saya melatih diri untuk menulis dengan santai dan bersahaja. Tapi, santai saya kurang thrill. Elemen sastera itu tiada. Tak feel la sister, kata budak muda jalanan.

Oleh itu, saya perlu alat-alat bantuan. Alang-alang dah sampai ke PTS Batu Caves, angkut buku-buku berkualiti seboleh yang mungkin. Tidak mengapalah melabur sedikit untuk pulangan yang lebih banyak di kemudian hari. Lagi pun, tak rugi ilmu bertambah.

Sebelah kiri gambar: Kamus dan buku-buku yang diberi pinjam oleh Aini.
Sebelah kanan gambar: Buku yang baru dibeli semalam. Kawan-kawan di kaunter terperanjat, boleh habis ke semua ini? Eh... apa pula tak boleh????

Antara buku-buku yang diborong adalah karya Andrea Hirata seperti Lasykar Pelangi, Maryamah Karpov, Sang Pemimpi; Taufiqurrahman seperti Munajat Cinta dan Munajat Cinta 2, Pak Latip seperti Salahuddin: Penakluk Jerusalem, Mohamad Al-Fateh, koleksi Imam Besar, koleksi Khalifah-Khalifah Yang Benar; dan beberapa buku sai fai untuk belajar gaya bahasa yang macho.

Saya perlu belajar ayat-ayat macho kerana novel yang insya-Allah bakal diterjemah dari genre thriller. [Tapi muka mula menghijau kerana novelnya setebal 600+ halaman, dan perlu disiapkan pada September]

Jumlah kemusnahan, RM325.70. Itu pun selepas diskaun.

Apa pun, sedikit kredit buat suami kerana ayat pertama yang keluar dari mulutnya petang semalam, "Mama kena ada meja sendiri." Sampai sahaja di rumah, dia pun mulalah mengemas bilik belakang, pindahkan komputer, TV dan sebagainya. Kini, saya sudah mempunyai meja yang luas yang kini menempatkan kamus dan buku [lihat gambar]. Mudah-mudahan mudah mendapat ilham.

Psstt... kalau ikutkan dia, "Nak dapat ilham, kena duduk dalam bilik yang boleh lihat bintang-bintang."

Over tau! :lol:

Read more...

Bakal Bertemu Orang Besar.

>> Tuesday, June 22, 2010

Hatiku berdebar. Pagi ini, jam 10 pagi insya-Allah, saya bakal bertemu Puan Ainon, iaitu pengerusi PTS Publications & Distributions Sdn Bhd, nama besar dalam dunia penerbitan buku. Ya Allah, permudahkan urusanku ya Allah.

Doakan yang baik-baik untuk saya ye?

^_^

Mod panik. Lampu merah telah menyala. Kelip-kelip lagi. Begini, bagaimana nak pancarkan laser yang berkuasa? Waaaarrrggghhh, diriku stres.

Read more...

Kenapa Saya Baca Casa Arina?

>> Monday, June 21, 2010

OK kita tinggalkan cerita penterjemahan buat seketika untuk memberi laluan kepada peraduan "Kenapa Saya Baca Casa Arina?"

Jawapan saya:

Saya baca Casa Arina kerana apabila saya lapar, saya mesti teringatkan gambar makanan yang sedap-sedap di dalam Casa Arina. Kaedahnya, Perut Lapar, Ingat Casa Arina. Sementara belum Ramadhan, bolehlah. Masuk Ramadhan nanti, memang cari nahas. KNV, nanti jangan nak menggatal letak gambar makanan sahur dan berbuka tau! Meleleh air liur :-p


Yay! Bila hadiah nak sampai?

Read more...

Kursus Terjemahan Intensif di Institut Terjemahan Negara Malaysia.

>> Saturday, June 19, 2010

Setelah 2 minggu didera mental, emosi dan jasmani sehingga muka sebilangan peserta ditumbuhi jerawat akibat stres, peperiksaan yang dijalankan pagi tadi adalah kemuncaknya.

Peperiksaan terbahagi kepada 2 iaitu bahagian teori dan bahagian amali. Setengah jam diberikan untuk bahagian teori tetapi rata-rata kami merasakan masa tidak mencukupi. Bahagian amali pula diberi 3 jam setengah untuk menterjemah 6 teks bagi setiap bidang iaitu umum, komunikasi massa, sains & teknologi, undang-undang, sains sosial dan sastera kreatif, tapi rasanya macam tidak mencukupi juga. Dah nama pun ujian, bagi satu hari pun tak cukup agaknya hehe.

Walau pun tertekan menjawab soalan yang menyesakkan dada, sempat juga ambil gambar. Inilah perangai blogger tegar. Dah tak dapat diselamatkan :-p


Gambar diambil selepas selesai bahagian teori dan rehat. Bersiap sedia untuk bahagian amali. Aduh hatiku berdebar-debar.


Sedang menjawab soalan. Psstt... sebenarnya, aku minta rakan sekelas yang ambilkan gambar sementara aku posing maut, konon tengah menjawab soalan dengan hebatnya.


Aha... tengok, penuh meja dengan kamus dan laptop. ITNM dilengkapi WIFI jadi kita boleh melayari internet untuk kamus dalam talian dan boleh juga tanya en. gugel dan cik wiki untuk dapatkan maklumat lebih lanjut tentang istilah di dalam satu-satu bidang. Nak telefon kawan pun boleh. Talian hayatku tentu sahaja Aini, untuk bertanya apakah itu Sukuk. Tapi kalau tak terjemah pun tak menjadi masalah, sebab Sukuk adalah istilah khusus di dalam kewangan Islam, jadi aku pinjam terus istilah itu :-)


Contengan di atas kertas soalan. Ini soalan teks sains kreatif :-)


Jawapan mutakhir. Harapnya dapatlah cemerlang.

Ada bermacam cerita sepanjang kursus. Tapi Maryam si kenit tak kasi can mamanya berlama-lama di hadapan kmoputer. Nantikan tulisan seterusnya, terutama sekali tentang rakan-rakan baru ^_^

Nota kaki: Terjemahan dalam tajuk di atas salah tatabahasanya, kerana imbuhan -an di hujung perkataan membawa erti hasil, contohnya tenunan bermaksud hasil tenun. Apakah kami belajar tentang hasil terjemah, atau cara-cara menterjemah?

Read more...

Rombongan Cik Tini ke Zoo Negara.

>> Wednesday, June 16, 2010

"Mama, bila kita nak balik kampung?"
"Ha-ah Mama. Saya nak pergi rumah nenek. Boleh tak?"

Aduh, tepuk dahi dibuatnya! Sewaktu mendaftar Kursus Terjemahan Intensif di ITNM, tak teringat langsung yang ia bakal dijalankan sepanjang musim cuti sekolah. Kalau teringat pun, tak tahulah pula anak-anak sudah pandai membuat tuntutan. Inilah dia anak zaman multimedia :-p

Setiap pagi itulah yang ditanya. Apabila kita kejutkan untuk ke nursery, sangkanya nak balik kampung berjumpa nenek. Tertekan OK? Menyampah pun ada. Menyampah tahap Shrek dengar Donkey berulang tanya,"Are we there yet?" Muka pun dah naik hijau. Mujur lawa banyak daripada ogre, kalau tak, silap haribulan orang panggilku Fiona :-p

Tapi, macam biasalah kan? Makcik kamu yang bijaksana tak terperi ini telah berjaya berunding dengan kanak-kanak untuk ganti balik kampung dengan lawatan ke Zoo Negara. Cumanya, ada sedikit kesilapan teknikal kerana telah menggunakan helah tersebut sebelum berbincang dengan Menteri Dalam Negeri merangkap Menteri Kewangan, jadi dia telah memberikan kerjasama yang tak sepenuh hati :-p

Tak kisahlah, asalkan misi berjaya. Setelah pergi ke Zoo Negara ahad lepas, kanak-kanak tidak lagi menyebut tentang balik kampung. Fuh, selamat!

OK, tak payah cakap banyak. Tengok gambar baru seronok!

Sementara awal pagi dan muka semua orang [terutamanya Makcik kamu ini] masih segar-bugar, ceria dan bebas daripada peluh dan minyak, tangkap gambar dahulu di pintu masuk.


Sebaik sahaja masuk ke dalam zoo, pak menteri terus meluru ke trem. Teruja sebab tak ramai orang. Biasanya barisan panjang. Memandangkan Aini dah beritahu awal-awal, kutunjuki kaunter bayaran. Tentulah tak ramai orang, sebab nak naik trem kena bayar RM3 seorang. Trem pun dah naik taraf. Comel sangat! Tapi terlupa pula nak ambil gambar trem. Memandangkan dikenakan bayaran tambahan, pak menteri putuskan [tanpa bantahan rakyat jelata] berjalan kaki sahaja supaya lebih sihat :-)

Sekadar panduan rakan-rakan, trem akan berhenti di setiap perhentian dan pemandu trem merangkap tourguide akan memberi serba sedikit penerangan. Anda juga boleh turun untuk meninjau haiwan di sekitar dan naik semula trem untuk perhentian seterusnya. Trem yang baru lebih kecil daripada dahulu, supaya pemandu lebih mudah mengawal penumpang dan dapat memberikan khidmat yang lebih mesra. Jika anda membawa bayi kecil atau barangan yang banyak, mungkin menaiki trem pilihan yang lebih sesuai.


Ameer membaca fakta Zirafah. Mentang-mentang dah pandai membaca. Asal jumpa papan tanda, mesti nak baca. Termasuklah peta zoo. Perasan Dora The Explorer agaknya. Eh eh Fatimah, tudung tadi mana?


Look, Mama! That's an elephant. Psstt... gajah ini dulu mungkin bekerja di sarkas. Sebab, dia sengaja pindahkan makanannya betul-betul di hadapan penonton, sambil memberikan aksi-aksi menarik untuk dirakam. Mungkin juga dah memang dasar attention seeker.


Ha.... punyalah suka budak ini pergi ke zoo.


Euuwww.... so smelly, Mama! Tengoklah muka Fatimah dipaksa rela ambil gambar oleh Mama. Ketika ini kami berdekatan kandang Seladang Malaya. Bau tahinya memang menyengat. Namun, tiada masalah bagi Ameer. Kalau dah cinta, kentut pun wangi!

Ish banyak sangat gambar-gambar yang menarik. Kalau nak muatnaik semuanya, letih. Untuk merumuskan cerita, memang seronoklah rombongan Cik Tini ke Zoo Negara.

Setiap kali pergi ke Zoo Negara, ada sahaja perkara-perkara yang nampak kecil tapi bermakna yang cuba dilakukan oleh pihak Zoo Negara. Saya benar-benar hargai apa yang mereka lakukan, kerana menyedari bukannya senang untuk menguruskan sebuah zoo yang besar seperti itu. Terutama sekali pengurusan kewangannya. Kos makanan semua binatang di zoo tentu sahaja mahal.

Kali ini, saya sangat beruntung kerana dapat melihat penjaga zoo menjalankan tugas mereka. Bagi saya, ia satu perkara yang menarik untuk diperlihatkan kepada pengunjung. Malah, kami diberi peluang untuk turut memberi makan kepada binatang tanpa dikenakan bayaran.


Kami juga perhatikan lebih ramai sukarelawan yang memberikan khidmat mereka. Pendapat peribadi, ini satu perkembangan yang menyenangkan hati apabila anak muda, apatah lagi yang berbangsa Melayu, sudah mula menunjukkan minat untuk melakukan tugas sukarelawan seperti ini.

Semoga Zoo Negara akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik, dan majulah zoo untuk kanak-kanak dan generasi akan datang :-)

Psstt.... ayam goreng di Restoran The Wild sedap sangat!

Read more...

Timmy Time.

>> Thursday, June 10, 2010


Pic googled

"Macam kenal saja anak kambing biri-biri ini."
"Memang pun. Dia ada dalam Shaun The Sheep."
"Anak kecil yang menangis kalau putingnya jatuh?"
"Ha-ah. Ini kononnya dia dah besar sikit."
"Oh dah besar dia ya? Masuk tadika dah."

Ilmiah sungguh perbualan saya dan suami. Lagipun, siapa yang tengok kartun sebenarnya? Kanak-kanak, atau mak ayah?

Heh.

Read more...

Syukurlah Allah Beri Peluang.

>> Friday, June 04, 2010

Masih awal pagi. Tiada orang lain di tingkat atas restoran kecuali kami empat beranak. Ameer dan Fatimah sedang berseronok di ruang khas untuk bermain. Maryam pula khayal melihat persekitaran yang baru baginya.

Mataku tertangkap beg plastik biru di atas kerusi di sudut paling hujung, selang beberapa meja dariku.

"Eh, beg siapa pula? Di sini tiada orang lain."

Mataku melilau mencari kelibat orang. Tak nampak sesiapa, jadi aku kembali menghayati ayam goreng kegemaran.

Ada lagi dua ketul ayam. Tapi perutku sudah penuh. Bawa balik sahajalah.

"Ameer, tolong Mama ambil plastik di kaunter bawah."
"Kaunter?"
"Alah. Tempat Mama beli makanan. Itu namanya kaunter."
"Bagaimana, Mama?"
"Kata, saya nak plastik boleh?"
"OK!"

Tak sampai dua minit dia kembali.

"Saya tak tahulah, Mama."
"Laaa... beli kotak pensil Ben10 berharga RM3 di koperasi sekolah pandai pula."

Ketika itulah aku terpandang seorang pakcik berbangsa Cina sedang duduk di situ. Rambutnya beruban. Bajunya lusuh tetapi kemas. Dia terus tunduk apabila aku memandangnya dan mula mengeluarkan kertas-kertas kecil dari beg birunya itu. Wajahnya kelihatan seperti orang yang kesempitan. Mungkin juga sedang menahan lapar. Tetapi aku tidak pasti.

Aku merenung dua ketul ayam dihadapanku. Aku buntu. Samada mahu dibawa pulang, atau diberi kepada pakcik itu. Takut-takut andaianku salah, lantas mengguris hati orang.

Lima minit berlalu. Aku masih tidak dapat membuat sebarang keputusan. Tiba-tiba dia bangun, dan berjalan ke arahku.

"Tumpang tanya aa."
"Ya?"
"Ini tulisan, macam mana mahu baca dalam bahasa melayu?'
"Oh.... Khairul Najmi."
"Khairun?"
"Khairul...."
"Khairun."

Kali ini kubiarkan saja. Mungkin lidahnya tidak boleh menyebut huruf L dengan betul.

"Ini bawah tulis apa?"
"Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan KL."
"Ohh.. dulu saya duduk sini. Kemudian saya pindah KL. Saya sudah tua, umur enam puluh lebih. Kerja pun tak ada jadi saya mahu minta itu kebajikan. Apa itu... welfare. Orang melayu sebut apa?"
"Betullah tu pakcik. Kebajikan."
"OK terima kasih ya adik."

Syukur. Terima kasih Allah kerana memberi aku jawapannya. Betul andaianku. Pakcik itu menumpang mandi di tandas restoran dan duduk berehat dalam hawa dingin yang lebih selesa sementara orang tidak ramai. Ada hikmahnya juga Ameer tak pandai meminta beg plastik tadi.

"Pakcik sudah makan?"
"Eh takpe. Tak payah susah-susah."

Dia terus tunduk dan kembali ke mejanya. Aku faham dia tidak mahu meminta-minta. Jadi sengaja aku letakkan dua ketul ayam itu di meja sebelahku, dan terus berlalu.

Syukur ya Allah kerana memberiku peluang. Dan alhamdulillah, dapat bayaran tunai waktu itu juga kerana mendapat panggilan yang tak disangka-sangka. Padahal aku sudah putus harap. Buat masa ini, belum boleh dikongsi dengan rakan-rakan sehingga perkara itu sudah pasti dalam genggaman :-)

Saya fikir ganjaran yang Allah bagi ini ada kena mengena dengan niat suami saya untuk bersedekah, supaya saya lebih yakin dengan konsep rezeki :-) Wah hebat, baru niat dah dapat ganjaran. Kalau buat, tentu lagi hebat!

Read more...

UNDER CONSTRUCTION

>> Thursday, June 03, 2010

^_^

Harap bersabar :-)

Read more...

Sedekah dan Keikhlasan.

>> Wednesday, June 02, 2010

"Saya nak tanya. Tapi sebelum itu, saya sarankan kita fikir lebih pasal hubungan dengan Allah, bukan dengan individu."
"Huh?"
"Pakcik Indon yang pinjam duit saya hari tu, dia sms tadi. Dia nak datang Malaysia, jadi dia nak pinjam RM1000 lagi."
"Pakcik yang mana? Yang konon nak pegi Mekah tapi tak pergi pun?"
"Ya."
"Tak nampak pun usaha dia."
"Itulah. Itu yang saya cakap awal tadi. Fikir pasal hubungan kita dengan Allahlah. Hal dia, itu antara dia dengan Tuhan."
"Kalau awak nak dapat pahala, eloklah awak sedekah saja pada saya dan anak-anak. Lagi afhdol."
"Memang. Tapi awak lebih dari cukup."
"Anak yatim?"
"Pun boleh juga. Tapi Allah dah gerakkan dia untuk minta pada kita. Maknanya, ini ujian untuk kitalah. Ujian untuk dia, itu cerita lain."
"Duit awak. Ikut sukalah. Tanya saya kenapa pula."
"Sebab awak lebih berhak sebenarnya. Jadi saya bagi awak tiga hari untuk fikir. Saya ikut saja jawapan awak."

Seperti biasa, bantuan diharapkan. Tekan pilihan anda ya?



Terima kasih!

Read more...

Perindu Pelangi

>> Tuesday, June 01, 2010

Beberapa Sabtu yang lalu, saya mengikuti Bengkel Penulisan Novel Islami. Wah wah, mahu jadi novelis ya? Ah tidak. Buat masa ini, menulis novel tiada dalam perancangan. Otak saya tak sekreatif itu untuk memikirkan jalan cerita, plot, sub plot, hero, heroin, watak sampingan, konflik, penyelesaian bagi konflik dan macam-macam lagilah. Bikin pusing kepala aku aja, neng!

Saya pergi sekadar ingin belajar cara menulis secara formal. Disamping itu, dapat berkenalan dengan kawan baru. [Salah seorangnya, kakak seorang pengurus besar di syarikat saya!]

Ketika itulah saya mula tertarik dengan Perindu Pelangi. Menurut Pak Ya iaitu fasilitator bengkel, cerita berlatarbelakang negara Cina tapi penulisnya tak pernah pun jejak kaki ke Cina. Haa menarik bukan?


Balik dari bengkel, mulalah bersemangat untuk membaca lebih banyak buku dan novel yang bagus-bagus sebagai kajian. Tapi buntu, buku apa yang bagus dibaca? Jadi saya pun tanyalah pakarnya, iaitu Puan Mynie kita :-)

Rupa-rupanya Mynie juga menyarankan Perindu Pelangi. Nampaknya, ada jodoh jadi saya pun membelinya. Sampai rumah, cik abang mulalah tarik muncung panjang. "Tengok tu, Mama dah kena dadah!" katanya kepada Ameer dan Fatimah sambil mendukung Maryam. Hehehehe.

Oh saya suka, suka, sukaaaaa sangat. Bak kata orang-orang muda zaman sekarang ini, memang feel habis! Atau pun, terbaeekk! Ketika membaca, terasa macam diri berada di Cina. Paling saya suka, watak hero watak yang menonjol tetapi tidaklah digambarkan terlampau sempurna sampai kita tertanya, eh ada lelaki sesempurna ini dalam kehidupan sebenar? Bagi saya, watak terlalu hebat tidak lojik. Seperti soalan saya kepada Pak Ya,"Realitinya, manusia sempurna itu tiada bukan?"

Cuma, rasanya ada fakta-fakta Islami di dalam novel ini yang perlu dipastikan kebenaran. Terkadang ada bahagian yang buat kita keliru, "Eh, betulkah?"

Bagi peminat novel, bacalah novel ini. Ralit nanti. Bagai hisap dadah. Eh macam tau pula hisap dadah itu bagaimana hehehe.

Nota kaki: Jauhi diri dari dadah merbahaya.

Read more...

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP